K. Agama Dan Pengetahuan.

Posted by Ibnu Nurdin | 2:55 PM

Agama banyak ragamnya. Setengah agama hanya semata-mata ibadat dan upacara yang dilakukan di dalam waktu yang tentu dengan beberapa rukun dan syarat yang tertentu.

Dalam pada itu ilmu pengetahuan manusia bertambah naik pula, yang terbit dari penyelidikan akal dan fikiran yang tiada mahu puas. Jika berdiri suatu barang di hadapan pancaindera, timbullah pertanyaan: Apakah? Berapakah? Segala barang yang berdiri itu tidak peduli, walau agama atau keadaan, baik langit atau bumi, atau zat yang sekecil-kecilnya, semua jadi bahan pertanyaan: Apakah? Berapakah? Apa sebabnya begitu, dari mana asalnya? Kalau dibuat begini apakah hasilnya, dan kalau tidak begini apakah salahnya?

Lantaran itu, maka tiap-tiap agama selalu terbentur dengan ilmu pengetahuan,. Sehingga dalam masa yang tidak lama, tentu segala agama, upacara dan pujaan yang tidak sesuai dengan ilmu, tidak akan kuat urat tunggangnya lagi.

Penganjur-penganjur dari kepala-kepala agama, dengan setia dan teguh membela upacara agama, atau upacara yang disangkanya agama. Mereka mempertahankan dengan segala usaha dan tenaga. Dalam pada itu, manusia bertambah maju dengan ilmunya, bertambah tingkat perjalanan akalnya. Sehingga peperangan agama dengan ilmu kian lama kian hebat dan manusia yang setia kepada ilmu bertambah jauh trpisah dari agama dan manusia yang cinta kepada agama bertambah jauh terpisah dari ilmu.

Tetapi selain dari pengetahuan membongkar segala agama yang karut-marut, juga menimbulkan alasan yang kuat bahawa Yang Maha Kuasa tas alam itu memang ada, memang Wujud dan Tunggal. Sebab itu teranglah bahawa segala agama yang benar, mesti sesuai dengan ilmu yang benar, dan agama yang tidak benar, yang hanya terbit dari buah fikiran manusia yang karut, mesti tersingkir dan hapus dari muka bumi ini.

Akal sudah tahu bahawa banyak benar agama yang memaksa orang mesti percaya saja, tidak boleh membantah, padahal ilmu menentang paksaan, sebab ilmu tidak mengakui barang sesuatu sebelum dicuba dialami dan dibuktikan.

Tetapi agama yang benar, kalau belum diakui oleh ilmu, tandanya ilmu itu belum benar pula. Sebab sudah banyak bukti-bukti yang menunjukkan bahawa teori ilmu kerapkali telah menetapkan sesuatu hukum batas suatu perkara, kemudian datang teori lain membatalkan teori yang prtama. Dari ilmu yang benar timbullah percaya. Ilmu bersarang di otak dan percaya bersarang di hati. Agama ialah persetujuan perasaan hati dengan pendapat otak. Kalau belum bersetuju tandanya ilmu belum cukup perjalanannya.

Agama Islam tidak mengaku taklid buta, tetapi mengajak akal supaya bekrja menyelidiki hingga akhirnya. Agama Islam bersorak memanggil akal supaya bekerja, jangan lalai dan jangan lengah. Sebab tiap-tiap terbuka suatu pintu dari keraguan itu, terpancarlah cahaya dan hilanglah waham. Islam tidak membiarkan orang kena perkataan nina-bobok:

"Tidurlah dirumah, tak usah difikirkan panjang sebab jalan sempit, tujuan jauh, perbekalan sedikit".

Islam menyerukan supaya terlepas dari waham, syak dan ikatan was-was. Manusia diciptakan Tuhan bukan menjadi pak turut atau mengikut dengan membabi buta sebab pak turut itu turut atau mengikut dengan membabi buta sebab pak turut itu ialah binatang ternak. Manusia hidup supaya mendapat pengajaran dan ilmu dari perbandingan, dari alam, dari segala kejadian yang mengalir di dalam kehidupan yang laksana air hilir layaknya.

