L. Terbuka Pintu Memahamkan Agama.

Posted by Ibnu Nurdin | 1:48 PM

Sebahagian pemimpin agama yang terdahulu menutup mati pintu bagi pengikut agama itu memahamkan maksud dan hikmah agama itu. Maksud mereka hanya semata-mata untuk melebihkan diri, supaya mereka saja yang dianggap alim, bijak dan pintar. Dengan itu tetaplah kekuasaan dalam tangan mereka. Orang ramai diharamkan memegang dan menyentuh, tetapi beliau sendiri halal. Orang hanya boleh membaca saja, tetapi tidak boleh memahamkan. Banyak syarat-syarat yang mesti ditempuh lebih dahulu, iaitu syarat-syarat yang tidak kepalang sukarnya. Lama-lama mereka sendiri terikat pula dengan angan-angan mereka, iaitu tidaklah faham lagi apa maksud dan isi kitab suci. Mereka hanya semata-mata menyembah tulisan, bukan kepada maksud , kepada huruf, tidak kepada tujuan. Siapa melanggar agama menurut yang mereka fahamkan disingkirkan dari agama. Jadi merekalah yang menguasai agama. Diambilnya Hak Tuhan.

Maka datanglah Quran mengkritik keras kejadian dan peraturan yang pincang ini. Satu kali menurut Al-Quran.

Ertnya: "Setengah mereka ada yang ummi, tidak mereka ketahui akan Kitab itu hanya semata-mata amani (angan-angan), tidak ada yang mereka ketahui, hanyalah menebak-nebak saja". (Al-Baqarah: 78).

Setelah itu Allah dengan terang merendahkan darjat orang yang memikul kitab suci tetapi tidak mengerti dan tidak faham maksud dan isinya.

Tuhan berfirman:

Ertinya: "Umpamanya orang yang dipikulkan kepada mereka kitab Taurat tetapi mereka tidak sanggup menanggungnya, adalah seumpama keldai yang memikul kitab-kitab jua layaknya. Amatlah buruknya prumpamaan kaum yang mendustakan ayat Allah, dan Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang aniaya". (Al-Juma'ah: 5).

Amani, yang diertikan dengan angan angan-angan itu, ertinya menurut tafsir ialah semata-mata pandai membaca, tidak memahamkan isinya. Seprti seorang seorang qari membaca Quran dengan suara merdu dan mendayu-dayu, kena makhraj dan tajwidnya, tetapi fahamnya kosong. Dengan sendirinya mereka hanya menurut kira-kira saja, fahamnya tidak berdiri pada yang betul, tidak beralasan. Mengerjakan suatu perbuatan yang mereka sangka mendatangkan kesayangan Allah, tetapi tak disukai Allah. Mereka perbuat suatu yang mereka sangka ibadat, tetapi perbuatan bida'ah. Pada suatu masa mereka bertegang urat-leher mempertahankan pendirian tetapi tidak ada bukti, sehingga main takwil-takwil saja.

"Celakalah (wailun) bagi orang yang menyuratkan kitab dengan tangan mereka sendiri, kemudian mereeka katakan bahawa buatan tangan sendiri itu dari Allah, kehendak mereka hanyalah supaya pekerjaan itu mereka hargai dengan harga yang sedikit". (Al-Baqarah: 79).

Orang yang dimisalkan Tuhan dengan keldai memikul kitab-kitab adalah orang yang tidak tahu mahal atau murahnya isi kitab Taurat yang mereka pikul itu. Memang jika Allah membuat misal, cocok dan lekas masuk akal. Cuba perhatikan keldai, disuruh memikul rumput, bila sampai di tempat perhentian dihempaskannya dirinya dan dihempaskannya pula rumput yang dipikulnya itu lantaran berat. Setelah itu suruh lagi dia memikul padi, bila sampai di tempat perhentian, padi itu akan dihempaskannya pula seperti menghempaskan rumput, kerana dia tidak tahu buah padi yang akan gugur. Dia tidak tahu perbezaan harga padi dengan rumput. Orang yang bersifat seperti keldai itu cuma soraknya yang keras, tetapi darjat akalnya tidak mencapai bagaimana mahal barang yang terpikul di atas belakangnya. Sejak dari nenek moyangnya dia telah teradat disuruh memikul, apa isi, bagaimana maksud dan ke mana tujuan yang dipikulnya dia tidak faham, tidak mengerti. Keldai memikul kitab dengan keringat payah pemimpin agama itu demikian pula layaknya. Oleh kerana bodoh dan tidak tahu kebodohan diri, kitabkitab yang bernilai tinggi itu telah memberikan kerugian diri. Tidak menghasilkan ilmu, tetapi menghasilkan keberatan.

Dengan segala kritik yang bertubi-tubi dalam Quran itu, dituruti oleh berpuluh, bahkan beratus ayat-ayat yang menghasung berfikir, menggerakan hati supaya mempergunakan akal, menyuruh supaya mata digunakan melihat dan menilik, telinga supaya mendengar dan menimbang, hati supaya merasa dan tangan buat memeriksa, yang kalau segalanya itu tidak dihiraukan sama darjat dengan binatang. Dengan segalanya itu nyatalah bahawa Quran, Islam sangat menyeru supaya orang berfaham dan berilmu. Islam benci kalau Quran hanya dibaca dan dilagukan saja, tidak dikorek rahsia yang tersimpan di dalamnya. Quran tidak membezakan tingkatan orang bawah dengan tingkatan pemangku agama dalam Islam, tidak ada pendita-penditaan. Semua orang boleh jadi pendita, semua orang boleh memperhatikan Quran dan Hadis Nabi. Itulah sebabnya kalau bukan kerana kebodohan, sukar orang Islam yang dapat tertarik oleh agama lain, sebab mereka lekas faham akan agamanya.

Tetapi jangan dilupakan, bahawa pada masa yang akhir ini penyakit demikian tela pindah ke dalam kaum Muslimin. Kaum ulama mencuba pula hendak mengangkangi (menodai) dan hendak menjual belikan agama dengan harga yang sedikit, orang ramai hendak dijual tegak-tegak, tidak harus memahamkan agama kalau tidak mempunyai syarat-syarat yang jelas. Quran tidak boleh ditafsirkan kalau tidak memenuhi syarat-syarat yang ditentukan. Ikut saja kata orang yang telah terdahulu, habis perkara. Tetapi mudah-mudahan sebahagian umat pada masa ini telah insaf. Faham demikian telah mulai dibasmi. Jangan mengikuti saja pada pendapat orang yang telah menyelidiki. Kerana buah penyelidikan mereka berbeza-beza menurut kadar pengertian masing-masing dan menurut tempat dan zamannya. Tetpi berusahalah supaya memahamkan Quran dengan mudah, tahu akan hadis dan hafal maksudnya, sedang mereka baru merentas jalan. Kononlah orang yang datang kemudian. Quran telah tercetak, tidak tertulis dengan tangan lagi, dan faham ulama-ulama ikutan yang telah terdahulu yang beribu-ribu banyaknya sudah dapat pula dijadikan suluh benderang dan perbandingan di dalam mencari maksud Quran. Tentu lebih mudah orang sekarang memahamkan daripada orang dahulu. Kecuali kalau diikuti kefanatikan orang agama lain itu. Ulama-ulama mengatakan tidak boleh menafsirkan Quran kalau tidak lengkap alatnya. Hilangkan kata-kata tidak itu. Ertinya Quran boleh ditafsirkan kalau cukup alatnya. Maka cukupkanlah alat itu.

0 comments »

0 comments