Tawakal

Posted by Ibnu Nurdin | 12:00 AM

Di dalam Qanaah seperti kita nyatakan di atas tersimpullah tawakal, iaitu menyerahkan keputusan segala perkara, ikhtiar dan usaha kepada Tuhan semesta alam. Dia yang kuat dan kuasa, kita lemah dan tak berdaya. Ramai orang yang telah mengertikan tawakal. Sebab itu perlu kita kupas, menghilangkan keraguan.

Tidaklah keluar dari garis tawakal, jika kita berusaha menghindarkan diri dari kemelaratan, baik yang menimpa diri, atau harta benda, anak turunan. Baik kemelaratan yang akan datang, atau boleh jadi akan datang.

Yang mengenai diri sendiri, tidaklah bernama tawakal kalau kita tidur di bawah pohon kayu yang lebat buahnya, seperti pohon durian. Kerana kalau buah itu jatuh digoyang angin, kita ditimpanya, itu adalah sebab kesia-siaan kita. Tidaklah boleh kita duduk lama atau tidur di tepi sungai yang banjir, atau di bawah dinding yang hendak runtuh, atau bukit yang suka terbang (longsor).

Kalau bahaya yang mengancam itu akan datang dari sesama manusia, sekiranya ada jalan sabar, atau jalan untuk mengelakkan diri, pilihlah lebih dahulu yang pertama, itu sabar. Kalau tak dapat lagi, pilihlah yang kedua, ititu mengelakkan diri. Kalau tak dapat juga, barulah menangkis. Kalau satu-satunya jalan ialah menangkis, tidak juga ditangkis, tidaklah bernama tawakal lagi, tetapi sia-sia.

Bila dicela dan dinihakan orang, jangan lekas naik darah, fikirkan dahulu, kerana sebanyak hinaan, agak sebuah atau dua entah ada juga yang betul. Akuilah dahulu bahawa diri manusia, tak luput dari salah, seorang sahabat ialah yang berani berkata benar, bukan yang membenar-benarkan.

"Ambillah Dia (Allah) menjadikan wakil (tempat bertawakal) dan sabarlah menanggungkan yang dikatakan orang". (Al-Muzzammil: 9-10).

Banyak lagi ayat-ayat lain yang serupa dengan itu.

Itulah yang mengenai kesakitan yang ditimpakan kepada manusia. Adapun kesabaran atau tawakal menghadap ular yang hendak menggigit, binatang besar yang hendak menerkam, kala yang mengejar kaki, anjing gila yang kehausan, maka jika sabar juga menunngu, tidak berusaha menangkis, tidak bernama tawakal lagi, tetai bernama sia-sia juga.

Tidaklah keluar dari garisan tawakal jika dikuncikan pintu lebih dahulu sebelum keluar rumah, ditutupkan kandang ayam sebelum hari malam, dimasukkan kerbau ke kandang sebelum hari senja. Kerana menurut Sunatullah, dikuncikan rumah dahulu baru pencuri tertahan masuk, ditutupkan pintu kandang baru musang tak mencuri ayam.

Demikianlah telah terjadi di zaman Rasulullah saw seorang dusun tidak mengikat untanya sehingga unta itu lepas, kerana katanya bertawakal kepada Tuhan. Oleh Rasulullah perbuatannya itu tiada disetujui, melainkan baginda berkata kepada orang itu:

"Ikatlah dahulu untamu barulah bertawakal!".

Di dalam peperangan menghadapi musuh, diperintahkan orang Islam menggunakan senjata yang lengkap, jangan hanya dengan sebilah lading atau golok hendak berjuang menghadapi tank waja dan senapang mesin. Kerana menurut Sunatullah, tidaklah sebilah lading atau golok akan menang menghadapi sepucuk senapang mesin yang dapat memuntahkan peluru 500 butir dalam satu minit.

Ingatlah ketika Rasulullah saw meninggalkan negeri Makkah endak pergi ke Madinah, bersembunyi di dalam gua di atas bukit Jabal Tsur ketika dikejar oleh kafir Quraisy, berdua dengan sahabatnya Abu Bakar. Setelah bersembunyi dan tidak kelihatan oleh musuh lagi, barulah dia berkata kepada sahabatnya itu!

"Jangan takut, Allah ada bersama kita".

Iaitu beserta mereka setelah mereka bersembunyi. Cuba kalau Rasulullah menampakkan dirinya, padahal musuh sebanyak itu, tentu menurut Sunatullah dia akan tertangkap atau binasa lantaran sia-sianya, dan Allah tidaklah bersertanya lagi!

Orang yang menutup kandangnya, takut ayamnya ditangkap musang, orang yang mengunci rumah takut pencuri akan masuk, orang yang mengikatkan untanya takut akan dilarikan orang, mereka itulah 'mutawakkil', bertawakalyang sejati, tawakal dalam teori dan praktik.

Memang diakui bahawa kunci pintu tak dapat menolak kadar, kunci kandang tak dapat menangkis nasib, melainkan dengan izin Allah jua. Tetapi tidaklah boleh kita terus saja lari kepada takdir, kalau ikhtiar belum sempurna.

