KESIHATAN JIWA DAN BADAN

Posted by Ibnu Nurdin | 2:35 PM

A. Sebab Bahagia Yang Keempat.

Ialah kesihatan jiwa dan kesihatan badan. Kalau jiwa sihat, dengan sendirinya memancarlah bayangan kesihatan itu kepada mata, dari sana memancar nur yang gemilang, timbul dari sukma yang tiada sakit. Demikian juga kesihatan badan, membukakan fikiran, mencerdaskan akal, menyebabkan juga kebersihan jiwa. Kalau jiwa sakit, misalnya ditimpa penyakit marah, penyakit duka, penyakit kesal, terus dia membayang kepada badan kasar, tiba di mata merah, tiba di tubuh gementar.

Kalau badan ditimpa sakit, jiwa pun turut merasakan, fikiran tidak berjalan lagi, akal pun timpul.

Kerana itu hendaklah dijaga sebab-sebab penyakit dan biasakan melakukan pekerjaan yang dapat memelihara kesihatan. Jika jiwa, jiwa yang utama, tentulah kehendaknya utama pula, mencari ilmu dan hikmat dan segala jalan untuk menjaga kebersihan diri. Supaya tercapai maksud yang demikian perlu diperhatikan 5 (lima) perkara:

a. Bergaul dengan orang-orang budiman.
b. Membiasakan pekerjaan berfikir.
c. Menahan syahwat dan marah.
d. Bekerja dengan teratur.
e. Memeriksa cita-cita diri sendiri.

1. Bergaul Dengan Orang-orang Bludiman.

Pergaulan mempengaruhi cara berfikir. Pergaulan membentuk kepercayaan dan keyakinan. Oleh kerana itu, untuk kebersihan jiwa, hendaklah bergaul dengan orang-orang yang berbudi, orang yang dapat kita kutip manfaat daripadanya. Jangan bergaul dengan durjana, yang banyak omong kosong, yang banyak gurau tak berfaedah, yang selalu membanggakan kejahatan, Melainkan jika pada satu ketika terpaksa bercampur dengan golongan itu, hendaklah membuat isyarat yang boleh difahami mereka, bahawa kita tidak setuju dengan perbuatan dan kelakuan mereka. Kerana biasanya, kotoran budi mereka yang kita saksikan itu boleh melekat kepada kita, amat susah buat membasuhnya sekaligus. Bahkan kadang-kadang orang yang baik boleh tertarik oleh orang yang tidak baik, apalagi kalau kebaikan baru saduran, belum lekat sampai ke sanubari.

Apakah sebabnya?

Orang-orang yang baik dan hendak menjaga budi pekerti, terikat oleh budinya. Dia merasa berat mengerjakan kejahatan kerana menyalahi kebaikan. Tetapi bila bertemu suatu golongan mengerjakan kejahatan dengan bebas, bermulut kotor, melangkahi budi peraturan budi kesopanan, mahu tidak mahu budi si utama yang telah lama terikat itu ingin pula beristirehat. Hendak lepas sekali-kali dari ikatan. Padahal pada langkah yang pertama bernama istirehat, maka pada langkah kedua timbul keinginan dan langkah yang ketiga mulai berkisar dari kedudukan mulia kepada kedudukan hina. Jatuhlah diri ke dalam jurang dalam. Diri sendiri meraa telah sesat, sedar dan insaf, tetapi sudah sukar mengangkat diri dari lubang itu. Tiap-tiap hendak memanjat tebing yang curam itu, sentiasa jatuh kembali, sebab licinnya dinding atau sebab dengkinya teman-teman yang hendak ditinggalkan, sehingga tiap-tiap hendak mendaki, dihelakannya kembali.

Sebab itu pilihlah teman duduk yang memberi faedah pada jiwa kita dan jiwanya. Kebahagiaan pergaulan tidak akan terdapat jika tidak dengan kesanggupan menerima dan memberi. Jangan hanya berani memberi nasihat, tetapi berat menerima nasihat. Jangan hanya mempelajari, tetapi berat mengerjakan. Tidak juga salah, jika kadang-kadang pergaulan itu dimanis-maniskan dengan senda gurau yang tidak melampaui batas.

Boleh mencari kesenangan yang tidak dilarang agama dan kesucian kemanusiaan. Jangan melebihi, kerana melebihi merugikan, jangan mengurangi, kerana mengurangi sia-sia. Kalau gurau lebih dari wajar perkataan mesti terlantur ke luar batas kesopanan. Bahayanya besar, bila memperkatakan perkara penting, jatuh kepada senda gurau juga, sebab sudah biasa. Kerana itu barang yang penting, dan yang kurang penting menjadi sangat penting. Tetapi kalau majlis itu tidak sedikit juga dicampuri keriangan, otak akan menjadi berat berfikir. Barang yang dapat diurus cepat, kerana sudah biasa dibesar-besarkan, diberat-beratkan dapat pula menghabiskan waktu dan tenaga.

