Kekayaan.

Posted by Ibnu Nurdin | 2:05 PM

Apakah hakikat kekayaan, dan apa hakikat kemiskinan?

Setelah payah Hukama mencari apakah erti kekayaan yang sebenarnya, mereka mendapat keputusan, iaitu:

"Orang kaya ialah orang yang sedikit keperluannya".

Jadi jangka turun naik kekayaan dan kemiskinan, ialah hajat dan keperluan. Siapa yang paling sedikit keperluannya, itulah orang yang paling kaya dan siapa yang amat banyak keperluan itulah orang yang miskin. Sebab itu yang maha kaya hanya Allah. Sebab Allah tidak berkehendak keperluan atau hajat.

Raja-raja adalah orang yang paling miskin, kerana keperluannya sangat banyak. Di dunia seorang raja diikat oleh bermacam-macam aturan dan keperluan dan di akhirat akan dibuka pula perkaranya yang besar-besar, sebagaimana yang diterangkan oleh Sayidina Abu Bakar yang telah kita salinkan dahulu daripada ini.

Jutawan ramai yang miskin!

Dasar segala yang tersebut itu, pergantungannya ialah diri sendiri. Kalau orang hendak kaya, cukupkanlah apa yang ada, jangan bernafsu hendak memiliki kepunyaan orang lain hadapkan saja muka di dalam taat kepada Allah, tenteramkan jiwa di dalam menghadapi alhayat. Kalau hendak miskin, ingatlah segala yang teringat, kenanglah segala yang belum ada, hendaki ini dan itu hendaki rumah yang lebih cintik, kerana yang sekarang walaupun bagaimana cantiknya, belum juga cukup rasanya, sebab belum secantik rumah si anu, padahal rumah kita sendiri, sudah titik air liur orang lain elihatnya. Kalau dengan harta yang ada dalam tangan, kita ingin kata, dalam sebentar waktu keinginan itu boleh tercapai, iaitu takaran hidup berdiri di atas kesederhanaan, sudah menafkahkan harta pada barang yang berfaedah apalagi di zaman kini yang membanyakkan belanja orang sehari-hari itu bukanlah keperluan yang penting. Yang membesarkan belanja kerapkali barang yang tak perlu, perhiasan yang berlebih-lebihan. Cuba tekankan perasaan jiwa yang berontak, ikat dengan taat kepada Ilahi dan belanjakan membela kebenaran, menegakkan keadilan, menolong fakir dan miskin.

Kekayaan hakiki ialah mencukupkan apa yang ada, sudi menerima walaupun berlipat ganda beratus-ribu bilion, sebab dia nikmat Tuhan. Dan tidak pula kecewa jika jumlahnya berkurang, sebab dia datang dari sana dan akan kembali ke sana. Jika kekayaan melimpah ialah untuk menyokong amal dan ibadat, iman dan untuk membina keteguhan hati menyembah Tuhan. Harta tidak dicintai kerana dia harta. Harta hanya dicintai sebab dia pemberian Tuhan. Dipergunakan kepada yang berfaedah.

Kekayaan majazi, menurut kebiasaan aturan hidup di zaman sekarang ini, ialah menumpahkan cinta kepada harta-benda semata-mata, yang menyebabkan buta dari pertimbangan, sehingga hilang cinta kepada yang lain, kepada bangsa dan tanahair, agama,Tuha, bahkan Tuhan itu tidak dipercayai lagi. Hilang cinta kepada segala yang patut dicintai, bahkan kadang-kadang diri sendiri sudah lupa mencintainya. Sebab telah tertumpah kepada harta. Orang kaya begini, dua bahaya mengancamnya, pertama penyakit bakhil, kedua penyakit boros dan royal (menghamburkan harta), sombong dan takbur, lupa bahawa manusia sentiasa diancam bahaya yang mengerikan.

Dia kaya raya, sebab itu perlu penjagaan, keperluannya kepada penjagaan menyebabkan dia miskin. Dia miskin. Dia kaya raya, perlu berubat kalau sakit. Keperluannya kepada ubat, satu dari tanda kemiskinannya. Dia takut mati, keperuannya menangkis kemiskinannya. Dia takut mati, keperluannya menangkis kematian, adalah tanda dari kemiskinan. Sebab itu, orang kaya yang majazi, ialah orang miskin yang hakiki. Sebaliknya orang miskin majazi adalah kaya yang hakiki.

Apakah perbezaan antara orang banyak harta dengan orang yang hanya berbaju yang lekat di tubuh itu saja?

Orang yang banyak harta dan orang yang tidur di kami lima, adakah berbeza perasaan sakit yang mereka tanggungkan? Adakah berbeza demam yang mereka idapkan? Tidak. Walaupun orang kaya tidur di tilam tebal dan berselimut mahal, dan orang miskin tidur beratapkan langit saja.

Jadi tidaklah tidur di kasur itu dapat mengurangi penyakit.

Kematian boleh datang menyerang seorang kaya yang sedang berada di atas singgahsana keemasan, dijaga oleh dayang-dayang yang ramai, beratus-ratus pengawal yang berdiri di muka pintu. Kematian pun boleh datang kepada seorang peminta-minta sehingga dia tersungkur di tepi jalan. Si kaya dikafani orang dengan kain sutera, si miskin dikafani dengan pakaian yang lekat di badannya. Si kaya dihantar ke kuburan oleh beribu-ribu orang. Si papa dihantarkan oleh kuli kotapraja yang memungut mayatnya. Keduanya sampai ke kuburan, diperhentian besar yang tidak membezakan darjat orang. Setelah sepuluh atau dua puluh hari di belakang, hancurlah kafan sutera sebagaimana hancurnya pakaian yang lekat di badan si papa tadi.

