A. Iktiqad

Posted by Ibnu Nurdin | 4:30 PM

Apakah erti iktiqad? Apakah hubungannya dengan bahagia?

Iktiqad terambil dari bahasa Arab. Asal katanya ialah 'aqada dipindahkan kepada iktiqad, ertinya ikatan. Kalau telah beriktiqad ertinya hati manusia telah terikat dengan suatu kepercayaan atau pendirian.

Iktiqad berasal daripada mengikat tepi-tepi barang, atau mengikatkan suatu sudut yang lain. Jadi timbulnya iktiqad di dalam hati, ialah setelah lebih dahulu fikiran itu terbang dan lepas entah ke mana, tidak berhujung dan tak tentu tempat hinggap. Kemudian dapatlah suatu kesimpulan pandangan, lalu menjadi keyakinan. Terikat tidak retak lagi.

Sebab itu maka suatu pendapat yang tidak timbul dari pertimbangan akal fikiran yang hanya lantaran taklid buta, lantaran turut-turutan belumlah bernama iktiqad. Orang yang beriktiqad di dalam suatu perkara tidaklah mahu mengerjakan suatu atau meninggalkan suatu pekerjaan dengan tidak berfikir. Kesimpulan fikirannya ialah iktiqadnya.

Keputusan iktiqad itulah yang diturutkan oleh manusia. Kalau manusia melawan iktiqadnya, dikerjakan pekerjaan yang dilarang oleh iktiqadnya atau dihentikannya pekerjaan yang disuruhkannya, bererti bahawa orang itu telah didorong oleh kekuatan lain bukan kekuatan asli dari kehendak jiwanya, melainkan kekuatan musuhnya, iaitu hawa nafsunya.

Selama dia melawan iktiqadnya, selama itu pula hati sanubarinya memberontak melawan perbuatannya. Kalau perbuatan salah itu langsung timbullah rasa yang lain dalam diri, iaitu sesal.

Dalam bahasa kita iktiqad itu telah berubah menjdi tekad.

Al-Quran menerangkan keadaan itu demikian:

Ertinya: "Dan orang -orang yang apaabila mengerjakan suatu perbuatan keji, atau menganiaya dirinya sendiri maka ingat mereka akan Allah lalu mereka memohon ampun atas kesalahan itu serta tidak tetap juga mereka atas perbuatan itu, sedang mereka telah tahu". (Ali-Imran: 135).

Demikian keadaan orang yang mempunyai iktiqad kalau mereka terlanjur mengerjakan suatu kesalahan.

Orang yang tidak mempunyai iktiqad adalah menjadi pucuk aru, mengulai ke mana gerak angin saja, ke mari bukan ke sana entah. Diputar dan dilentikkannya kumis kalau lawan belum kelihatan diajaknya lawan itu berkelahi kalau dia tegak sendiri. Tetapi kalau bertemu lawan itu di tempat yang lengang seorang sama seorang, tidak ada orang yang melihat, maka kumisnya itu dibarutnya turun. Kalau dimaki dia diam saja, sebab dia katanya sabar!.

Orang yang begini, meskipun bagaimana datang dan terangnya kebenaran di mukanya, tidaklah ada nilai hidupnya sebab jantungnya telah rosak, sebab itu jarumnya tidak dapat menunjukkan utara dan selatan lagi. Jiwanya telah dimakan karat. Orang yang begini selamanya tidak akan mendapat iktiqad yang jernih, sebab fikirannya tidak bekerja lagi. Laksana jam yang masih baru. Harus diingat, kalau sekali penggerak jarumnya rosak dan kerapkali diperbaiki, tentu jalannya tidak sebaik dahulu lagi.

Ada pepatah Arab:

Ertinya: "Peliharalah keindahan hati dari sesuatu penyakit,
Kerana sukar sekali memperbaikinya
kalau sekali telah rosak".

Itulah sebabnya kita disuruh lebih banyak menjaga hati daripada mengubatinya, kerana ongkos penjagaan tidak sebanyak ongkos pengubatan.

0 comments »

0 comments