Sekadar Yang Perlu

Posted by Ibnu Nurdin | 2:30 PM

Manusia perlu pakaian, tempat tinggal dan makan. Ketiga-tiga keperluan itu:

  • Ada yang terlalu di bawah.
  • Ada yang pertengahan.
  • Ada yang di atas.

1. Pakaian.

Paling di bawah ialah menutup bahagian yang perlu-perlu saja dengan kain yang murah. Kalau dibawa kepada masa, cukup untuk sehari dan semalam, kotor ganti dan bersihkan.

Sayidina Umar bin Khattab, menampal kainnya dengan yang lebih lapuk. Lalu seorang berkata kepadanya: "Tampalan yang begitu tidak tahan lama".

Beliau menjawab: "Apakah umurku akan lebih panjang daripada umurnya?".

Yang pertengahan ialah yang sesuai dengan kesanggupan badan, tidak sengaja melagak-lagak dan boros, dan tidak pula pakaian yang haram.

Yang terlalu tinggi, (yang di atas) ialah mengumpulkan kain baju sebanyak-banyaknya, untuk menunjukkan kemampuan dan keborosan.

2. Tempat Tinggal (Rumah)

Tempat tinggal atau rumah yang paling di bawah, ialah yang dapat didiami saja walaupun asal beratap dan berdinding saja, dalam pondok kecil. Ini masih banyak di tanah air kita, kerana kemiskinan rakyat.

Yang pertengahan ialah rumah yang tidak untuk berganding-gandingan dengan orang lain. Di dalam rumah yang sederhana itu, tuan rumah dapat memikirkan kedaan diri, bermenung mengingat nikmat Tuhan mengenangkan berapa tahun lagikah, berapa hari, atau berapa saat lagikah orang akan tetap tinggal dalam rumah itu, tegasnya dalam dunia ini.

Yang tinggi atau mewah ialah gedung-gedung indah permai, singgahsana yang molek, villa cantik dengan perkakasnya yang mahal, di sana berlumba-lumba antara pencinta dunia, kehormatan dan pangkat, melebihi yang seorang akan yang lain, sehingga lalai dari tujuan hidup, dan lupa memikirkan nasib orang yang miskin.

Rumah yang pertama adalah sekadar perlu, sebab maksud tempat tinggal ialah memelihara diri dari panas dan hujan. Rumah yang begini tidaklah mahu orang mendiaminya dengan sengaja, kecuali orang-orang yang telah sampai darjat tawakalnya ke puncak yang paling tinggi, atau terpaksa tawakal kerana miskin. Yang pertengahan tadi, adalah sekadar cukup. Tetapi yang paling tinggi, yang nombor tiga, itulah dunia yang tidak ada batasnya, hawanafsu yang tiada hujung. Lalai kerana keindahan yang demikian kerapkali membuat kita lupa mengingat Tuhan. Itulah sebabnya Sultan Harun Al Rasyid sangat suka menanggil orang-orang zuhud dan sufi yang besar-besar ke dalam istana untuk mengingatkannya agar tidak lupa diri lantaran kemewahanannya sehingga kerapkali baginda menangis berhurai air mata, jika menerima nasihat-nasihat yang menyentuh dari ulama-ulama itu. Mendiami rumah cantik, memakai pakaian indah, semuanya tiada terlarang, bahkan diruruh meninggikan himmah supaya tercapai, asal saja segala pantangnya diingat, iaitu jangan lalai mengingat Tuhan Allah swt. Dan tidak memaksa diri melebihi kesanggupannya, kerana rayuan kulit dunia.

3. Makanan.

Makanan adalah asas hidup yang paling penting, anak-kunci kemuliaan dan kehinaan. Dia pun mempunyai 3 *tiga) martabat.

Paling rendah, sekadar perlu untuk menyang saja dan untuk jadi tangkal jangan mati atau lemah, supaya badan kuat beribadat. Dengan membiasakan dan melatih menahan selera, makanan itu boleh dibatasi. Menurut keterangan Imam Ghazali, orang-orang zahid di zaman dahulu, ada yang tahan tak makan sampai 10 hari atau 20 hari. Contoh demikian dapat kita saksikan pada puasanya pemimpin India Mahatma Gandhi. Kata setengah orang ada yang sampai 40 hari. Hal ini tidak perlu kita contoh, tidak pula menunjukkan bahawa perbuatan itu mesti dikerjakan sebab hal itu bergantung kepada pekercayaan masing-masing. Sebab darjat kemahuan hati di antara manusia bertingkat-tingkat.

Darjat pertengahan adalah membahagi-bahagi perut jadi tiga bahagian; sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga dikosongkan, untuk fikiran. Kalau dilebihi dari itu, akan membuat 'buncit perut', sehingga berat dibawa rukuk dan sujud menyembah Allah. Yang sebahagia-bahagia orang ialah mencukupkan apa yang ada, makannya kerana untuk hidup, bukan hidup untuk makan. Kalau hidupnya hanya memikirkan makan saja, kadang-kadang dia lupa makan untuk hari ini, yang difikirkannya apa yang akan dimakannya besok, apa yang akan dimakan oleh anak cucunya 10 atau 40 tahun lagi, sehingga dia lupa bahawa anak-nak itu pun ada Tuhannya dan ada akalnya sendiri.

Nabi Muhammad saw, telah bersabda tentang makanan dan kekayaan yang sejati ialah:

"Barangsiapa yang sentosa hatinya, sihat badannya, ada makanan untuk dimakannya sehari itu, seakan-akan telah terkumpul di tangannya dunia seisinya". (HR Tarmizi dan Abdullah bin Muhsin).