Kalau nyata bahawa harta tak dapat menangkis, menolak demam, tak dapat menghindarkan maut, nyatalah bahawa kesusahan yang menimpa orang kaya, serupa juga dengan yang menimpa orang miskin.

Memang mahal pakaian yang dipakai oleh lorang yang banyak harta tetapi sungguh pun mahal, yang dipakaiya tidak lebih daripada penutup tubuhnya, sebagaiana yang dipakai oleh si papa tadi. Berbagai ragam makanan yang lazat, dimakan orang yang banyak harta, tetapi bila perutnya telah kenyang, dia berhenti. Persis sebagaimana orang miskin yang hanya memakan nasi sebenggol ratak, bila perutnya telah kenyang, berhenti pula. Kadang-kadang kita lihat lebih banyak keringat sipapa keluar dan lebih 'sunguk sangak' dia menaikkan suapnya lantaran enak makannya, daripada yang banyak harta tadi.

Tidak sedikit ditemukan orang kaya yang terus menerus makan enak itu bosan kerana keenakan.

Kerapkali sejarah mengatakan bahawa orang masyhur,yang telah mendapatkan kedudukan mulia, orang popular dan mengagumkan atau ahli-ahli ilmu yang besar, ataupun pengarang-pengarang ternama, ahli syair, ahli seni, timbul dari kalangan orang-orang fakir dan melarat.

Muhammad saw mengubah dunia yang besar itu, ketika dua bulan dalam kandungan ibunya, ayahnya meninggal dunia. Ketika dia berumur enam tahun ibunya meninggal, umur lapan tahun nenek yang mengasuhnya meninggal pula. Pusaka ayahnya hanya lima ekor unta saja. Demikian juga daripada nabi-nabi yang sebelumnya.

Orang-orang besar yang datang kemudian, pun demikian pula.

Abdur Rahman Dakhil (Fatih) yang mendirikan Kerajaan Bani Umaiyah di Sepanyaol, hanya seorang pelarian politik. Salahuddin al Ayyubi pembela Palestin, hanya seorang anak seldadu. Ibnu Saad haya seorang anak raja yang terbuang ke rumah Syeikh Mubarak As Sabah di Kuwait, Reza Shah Pahlavi, Raja Persia dalamusia 30 tahun barulah pandai menulis dan membaca.

Imam Shafie yang terkenal adalah seorang anak yatim yang kuat hati hendak menuntut ilmu. Imam Malik, barulah di hari tuanya mengecap keenakan harta benda, setelah mendapat hadiah banyak dari raja-raja Bani Abbas.

Abul Ula Alma'ry, seorang miskin di negeri Ma'arrah, yang buta sejak dari kecil yang terkenal dengan gelar Abdul Ula (ayah ketinggian) sebab falsafah dan syairnya yang indah. Kurang senang dengan gelaran Abul Ula, dan lebih suka diberi gelar "Rahinul Mahbasain" (seorang yang terkurung dalam dua penjara), penjara kebutaannya dan penjara kemelaratannya.

Orang-orang besar yang demikian sedikit sekali tumbuh dari kalangan orang kaya-raya. Meskipun ahli falsafah mengakui juga bahawa orang-orang yang banyak harta sanggup menambah ilmu pengetauan sampai tinggi. Orang mengakui hal itu, tetapi orang-orang begini hanya dapat mengumpulkan yang telah ditumbuhkan orang lain. Adapun mencipta suatu penemuan yang baru, umumnya tidaklah sanggup.

Sesungguhnya hati yang tenteram dan fikiran yang tenang, memberi bekas yang nyata pada kebahagiaan manusia, bahkan itulah bahagia yang sejati. Orang yang banyak harta, kerapkali menghalangi bahaya, meskipun mereka sedikit sekali mengadukan kesusahan harta kepada orang lain, yang diperolehi oleh orang ramai banyak harta biasa hanya tiga perkara, makanan dan minuman yang enak, rumah yang bagus dan ke mana-mana hendak pergi tidak terhalang. Cubalah masukkan jumlah yang keempat, tentu tak boleh lagi, kerana yang lain itu bukan bahagiannya.

Oleh kerana makan yang tidak bermacam-macam itu boleh juga mengenyangkan perut. Oleh kerana pakaian sepersalinan boleh juga penutup tubuh, dan menangkis udara dingin dan panas, oleh kerana di pondok yang buruk dapat tidur enak, yang tak kurang enaknya dengan tidur di gedung indah. Oleh kerana semuanya itu, nyatalah bahawa bukan pasal makanan, pakaian dan kediaman itu yang jadi asas keberuntungan dan hina, bahagia dan bahaya, ketenteraman dan kesusahan.

Bukan harta sedikit yang menyebabkan susah, bukan harta yang banyak yang menyebabkan gembira. Asas gembira dan susah payah adalah jiwa yang gelisah atau jiwa yang tenang dan damai.

0 comments »

0 comments