Intisarinya segala pekerjaan ini haruslah diingat. Yakni ketika pintu dikuncikan, kita akui bahawa tidak ada kekuasaan apa-apa pada kunci itu, dia hanya semata-mata ikhtiar. Dengan hati tulus ikhlas kepad Ilahi, kita akan memohon:

"Ya Ilahi, jika barang-barang yang ada dalam rumah ini, dengan kekuasaan Engkau, dapat juga diambil orang, setelah dia saya kuncikan, ka saya serahkanlah kepada Engkau,hilangnya dalam jalan Engkau, tinggalnya pun dalam keredhaan Engkau. Segala redha menerima keputusan Engkau. Bukankah pintu ini saya tutupkan lantaran hendak mengelakkan ketentuan Engkau, tetapi mengikut sunnah yang telah engkau tentukan di dalam urusan sebab dan musabab. Maka tidaklah ada tempat berlindung, melainkan hanya Engkau, ya Tuhanku! Di tanganMu terpegang segala sebab dan musabab itu".

Serupa dengan itu tawakal kepada Allah di dalam perkara mengubati penyakit. Berubat ketika sakit, tidak mengurangi tawakal. Junjungan kita Muhammad saw menyuruh kita menjaga diri:

"Larilah dari penyakit kusta, seperti lari dari harimau yang buas!".

Perut adalah rumah penyakit, penjagaan adalah rumah ubat.

Di riwayatkan orang bahawa Saidina Umar Al-Khatab r.a. ketika menjadi khalifah, berangkat ke negeri Syam, sampai ke sebuah kampung bernama Jabiyah dalam wilayah Damaskus. Sampailah kepada beliau berita bahawa penyakit taun sedang menjadi-jadi dalam negeri Syam. Telah beribu-ribu orang yang mati. Mendengar khabar itu, terbahagi dualah pendapat sahabat-sahabat Rasulullah itu. Setengahnya mengatakan lebih baiklah perjalanan ke Syam diundur untuk menghindarkan bahaya. Setengahnya mengatakan lebih baik perjalanan diteruskan juga kerana sakit dan senang hidup dan mati, semuanya di bawah kuasa Allah jua. Kita bertawakal kepada Tuhan dan kita tidak mengelak dari QadarNya. Setelah menjadi pertukaran fikiran itu, pergilah mereka meminta fikiran Saidina Umar. Beliau berkata:

"Kita kembali tak usah menempuh wabak".

Orang yang menimbang lebih baik perjalanan diteruskan diketuai oleh Saidina Abu Ubaidah, dia bertanya:

"Apakah kita boleh lari dari takdir Allah".

Saidina Umar menjawab:

"Memang kita lari dari takdir Allah, kepada takdir Allah".

Lalau beliau buat satu perumpamaan:

"Bagaimana pendapat tuan-tuan, kalau tuan-tuan mempunyai kambing ternak, yang dihalaukan kepada dua buah lurah, yang sebuah banyak rumputnya dan yang sebuah kering? Bukankah jika kambing itu digembalakan ke padang yang berumput subur, juga di bawah kudrat Allah?".

Mereka menjawab: "Memang kedua-duanya di bawah kudrat Allah!".

"Tadi di mana kamu gembalakan?". Tanya beliau pula.

"Tentu di padang beruput subur!". Jawap mereka.

"Sungguhpun begitu kita tunggu Abdul Rahman bin Auf, boleh jadi dia mempunyai pertimbangan yang lain". Kata beliau.

Khabarnya sebelu Abdur Rahman bin Auf tiba, beberapa orang telah berangkat dahulu ke Syam, dengan izin Khalifah, kerana yakinnya kepada takdir juga.

Besoknya pagi pagi barulah Abdur Rahman bin Auf datang, ketika hal itu disampaikan kepadanya, dia berkata:

Saya telah menerima dari Rasulullah suatu sabda mengenai hal ini, yang Amirul Mukminin.

"Allahhu Akbar" ujar Umar kerana terlalu gembiranya.

Telah saya dengar Rasulullah bersabda:

"Apabila kamu mendengar khabar habawa wabak berjangkit di suatu negeri, janganlah kamu datang ke negeri itu. Kalau kamu ada dalam negeri itu, janganlah kamu keluar dari sana ke negeri lain".

Bukan main sukacitanya Saidina Umar apabila mendengar sabda Rasulullah yang membenarkan pertimbangannya. Khabarnya juga Saidina Abu Ubaidah yang telah berangkat lebih dahulu ke Syam telah meninggal dunia lantaran Taun Amwas yang masyhur itu.

Di dini nya bahawa sahabat-sahabat Nabi saw kemudiannya telah sepakat bahawa memelihara diri dari penyakit, juga termasuk tawakal.

1 comments »

1 comments

  1. Irvan Sian Syah Putra // November 13, 2011  

    This blog are careful..!!
    thanks.. for your help