2. Membiasakan Pekerjaan Berfikir.

Untuk menjaga kesihatan jiwa, biasakan berfikir setiap hari walau fikiran yang kecil sekalipun. Kerana bila otak dibiarkan menganggur, boleh pula ditimpa sakit, menjadi bingung. Tiap-tiap hari otak mesti dilatih. Kalau otak malas berfikir, kita menjadi dungu. Banyaknya orang bodoh adalah kerana malas berfikir. Itulah mati di dalam hidup. Haruslah diajar kekuatan berfikir sejak kecil kerana orang yang kuat berfikirlah yang dapat menghasilkan hikmat. Jika besar kelak dia akan menjadi bintang pergaulan yang gemerlapan, menjadi garam, yang tanpa dia, sambal masyarakat tidak ada rasa.

Fikir berdekatan dengan pengalaman. Seorang pemikir yang berpengalaman, boleh mengambil natijah (kesimpulan) suatu perkara dengan segera, sedang orang lain memandang perkara itu besar dan sulit. Sebab dari fikirannya dan pengalamannya, dia sudah biasa menjalankan manthiknya. Kalau perkara ini asalnya begitu, tentu akibatnya begini. Perjalanan Sunnatullah ini tidaklah akan salah.

Yang kerapkali salah ialah jalan berfikir.

Setelah dia menjadi ahli fikir dan berpengalaman, tambah berseri jika dia berilmu. Laksana seorang yang mempunyai sebuah keris pusaka yang tajam, sentiasa diasah dan digosoknya. Kalau keris itu disimpan saja, tidak diasah, digosok, akan berkarat, walaupun dahulukala dia bertuah, sebab tuah semasa tajamnya. Orang Jawa menamainya: "Keris yang kehilangan pamor".

Demikian ilmu dengan fikiran, seorang ahli ilmu tidaklah enggan menambah ilmu, sebab ilmu adalah laksana lautan, bila diselami bertemulah barang-barang ajaib yang belum pernah dilihat dan didengar. Orang umpamakan rahsia dan keajaiban alam ini dengan lautan besar. Ombaknya yang memecah, membawakan mutiara yang tersimpan di dasar lautan masih banyak, sampai dunia kiamat, perbendaharaan laut itu tidak akan habis-habisnya.

Berkata Hasan Basri:

"Pimpin dan kendalikan jiwa dengan baik, kerana amat liarnya, dan beri ingatlah, kerana dia lekas lupa.

3. Menjaga Syahwat Dan Kemarahan.

Supaya batin sihat, hendaklah dikongkong jangan sampai terpengaruh oleh kekuatan syahwat dan marah. Kadang-kadang angan-angan manusia menerawang ke dunia syahwat, madu manis. Syahwat itu menimbulkan rindunya. Jika rindu telah timbul, timbulnya daya upaya menyembah. Untuk itu manusia lupa pada apa yang patut dan janggal. Waktu itulah dia kerap kehilangan pedoman.

Orang berakal tidak akan membangkitkan angan-angan nafsu, tidak mencari dan mengorek yang akan menimbulkan marah. Melainkan dibiarkannya syahwat dan nafsunys tinggal tenteram. Digunakannya syahwat dan marah itu tidak untuk menyerang tetapi untuk mempertahankan diri.

Kerana kalau syahwat dan marah tidak ada pada manusia, nescaya mereka tidak pula selamat dalam hidupnya, yang tidak bersyahwat dan tidak berperasaan marah, akan ditindas oleh orang yang berperasaan marah. Gunanya pada diri manusia, ialah penjaga keselamatannya, bukan mengganggu dan menyerang keselamatan orang lain.

Supaya nafsu (batin) terpelihara, hendaklah orang berjuang menyingkirkan perangai rendah. Biasakan melatih diri di dalam keutamaan. Yang paling berbahaya buat kesihatan rohani ialah memandang murah kejahatan yang kecil. Ah, itu cuma perkara kecil. Kerana perkara kecil itu menjadi pintu buat yang lebih besar. Kalau dari kecil sudah biasa menjaga perangai, dan lidah dari tutur kata yang tiada karuan (tidak tentu arah), kelak akan terbiasalah mengerjakan pekerjaan itu di mana perlu, padahal orang lain jauh daripadanya, sebab-sebab tidak diajar dan dibiasakan.

