Kejumudan Menatijahkan Kebangkitan Liar

Posted by Ibnu Nurdin | 12:34 AM

Disiarkan pada Dec 21, 2008 dalam kategori Akidah
Dr. Mohd Asri Zainal Abidin
Minda Tajdid


Berbeza pandangan antara satu sama lain dalam kalangan masyarakat manusia adalah perkara biasa. Apatah lagi dalam perkara-perkara yang sememang boleh diberikan berbagai andaian dan penafsiran.

Perbezaan pandangan dalam usaha mencari yang terbaik adalah satu keperluan hidup insan. Mengikut secara membabi buta tanpa mahu berfikir dan menilai adalah punca kepada kesesatan atau sebab kepada kemunduran sesebuah masyarakat.

Manusia yang buruk dalam masyakat ini ialah mereka yang menghalang pemikiran kedua, atau pandangan kedua dalam perkara-perkara yang dibolehkan untuk adanya perbezaan pendapat. Menghalang orang lain berfikir selain dari apa yang kita fikirkan adalah permulaan jalan menuju masyarakat jumud, atau kejumudan ilmu, bahkan jika itu membabitkan kekuasaan dan pentadbiran ia akan membawa kepada pemerintahan kuku besi.

Di samping banyak perkara yang mungkin kita berbeza dengan Barat, kelebihan mereka adalah ruang yang selalu diberikan kepada pemikiran baru, atau masyarakat mereka diizinkan untuk mempunyai pandangan yang berbeza sekalipun dengan ‘arus perdana’. Seseorang tidak merasa terancam untuk berbeza pendapat atau memberikan padangan yang kedua.

Rosaknya sesetengah negara, termasuk negara umat Islam adalah apabila pandangan yang berbeza dihalang, bahkan diambil tindakan. Maka lahirlah sikap keras dan kejam, ketidakadilan dan tidak berkembangnya ilmu pengetahuan. Sepatutnya pandangan yang berbeza selagi memenuhi peraturan norma-norma ilmu hendaklah diberi ruang dan kesempatan.

Lebih buruklah jika pandangan ilmiah yang berbeza itu ‘diharamkan’ atas nama agama. Lalu pihak yang menguasai urusan agama itu menghukum orang yang berbeza dengan mereka sebagai musuh agama, atau musuh Tuhan, padahal pendapat yang diberikan itu telah memenuhi piawaian ilmu dan tidak bertujuan menderhakai Tuhan.

Jika ‘kelompok agama’ itu adalah kelompok yang jumud, maka semua manusia yang mempunyai pemikiran yang luas akan menjadi mangsa atas nama agama. Inilah yang berlaku kepada gereja pada zaman kegelapan Eropah dahulu. Berapa ramai saintis yang diseksa dan dibunuh. Mereka dihukum sesat dan murtad hanya kerana memberikan pandangan tentang sains khusus tentang ilmu astronomi yang paderi-paderi jahil mengenainya.

Apatah lagi ketika dahulu umat Islam adalah pelopor yang maju dalam bidang-bidang sains yang berbagai, maka pihak gereja menuduh bahawa ilmu-ilmu sains tersebut adalah ajaran Islam dan sesiapa menganutnya mereka menjadi murtad.

Kejahilan mereka membawa kepada penentangan masyarakat Eropah terhadap kuasa agama yang akhirnya tercetuslah Revolusi Industri atau Revolusi Perancis pada 1789 yang akhirnya agama dihadkan pengaruhnya agar tidak masuk campur secara langsung dalam pentadbiran dan soal-soal kehidupan yang lain.

Maka hari ini, seni, hiburan, politik, perindustrian, sains dan sebagainya, agama tidak menjadi teras. Jika ada pun, ia hanya kesedaran individu, bukan dasar umum. Maka tidak hanya jika mereka ketika beraksi bogel depan kamera boleh menggantungkan salib di dada mereka. Demikian filem mereka boleh mempertikaikan agama mereka seperti ‘Da Vinnci Code”.

Bahkan tidak hairan kartun-kartun yang mereka lukis itu kadang-kala mempersendakan Jesus yang mereka anggap sebagai anak Tuhan mereka. Tidak hairan juga jika para sarjana mereka mempertikaikan kebenaran Bible dan sehingga meragui kewujudan Jesus. Inilah natijah yang dibayar oleh masyarakat Barat hasil dari kejumudan golongan agama mereka pada zaman yang lepas.