Umat Islam, disuruh menjadi penyaring, jangan 'nrimo wae', terima saja, laksana muara air yang dilalui ikan, buaya, kapal dan dilalui bangkai. Tetapi memilih mana yang baik, memperbaiki mana yang patut dan melemparkan barang yang tidak baik.

Firman Allah di dalam Al-Quran:

Ertinya: "Berilah kabar gembira bagi hambaKu yang suka mendengar kata dan memilih mana yang baik". (Az-Zumar: 17-18).

Menyamakan darjat manusia dengan Tuhan, tidak boleh dalam Islam, sehingga seorang manusia lantaran ada kebaikannya pada suatu masa, diagungkan, dijunjung lebih daripada mesti, dianggap tidak pernah salah, selalu benar, suci dari manusia yang lain. Sedangkan Rasulullah sendiri, kerapkali berkata bahawa dia hanya manusia biasa seperti kita ini, kelebihannya hanya kerana dia terpilih menjadi Rasul. Seketika Rasulullah meninggal dunia, Abu Bakar menegaskan dengan katanya:

"Barangsiapa yang menyembah Muhammad, maka Muhammad telah meninggal, dan barangsiapa yang menyembah Allah, Alla sentiasa hidup tidak akan mati".

Islam pun memalingkan hati dari persangkaan yang berlebihan atas nenek moyang, menyangka bahawa segala yang dari nenek moyang itu benar semuanya, sehingga tak mahu mengubah dengan yang lebih disetujui akal. Islam dengan keras mengkritik orang yang berkata:

"Demikian yang kami terima dari nenek moyang kami!"

Dalam Al-Quran perkataan yang demikian dijawab dengan kritik keras:

"Bagaimana kalau nenek-moyangnya itu tidak berakal dan tidak beroleh petunjuk?"

Antara orang yang dahulu tidak berubah dengan orang yang kemudian. Antara otak lama tidak berbeza dengan otak baru. Setengah pekrjaan diperdapat oleh orang dahulu, pengalaman mereka dijadikan pengajaran oleh yang datang kemudian. Orang dahulu, dan orang kemudian keduanya sama-sama sanggup beroleh rahmat dan bahagia kalau mereka sama-sama jujur. Boleh ditimpa malapetaka kalau memilih jalan salah. Pada pemeluk agama lain berkeras mempertahankan pupsaka nenek moyang itu. Mereka menutup pintu akal, tumpulkan perjalanan ilmu. Itulah sebabnya selalu terjadi pertentangan di antara ahli ilmu dengan ahli agama.

Tiang Islam dan tempat tegaknya yang teguh ialah dua tonggak, iaitu kemerdekaan berfikir dan kemerdekaan kemahuan (Hurriyatul fikri, wa hurriyatul iradah). Kedua syarat inilah yang utama dalam alam ini, terutama di dalam abad kemajuan ini.

Dunia Eropah sekian lama terkongkong di dalam kefanikan kepala-kepala agama. Barangsiapa mengeluarkan pendapat baru, yang tidak ada dalam njil, dituduhlah dia kafir, barangsiapa yang mengeluarkan fikiran ganjil, menurut pendita, diusirlah dia dari gereja. Kemudian datanglah zaman yang bernama zaman kebangkitan zaman renaissance, di pertengahan abad ke 16 waktu Eropah membuka selimutnya, memerdekakan kemahuannya, memerdekakan pendapat mereka. Padahal sebelum itu, tanah Arab dan ke seluruh dunia 'bahawa kebodohan dan kedunguan, akal dan fikiran yang suntuk adalah perhambaan yang lebih kejam dari segala macam perhambaan.

Tidaklah hairan, jika sebelum bangsa Eropah bangun dari tidurnya, bermacam-macam ilmu pengetahuan yang terbit dari akal yang masih bersih telah timbul dari dunia Islam. Kemudiannya, bangsa Eropah menjadi sumber segala pengetahuan, pendapat akal dan fikiran. Sementara dunia Islam tinggal dalam kebingungan dan meng'amin' saja. Ketika fikiran dan akal di Eropah, telah merdeka, kaum Muslimin menderita penyakit memperkosa akal dan fikiran itu.

0 comments »

0 comments