Misalnya seorang khadam yang bekerja dengan seorang tuan yang kotor mulut dan kasar perangai. Mula-mula dia mendengar perkataan-perkataan yang keras itu mendenging telinganya. Tetapi lama-lama kerana sudah biasa, telinganya sudah tebal mendengar perkataan itu, sehingga pada suatu waktu, bagaimanapun marah tuannya dan bagaimanapun kasar perkataannya, tidaklah akan memberi bekas kepada perangai khadam itu, bahkan diterimanya dengan senyim saja.

Pergaulan yang baik menjadi syarat utama dalam membentuk batin, ajaran sejak kecil menjadi tiangnya. Dalam membentuk kemuliaan batin contohlah pemerintah yang tahu siasah. Sebelum musuh menyerang ke negerinya, dia cukup persiapan. Kerana kadang-kadang musuh datang menyerbu ke dalam batin ialah kerana di dalamnya telah ada kekacauan lebih dahulu. Sebab kemarahan atau syahwat. Kerana benteng tidak cukup pertahanan, dalam sebentar waktu, jatuhlah kota itu ke tangan musuh. Maka benteng penjaga supaya syahwat dan marah itu tidak keluar dari batas penjagaannya, ialah sabar. Di sinilah terpakainya: "Sedia payung sebelum hujan". Kalau musuh masuk, baru akan mulai bersiap atau kalau hujan telah turun, baru hendak mengembangkan payung, meskipun, berhasil juga, tetapi sukar. Lebih banyak bahaya dan kerugian dari keuntungan.

Berusahalah di pangkal pekerjaan, kerana yang hujung tidak dapat diperbaiki lagi.

Pepatah Melayu:

"Masa kecil teranja-anja, setelah besar terbawa-bawa, setelah tua terubah tiada, akan mati menjadi perangai".

Kata Hakim:

"Ajarlah anak-anak beradab semenjak kecilm laksana kayu, dapatlah ranting-ranting itu diputar dan dibelokkan semasa kecil. Kalau sudah besar tidak dapat diputar-putar dan dibelokkan lagi, tetapi dipotong dengan kapak".

4. Tadbir, Menimbang Sebelum Mengerjakan (Berkerja Dengan Teratur).

Sebelum memulai suatu pekerjaan, hendaklah timbang dahulu manfaat dan mudaratnya, akibat dan natijahnya. Pekerjaan yang tidak dimulai dengan pertimbangan, hanyalah menghabiskan masa dan umur. Hasilnya tidak ada kecuali sebuah saja, iaitu pekerjaan yang terbengkalai dan tidak langsung itu dapat menjadi pengalaman dan perbandidngan pada yang kedua kali. Tetapi seorang akil budiman, tidak akan tiga kali mengerjakan sesuatu dengan tidak memakai timbangan. Orang tua tidak dua kali kehilangan tongkat.

Nabi saw bersabda:

"Mukmin tidak dua kali digigit ular pada satu lubang".

Kalau pernah terdorong mengerjakan pekerjaan yang tiada faedahnya, hendaklah hukum diri atas kesalahan itu.

Misalnya orang yang solat terlalu cepat, sehingga menghilangkan khusyuk, hukumlah diri supaya solat lebih lambat dari biasa. Jika terlanjur mengerjakan perbuatan yang menerbitkan marah orang lain, hukumlah diri supaya menelan kemarahan orang itu apabila dia membalas, tidak menjawab dan membantah. Kalau timbul malas, hukum diri supaya mengerjakan pekerjaan yang berat.

Buatlah di dalam diri suatu pemerintahan mempunyai rencana dan aturan langkah dan tujuan. Adakan undang-undang dan adakan hukuman. Hukumlah batin jika dia menyalahi undang-undang yang telah ditentukan akal itu.

5. Menyelidiki Cita-cita (Aib) Diri Sendiri.

Tiap-tiap orang takut cacat dirinya. Di sini nyata bahawa manusia tidak ingin direndahkan. Semua suka kemuliaan. Tetapi jarang orang yang tahu pada aibnya, orang yang tidak tahu pada aib dirinya dalah aib yang sebesar-besarnya.

Berkata Jalinus At Thabib:

"Kerana segala manusia cinta pada dirinya, tersembunyilah baginya aib diri itu. Tidak kelihatan olehnya walaupun nyata. Kecil dipandangnya walaupun bagaimana besarnya".

