Pendapat Ahli-ahli Fikir Zaman Sekarang

Posted by Ibnu Nurdin | 2:25 PM

Ahli-ahli fikir zaman kini ada yang putus asa, yang kecewa dan ada yang merasa sukar sekali mencari bahagia itu.

Hendrik Ibsen, ahli fikir bangsa Norwegia (1828 -1906) berpendapat bahawa mencari bahagia itu hanya menghabiskan umur saja, kerana jalan untuk menempuhnya sangat tertutup, setiap ikhtiar untuk melangkah ke sana sentiasa tertarung. Kerana mula-mula orang yang menujunya menyangka bahawa perjalanan telah dekat, padahal dekat kepada jurang tempat jatuh.

Beliau berkata: "Kita belum mencapai bahagia, sebab tiap-tiap jalan yang ditempuh menjauhkan kita daripadanya".

Cuba pembaca fikir, kenapa filosof ini berpendapat demiian? Berapa banyaknya kita lihat di dalam hidup ini manusia berikhtiar mencari bahagia dengan bermacam-macam jalan, tetapi boleh dikatakan tiap-tiap menempuh itu terjatuh di tengah jalan? Ada pahlawan, yang mula-mula menyangka bahawa bahagia akan tercapai olehnya dengan jalan membela tanah airnya. Tiba-tiba setelah tercapai olehnya kebahagiaan tanah air itu, setelah ia beroleh kemenangan, lupalah ia kepada bahagia yang ditujunya, ia mencuba pula hendak merosakkan tanah air orang lain.

Ketika miskin orang bercita-cita menjadi kaya, kerana bila harta telah cukup bahagia akan tercapai, sebab dapat membantu sesama hamba Alah. Tetapi setelah kaya dia menjadi sombong harta bendanya dinikmati sendiri dan dia menjadi kikir.

Sebelum menjadi presiden atau menteri, atau anggota parlimen, ia berjanji di hadapan rakyat akan menentang segala sifat yang zalim dan aniaya. Tetapi setelah kerusi diperolehinya, berkisarlah kezaliman menteri yang hilang kepada menteri yang baru. Demikianlah antara lain contoh-contohnya.

Itulah sebab filosof Hendrik Ibsen berkata bahawa mencari bahagia itu membuang-buang masa saja. Tetapi sikap yang beliau ambil itu adalah sikap putus asa.

Thomas Hardy pun segolongan dengan Hendrik Ibsen sama-sama putus asa di dalam mendaki, memanjat dengan bermacam-macam ikhtiar untuk mencapai bahagia, bahagia itu tidak dapat juga.

0 comments »

0 comments