Sebab Timbulnya Penyelidikan

Posted by Ibnu Nurdin | 2:31 PM

Tiga orang bersahabat berjalan di sebuah kota yang ramai, di mana berdiri rumah-rumah yang indah. Tempat tinggal orang kaya, tuan-tuan dan orang-orang yang bergaji besar. Ketika itu hari telah petang, matahari telah condong ke barat, cahaya syafak merah dari barat bergelut dengan cahaya litrik yang mulai menerangi jalan raya. Di antara pergelutan siang dengan malam itu, beberapa orang duduk di muka perkarangan rumahnya bersama anak dan isterinya, sambil membaca surat-khabar yang terbit petang itu ganti istirehat pulang dari pekerjaan. Di atas meja terletak beberapa mangkuk the. Si ibu sedang menyulam, anak-anak sedang bermain kejar-kejaran, di hamparan halaman rumah rumput yang hijau itu.

Alangkah bahagianya orang-orang yang tinggal di sini, kata salah seorang dari ketiga orang bertemasya itu. Lihatlah keindahan rumahnya sangat serasi dengan keindahan perkarangannya, kecukupan perkakasnya bergelut dengan kepuasan hatinya. Di dekat rumah itu kelihatan garasi mobilnya, tentu mobil itu menurut model yang paling baru, gajinya tentu mencukupi untuk belanja dari bulan ke bulan, malah lebih dari cukup.

Seorang di antara ketiga yang bertemasya itu, setelah mendengarkan perkataan kawannya itu, menjawab: Ah, jangan engkau terpedaya oleh kulit lahir, kerana dunia ini hanya komidi. Boleh jadi di balik keindahan perkakas, di balik senyuman dan tertawa itu ada beberapa kepahitan yang mereka tanggungkan, yang tidak diketahui oleh orang lain. Ramai orang yang tertawa, sedang hatinya luka parah. Ramai orang yang tertipu melihat cahaya panas di waktu terik di tanah lapang, disangkanya cahaya itu air. Setelah dia sampai ke sana hanya pasir belaka. Banyak sekali, keadaan yang rahmat dipandang lahir, tetapi pada batinnya laknat.

Kalau begitu apakah erti bahagia itu dan di manakah batasnya?

Seorang mengatakan, bahagia itu didapat oleh orang yang mempunyai kekayaan cukup. Kerana dengan kekayaan, segala yang dimaksud tentu tercapai. Orang kaya di mana dia tinggal, perkataannya didengar, salah-salah sedikit dimaafkan orang saja. Wang adalah laksana manisannya. Sengsara ialah pada kemiskinan, meskipun benar perkataan yang keluar dari bibir, kebenaran itu tidak akan tegak kerana tidak bertulang punggung. Tulang punggung ialah harta. Di dalam satu perhelatan atau pesta sutan-sutan dan baginda-baginda didukkan di kepala rumah. Sedang si miskin harus di muka jenjang saja.

Yang lain mengatakan kemuliaan dan bahagia itu pada nama yang masyhur dan sebutan yang harum, mentereng (gagah), dijadikan orang buah mulut, dipuji ke tengah dan ke tepi. Itulah bahagia, katanya, yang lebih berharga daripada harta-benda, kerana kekayaan dunia tidaklah akan dibawa mati, tetapi 'nama baik' tetap diingat orang.

Buah fikiran ini tiada mahu putus-putus, sebab itu timbullah keinginan menyelidiki lebih jauh. Kita telah dengar bagaimana ukuran bahagia dan kaedah orang. Semua makhluk anak Adam ini rupanya ingin bahagia, bukan saja mengetahui bahagia, tetapi mengecap bahagia.

Seorang tadi mengatakan bahagia itu lantaran banyak harta. Tahukah apa sebab dia berkata begitu? Perkataannya itu rupanya timbul lantaran putus asa. Agaknya kerapkali langkahnya tertarung sebab dia miskin, kerap maksudnya tak berhasil sebab dia fakir. Lalu diputuskannya saja bahawa bahagia itu pada wang, lain tidak. Barangkali juga sudah pernah dikirannya tidak diterima orang padahal benar, tetapi kerana dia tidak punya wang, tidak kaya, lalu diabaikan orang saja. Jadi kaedahnya itu adalah dari hati yang kecewa.

Kalau kita perturutkan, setiap orang mempunyai kaedah tentang bahagia, sebanyak penderitaan, sebanyak pengalaman, sebanyak kekecewaan.

* Orang fakir mengatakan bahagia pada kekayaan.
* Orang sakit mengatakan bahagia pada kesihatan.
* Orang yang telah terjerumus ke lembah dosa mengatakan bahawa terhendti dari dosa itulah kebahagiaan.
* Seorang yang tengah rindu dan bercinta mengatakan bertemu dengan kekasih itulah bahagia.
* Seorang pemimpin rakyat berpendapat, bahawa kemerdekaan dan kecerdasan umat bangsa yang dipimpinnya itulah bahagia.
* Seorang perawan dusun bernama Asma binti Bahdad, yang dikahwini oleh Muawiyah bin Abi Sufyan, berkeyakinan bahawa bahagia itu adalah kembali ke dusunnya, di dalam pondoknya yang buruk, walaupun sekaarang dia dalam istana yang indah.
* Seorang pengarang syair merasa bahagia jika syairnya jadi hafalan orang. Seorang wartawan merasa bahagia jika surat khabarnya dan tulisannya difahami orang.

Kita akan bertambah bingung memikirkan hal ini. Di manakah sebenarnya bahagia itu. Sebab itu kita cari buku-buku yang kita rasa penting, karangan para ahli falsafah, tasauf dan pengalamannya, adakah tersimpan di sana bahagia itu.

Buku-buku itu bertemu, kita kumpulkan keterangannya menjadi satu. Kita susunkan menjadi suatu karangan, untuk menjadi suluh penuntut bahagia, tetapi bahagia tak ingin bertemu.

Maka adalah kebahagiaan yang kita cari itu terlalu tinggi. Kita semuanya hanya mengumpulkan pendapat orang lain, kerana demikianlah kita ini di dalam hidup. Kadang-kadang pendapat mereka itu belum pernah dirasainya, hanya di angan-angannya begitulah agaknya. Kadang-kadang pula telah dirasainya, tetapi tak sanggup dia melukiskan secara terperinci, kerana tidak mudah bagi manusia menerangkan segala kelazatan yang dirasainya. Tetapi dengan membaca pendapat-pendapat para ahli itu, moga-moga terubatlah hati kita, timbul keinginan menuju ke sana, dan tercapailah oleh kita bahagia, walaupun tidak seluruhnya, sebahagiannya pun cukuplah.

0 comments »

0 comments