Dengan sabdanya ini nyata bahawa Nabi Muhammad saw tidak menyuruh kurang dari itu. Kalau tidak ada yang akan dimakan sehari-hari, bagaimana hati dapat tenteram?

Penutup.

Menghadapi harta benda hendaklah dengan niat yang jujur. Jika bekerja mencari harta, hendaklah dengan niat untuk memperbanyakkan amal dan memperkuatkan iman. Jika harta ditinggalkan hendaklah lantaran harta banyak mengganggu langkah.

Ingatlah perkataan Rasulullah saw:

"Sesungguhnya tidaklah engkau nafkahkan harta engkau mengharapkan wajah Allah, melainkan diberi pahala engkau kerananya, harta nafkah yang engkau masukkan ke mulut isterimu sekalipun". (HR Bukhari dan Muslim).

Semuanya itu bergantung kepada niat. Maksud mukmin di sini, ialah yang mengetahui dasar segala perbuatan, tahu hakikat harta yang dinikmati Tuhan kepada hambaNya.

Dari itu orang yang zuhud bukanlah yang tiak suka menyimpan harta, atau tak suka mencari harta, dan menolak harta sama sekali. Suhud ialah yang sudi miskin, sudi kaya, sudi tidak berwang sesen pun, sudi jadi jutawan, tetapi harta itu tidak menyebabkan ia melupakan Tuhan, atau lalai dari kewajipan.

Hendaklah gerak dan diammu, duduk dan jalanmu, kerana Allah. Makan dan minum, melekatkan baju dan sebagainya, kalau dengan niat suci, boleh menjadi ibadat, sembahyang ialah ibadat, kalau perut lapar, ibadat tak kuat, sebab itu makan dahulu, baru sembahyang. Dengan ini nyata makan itu kalau hati tulus jadi ibadat pula. Dalam kaedah agama ada tersebut:

"Kalau suatu pekerjaan wajib tak dapat dilangsungkan kalau tidak dengan pekerjaan lain, pekerjaan lain itu jadi wajib pula".

Kehidupan dunia seperti mencari madu lebah. Pawang yang pintar dapat saja menguakkan lebah yang banyak dan mengambil madunya, dengan tidak tersinggung sengatnya. Adapun orang yang bukan pawang, hanyalah dapat sengatnya.

Atau seperti ular mengandung racun yang bisa, tetapi di samping racun itu ada ubat. Laksana lebah, mempunyai sengat yang bisa, tetapi mempunyai madu juga. Laksana orang buta tak dapat mendaki bukit dengan leluasa, si jahil pun tak dapat pla mendaki bukit dunia dengan tak membahayakan.

Rasulullah saw pada suatu hari didatangi oleh Malaikat Jibril lalu disampaikan kepadanya pertanyaan Allah swt.

Manakah yang disukai, jadi nabi kaya raya seperti Nabi Sulaiman, atau jadi miskin seperti nabi Ayub.

Rasulullah menjawab, bahawa baginda lebih suka makan sehari dan lapar sehari.

"Mengapa begitu?" Tanya Jibril.

"Di waktu kenyang saya bersyukur kepada Tuhan, dan di waktu lapar saya meminta ampun kepadaNya".

Bagi rasul-rasul kekayaan itu nikmat, kemiskinan itu pun nikmat. Di waktu senang dan susah, kaya dan miskin, sukar dan mudah, ada saja semuanya pintu untuk mengadap kepada Tuhan, menjunjung dan menyembahNya. Sebab itu, nabi-nabi dan wali-wali itu tidak dapat diikat dan dibelit, disengat dan digigit dunia.

Mereka telah tahu hakikat, tahu mudarat dan manfaatnya. Mereka tahu bahawa hidup manusia ini dilingkungi oleh tiga zaman, zaman dikandung iu, zaman dilingkung alam dan zaman tengah perjalanan, kerana tujuan masih jauh. Bagi si arif bijaksana, dia singgah untuk persiapan di kampung yang asli, dibawanya bekal yang tahan lama, yang tak basi, yang tak rasan, dan ditinggalkannya mana yang akan memberati dan menghalang-halangi, supaya tidak terlalai menempuh kampung yang dekat itu, atau didahului oleh orang lain.

Golongan bebal dan dungu, disangkanya inilah wathan sejati, tanah air sebenarnya, di sini dia senang-senang berlalai, tidak dilepaskannya dunia dari hatinya, sebelum malaikul maut sendiri merebut dari tangannya.

Kata budiman juga dunia ini laksana sekuntum bunga yang dihidangkan oleh seorang tuan rumah yang memanggil tetamu kerumahnya, buat dicium baunya berganti-ganti.

Seorang tetamu menyangka bahawa bunga itu dihadiahkan untuknya dan boleh dibawa pulang, sehingga tidak dilepaskannya dari tangannya. Akhirnya kerana tetamu itu bodoh, tidak mengerti adat istiadat, tuan rumah mengambil dari tangannya dan memberikannya pula kepada orang lain, supaya dicium orang pula. Di waktu itu si tetamu booh tadi, merasa kesal kerana tercerai dari bunga.

Tetapi tamu yang tahu guna bunga itu, diciumnya dengan hati senang, dan segera memberikannya pula kepada yang lain lagi untuk diciumnya pula, kerana memang sudah demikian biasanya.

0 comments »

0 comments