Iradah

Posted by Ibnu Nurdin | 1:52 AM

Pekerjaan akal yang paling berat ialah membezakan mana yang buruk dan mana yang baik, serta memahamkan barang sesuatu. Tetapi dengan semata-mata akal saja belum pula cukup untuk mencapai bahagia, kerana akal berhenti perjalanannya sehingga itu. Adapun yang menjadi perantaraan antara akal dengan bahagia, ialah iradah, kemahuan! Walaupun akal sudah lanjut dan tinggi, kalau tidak ada iradah untuk mencapai bahagia, bahagia itu tidak akan trecapai. Iradah adalah kekuatan nafsiah kita, pada kedirian kita, yang tidak dapat berpisah dari hajat hidup. Kalau hajat itu kuat, timbullah iradah, sehingga dapatlah dia menaklukkan segala pengaruh yang mendatang dari luar dan bekas-bekas asing, kalau kehidupan lemah, iradah itu pun jatuh. Kalau iradah jatuh terpengaruhlah diri oleh keadaan sekeliling kita, dan sukarlah mencapai bahagia.

Bertambah besar iradah, bertambah dekat bahagia. Bertambah lembik iradah, bertambah jauh bahagia.

Ilmu kedoktoran moden, telah memasukkan juga ilmu jiwa ke dalam bagian ilmu kedoktoran. Mereka sudah mendapat kepastian bahawa iradah atau kemahuan itu amat besar pengaruhnya bagi jasmani dan rohani manusia. Ramai orang yang baru demam sedikit sahaja, kerana lemah iradahnya, demamnya bertambah larut. Segala macam penyakit mendekat pada dirinya. Ada orang yang baru sembuh dari penyakit yang menimpanya kerana iradahnya kuat. Iradah itu tidak bergantung kepada besar kecilnya tubuh, sedikit atau ramainya orang. Kerapkali orang yang besar dan tegap badannya dapat diperintah oleh orang kecil, kerana iradahnya di kecil itu lebih kuat. Dan ada pula golongan umat beribu-ribu banyaknya tak dapat membantah seorang pemimpin yang memiliki iradah yang kuat.

Kekuatan sugesti yang dipakai oleh para doktor di zaman moden, menunjukkan besarnya pengaruh iradah. Pernah doktor-doktor mengubati orang sakit cuma dengan iradahnya, tidak memakai resep (ubat), sehingga penyakit itu sembuh, hanya bergantung kepada cara, raut muka dan sikap seketika memeriksa penyakit. Tabib-tabib kuno pun tidak memungkiri akan kekuatan ini. Abu Bakar Razi, tabib Arab dan hakim yang mashyur itu berkata:

"Hendaklah tabib memasukkan waham kepada hati si sakit bahawa penyakitnya tidak berbahaya dan dia akan lekas sembuh".

Ibnu Sina sangat terkenal keahliannya mengubati penyakit dengan sugesti. Tabib moden memperhalus penyelidikan ilmu ini sehingga dapat digunakan juga untuk membedah. Dengan kekuatan iradah, doktor itu berkata kepada pasien yang akan dibedah: "Engkau akan dibedah sekarang juga, tetapi engkau tidak akan merasa sakit".

Lantaran takluknya dan percayanya kepada doktor itu memang dia tidak merasa sakit sedikit juga ketika dibedah.

Kalau si sakit sendiri merasa dalam iradahnya bahawa doktor yang mengubatinya itu pandai dan dia akan lekas sembuh, penyakitnya akan segera lenyap. Tetapi kalau dia kurang yakin, walaupun apa macam ubat yang diminumnya, tipislah harapan akan memberi manfaat. Sebab itu bertambah masyhur nama seseorang lebih kuat iradah orang mempercayainya.

Kelemahan iradah dan kekuatan waham itulah yang menyebabkan takut dan kurang tenang.

Kalau waham itu berbekas pada akal, menjalarlah dia kepada seluruh perjalanan fikiran, angan-angan dan kehendak. Ternyata tandanya pada tubuh kasar, jelas terbayang pada muka. Dia menjadi pucat, ragu-ragu sak wasangka, tidak percaya pada diri sendiri. Kalau dia gembira, lupa akan dirinya. Pucat dan putus harapan jika kecewa. Jantungpun demikian pula, denyutnya berkurang perjalanannya melemah. Lantaran itu perjalanan darah menjadi tak menentu.

Lantaran waham-waham itulah manusia merasai sakit, padahal bukan sakit, menanggung takut dengan tidak ada sebab buat takut. Dengan menguatkan iradah, bolehlah bertahan dan terbenteng diri dari pengaruh luar itu. Dari pengecut berganti menjadi tenang dan sabar. Dari pemalas menjadi seorang yang giat gembira. Dari seorang yang putus asa dan tiada merasa puas dengan keadaannya, menjadi seorang yang merasa bahagia.

Kalau iradah kepada barang sesuatu telah kuat, kita tidak merasa apa yang dikatakan sakit.

Misalnya, seorang pemuda sedang berjalan-jalan dengan gadis kecintaannya. Tiba-tiba datang satu bahaya, misalnya anjing gila mengejar atau kekasih itu diganggu orang. Lantaran dia hendak menunjukkan kesetiaan dan keberanian di hadapan kekasihnya itu, ditentangnya bahaya tidak dipedulikannya apa yang akan menimpa dirinya. Tapi ada pula orang lain, iradahnya tak sekuat itu, dipandangnya pekrjaan itu mencelakan dirinya, lalu dia membiarkan kekasihnya diganggu orang.

Seorang pemimpin bangsa, kerana sikapnya tidak disetujui oleh musuhnya bila beroleh kekalahan, kerana kalah dan menang itu bergilir, dia dihukum bunuh. Dia naikkan ke tiang gantungan. Kerana dari bermula iradahnya telah kuat, tidaklah dipedulikannya bahaya atau mati yang ada di hadapannya itu. Ditunggunya kematian dengan gagah. Tetapi orang yang tak ada iradahnya, yang terhukum lantaran hatinya penuh dengan waham yang menyesatkan, sebelum naik tiang gantungan dia telah mati dibunuh oleh takutnya.

Seperti kata Mutanabbi:

"Orang pengecut mati beribu kali, orang berani matinya hanya sekali".

Sebab itu, jika emas mahal harganya kerana emas dipergunakan untuk perhiasan dan kebanggaan diri. Maka iradah adalah lebih mahal dari emas, kerana dengan iradah orang bercita-cita yang tinggi. Cuma sayang, kelakuan manusia ini, lebih takluk kepada kehendak jasmani yang akan hancur dalam liang lahat dan tiada peduli kepada kehendak rohani yang akan hidup selamanya. Padalah kehidupan yang bererti dalam dunia ini ialah bahagia, bahagia yang timbul dari akal yang dapat tercapai melalui iradah (kemahuan). Maka tidaklah sama darjat manusia di atas dunia ini, kerana ada yang kurang akalnya, sebab itu kurang iradahnya sehingga kurang pula bahagianya, bahkan jauh dari bahagia sejak di dunia sampai jasmaninya bercerai dengan rohaninya.

Schopenhauer, ahli falsafah Jerman menyimpulkan alam dan hidup dalam falsafahnya yang terkenal "Alam itu ialah kemahuan".

0 comments »

0 comments