Jalinus menunjukkan jalan, supaya kita tahu akan cacat diri. Iaitu pilihlah seorang teman yang setia, yang sanggup menasihati jika kita berbuat perbutaan yang tercela. Teman yang tidak mahu menyatakan aib kita, yang hanya memuji dan meninggikan, bukanlah sabahat yang setia.

Seorang hakim berkata: "Temanmu ialah yang berkata benar pada engkau, bukan yang membenar-benarkan engkau".

Memang jika pekerjaan kita dicela orang dan perbuatan kita dapat cacian, kita merasa sakit. Menurut kata Jalinus tadi, sakit kena cela itu adalah tabiat manusia yang cinta diri. Tetapi hendaklah hati-hati, sebelum celaan itu datang. Lebih baiklah mencela diri sebelum dicela orang lain. Periksalah celaan itu, adakah pada diri, kalau ada singkirkanlah.

Tidak ada yang tidak berguna di alam ini, demikian ujar budiman. Musuh yang sebesar-besarnya sekalipun ada juga faedahnya. Kerana musuh itupun tahu cela dan kekurangan kita, disiarkannya aib dan kekurangan itu ke mana-mana. Sebab itu janganlah enggan mendengar celaan musuh.

Jalinus berkata: "Manusia yang bumiman dapat mengambil manfaat dari musuh-misuhnya".

Perkataan Melayu:

"Hendak tahu di baik orang,
tanyakan kepada kawannya,
hendak tahu di buruk orang,
tanyakan kepada musuhnya".

Syair Arab:

"Musuh-musuhku itu ada baiknya kepadaku, dan ada pula pemberiannya yang baik tidak bernilai olehku.
Sebab itu, moga-moga Tuhan Yang Rahman tidak menjauhkan daku dari musuh-muusuhku.
Mereka korek-korek kesalahanku, lantaran itu aku dapat menyingkirkan diri dari kesalahan.
Mereka berlumba-lumba dengan aku, sebab itu aku dapat mencari kemuliaan dan ketinggian!?.

Berkata Abu Yusuf bin Ishak Al Kindi, Filosof Islam yang masyur:

"Hendaklah orang yang ingin mencapai keutamaan menjadikan teman, sahabatnya kaca perbandingan untuk dirinya, tiap datang kepadanya seruan syahwat. Orang lain mengerjakan syahwat dan menurut seruan nafsu jahat, terancam oleh bahaya yang ngeri. Maka insaflah sipenuntut keutamaan, dinasihatinya dirinya jangan sampai dia terjatuh pula.

Kita lihat orang lain tersesat, lekas katai diri dan berlindung kepada Tuhan, dan jangan lekas mencela. Mohonlah supaya diri sendiri ditetapkan Tuhan di dalam taat, kerana dia pun tak tahu bagaimana agaknya perjalanan hiodup kita nanti".

Kata Al-Kindi juga:

"Jangan meniru perangai lampu, menerangi orang lain, tetapi diri sendiri terbakar. Tetapi contohlah perangan bulan, tiap-tiap dia bertentangan dengan matahari, dia mendapt cahaya baru".

Maka janganlah tertawa melihat orang jatuh, kerana jaranglah jatuh yang disengaja, padahal dia sakit. Tetapi bersyukurlah kepada Tuhan, jika kita tidak jatuh dalam perjalanan sesulit ini".

Cahaya batin berasal dari cahaya Tuhan, sebagaimana cahaya bulan berasal dari matahari. Bila bulan terbit, kalahlah cahaya bintang-bintang yang banyak. Cahaya batin yang terbit dari iman, mengalahkan cahaya bintang-bintang kecil.

Sebab itu seorang mukmin memancarkan nur dari dalam hatinya, mengalahkan cahaya yang lain, mengirimkan pengaruh kepada alam ini.

Untuk itu dapatlah jadi perbandingan bilangan 80,000 dengan bilang 400,000,000. Dahulukala, mula-mula Islam disebarkan, dia dianut oleh 80,000 orang saja. Orang yang lapan puluh ribu itu berserak ke seluruh tanah Arab. Akhirnya mereka menguasai sebahagian besar dunia. Sekarang keturunan yang memgang pengajaran orang yang 80,000 telah berlipat ganda bilangannya menjadi lebih 1 billion, tetapi sebahagian besar umat ini terkebelakang, kecuali beberapa negeri dan beberapa orang yang dipeliharakan Allah. Apakah sebabnya? Islah lantaran cahaya iman, cahaya penjagaan batin, cahaya kesihatan jiwa telah pudar dan telah gelap dari hati yang lebih 1 billion itu.

Satu saat diharpkan 1 billion bangun kembali.

InsyaAllah!.

0 comments »

0 comments