Hakikatnya, kejumudan pemikiran itu akan membawa kepada ledakan kebangkitan yang akan menghapuskan segala keterikatan, sekalipun keterikatan yang patut. Sebab itu Islam bukan sahaja mengharamkan sikap cuai dalam beragama, tetapi juga mengharamkan sikap melampau atau keras pada bukan tempatnya. Kedua-duanya jalan syaitan.

Nabi s.a.w mengingatkan kita dalam hal ini dengan bersabda:

“Jauhilah kamu ghulu (melampau) dalam agama, kerana sesungguhnya ghulu dalam agama telah membinasakan mereka yang sebelum kamu”. (Diriwayatkan oleh al-Nasa’i, Ibn Majah, al-Baihaqi dan Ahmad. Dinilai sahih oleh Ibn Khuzaimah dan al-Albani).

Allah menegaskan dalam al-Quran agar Nabi s.a.w mengingatkan Yahudi dan Kristian agar jangan melampau dalam beragama. Firman Allah: (maksudnya)

“Katakanlah: “Wahai ahli Kitab! janganlah kamu melampau dalam ugama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul” (Surah al-Maidah, ayat 77).

Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h (meninggal 728H):

“Sesungguhnya agama Allah adalah pertengahan antara yang melampau mengenainya dan yang meninggalkannya. Allah Ta`ala tidak memerintahkan hamba-hambaNya sesuatu perintah melainkan syaitan akan mengganggunya dengan dua cara. Syaitan tidak kisah yang mana satu dia berjaya. Iaitu samada secara ifrat (melampaui batasan yang sepatutnya dalam beragama) atau tafrit (cuai terhadap agama).”. ( Ibn Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa,2/. 236, Riyad: Maktab al-`Abikan).

Di Malaysia juga demikian, janganlah kuasa agama itu digunakan untuk menghalang orang lain memberi pendapat. Sehingga akhirnya muncul aliran Liberal yang Agama ini ditegak atas hujah dan fakta. Agama bukan pendapat semborono yang diberikan lesen kepada orang agama untuk bercakap apa yang dia mahu dan dengan siapa yang dia mahu.

Apa adanya fakta dan dalil yang menuruti disiplin keilmuan, maka agama memberi ruang untuk manusia memberikan pandangannya. Juga pihak yang bercakap atas nama Islam hendaklah berpijak atas dalil dan hujah yang dapat difahami oleh masyarakat yang sedang meningkat maju kemampuan fikiran mereka. Kejumudan hanya akan mengundang kebangkitan membebaskan diri dari ikatan agama.

Lihatlah kumpulan politik agama dalam negara kita yang dahulu begitu keras sehingga seringkali isu iman dan kufur itu dijadikan isu. Hari ini kita mula lihat betapa longgarnya sebahagian mereka, bahkan mula timbul dalam kalangan mereka sendiri kelompok yang bertentangan kononnya sebahagian mereka mula meninggal pegangan-pegangan keras yang awal.

Saya juga begitu dukacita, apabila dalam usaha sesetengah pihak agama di negara kita untuk membendung pemikiran pembaharuan yang ingin Islam lebih berteraskan nas dan berketerampilan, mereka menggunakan kelompok Ahbash yang mula aktif dalam negara kita. Kelompok ini yang terkenal dengan mengkafirkan sesiapa yang berbeza dengan mereka.

Di negara arab mereka menumpahkan darah dan mengkafirkan para ulamak yang berbeza dengan mereka. Melebelkan sesiapa yang tidak mahu menerima kekerasan mereka sebagai ‘wahhabi’. Laman-laman web mereka boleh dilayari, ia sarat dengan maki-hamun dan kafir mengkafir.

Saya ingin ingatkan pihak yang menggunakan mereka, walaupun anda tidak suka dengan aliran pembaharuan atau tajdid yang sedang berlangsung, namun janganlah menggunakan aliran yang seperti ini kerana natijahnya akan membawa kepada sikap permusuhan yang melampaui batasan yang patut.

Bukalah fikiran untuk melihat Islam dengan mata yang luas seperti yang difahami oleh golongan salafussoleh. Sikap yang jumud dan memusuhi pandangan tanpa alasan hanya akan membawa agama ke kancah kebencian dan akan menjadikan ada pihak yang berfikir seperti Barat, bahawa agama patut diasingkan campurtangan dalam urusan kehidupan.

0 comments »

0 comments