H. Perlumbaan Beragama.

Posted by Ibnu Nurdin | 1:45 PM

Meskipun Islam tidak akan hapus dari dunia, namun dia mungkin hapus dari Indonesia kalau umat tidak membelanya demikian kata Almarhum K.H. Ahmad Dahlan (Pendiri Muhammadiyah).

Orang yang kurang menyelidiki berkata bahawa agama itu menimbulkan perselisihan, tiap-tiap agama mengatakan pihaknya yang lebih benar, dan agama lain penuh dengan kesalahan.

Jika terjadi perselisihan suatu agama dengan agama lain seorang arif budiman tidak akan mencukupi langkahnya sehingga itu saja atau menyingkirkan diri. Pertikaian di antara penganut agama itu menghendaki penyelidikan dan pemeriksaan yang teliti. Seorang penyelidik akan menyatakan buah penyelidikannya, kadang-kadang salah dan kadang-kadang benar. Kalau tidak ada penyelidikan, tentu orang tak dapat membezakan yang baik dengan yang jahat. Kalau tidak ada kesungguhan memeriksa, tentu tidak akan bertemu barang yang hilang.

Penyelidikan adalah tabiat manusia yang akil, itu sebabnya maka sudah beribu tahun agama-agama tersiar di dunia, padahal manusia belum berlindung kepada suatu agama saja. Hikmat kebenaran itu laksana berlian, mahal tetapi jauh tersembunyi.

Firman Allah swt:

"Kalau Tuhanmu berkehendak, tentu dijadikanNya segenap manusia ini menjadi umat yang satu, sekarang mereka masih tetap berselisih saja, kecuali orang yang beroleh rahmat dari Tuhanmu". (Hud: 118-119).

Berselisihlah orang yang belum masuk kelas penyelidikan, bebas dari perselisihan orang-orang yang mengorek rahsia itu sampai dalam, keringat keluar dari dahinya, lantaran menggali tanah mencari berlian.

Quran telah menyatakan semuanya itu. Manusia terjadi bergolong-golongan, tiap-tiap golongan lebih mencitai golongannya sendiri.

"Tiap-tiap golongan lebih suka membanggakan kelebihan yang ada padanya". (Ar-Rum: 32 dan Al-Mukminun: 53).

Lantaran itu banyaklah perselisihan. Penganut suatu agama menyatakan agama lain salah, agamanya yang betul. Orang Yahudi mengatakan orang Nasrani itu tidak ada tempat tegaknya, orang Nasrani mengatakan agama Yahudi tak beralasan, penduduk Islam sendiri pun tidak kurang yang berfaham demikian. Padahal segala perkara kelak akan diputuskan di hadapan Qadhi Rabbul Jalil, di hari kemudian.

Kedatangan Islam ke dunia adalah pada zaman pertikaian di antara agama-agama sangat kerasnya, yang satu menghina yang lain, pihak satu merendahkan pihak lain. Hanya sedikit golongan yang terlepas. Kedatangan Islam ke dunia mencela segala pertengkaran yang tak berhujung itu. Islam menerangkan bahawa agama itu sekeliannya bukanlah kepunyaan manusia, tetapi kepunyaan Allah yang dibangun pada tiap-tiap zaman dengan perantaraan utusan-utusanNya. Dia ingatkan bahawa kedatangan Nuh, Ibrahim, Ismail sampai kepada Musa dan Isa, Sulaiman dan Daud, sampai kepada Muhammad, selawat dan salam pada mereka semunya, berasal dari Tuhan. Asas agama itu satu, agama yang didatangkan Musa, itu juga yang dibawa oleh Isa. Dan kedatangan uhammad di belakang itu adalah menyambung dan mencukupkan pelajaran yang telah dibawa oleh Nabi-Nabi yang terdahulu daripadanya. Agama itu satu wujud dan maksudnya, tidak dibangsakan kepada suatu keturunan sebagai Yahudi, dan tidak pula diangsakan kepada suatu tempat sebagi negeri Nazereth, iaitu Nasrani. Wujud dan tujuannya satu, iaitu menyerahkan diri kepada Tuhan bulat-bulat, yang didalam bahasa Arab dinami Aslama, Yuslimu, Islaman (menyerah).

Tanda asas agama itu satu dinyatakan oleh Islam dengan terang-terang. Asas itu ialah "Menyembah kepada Allah dan tidak mensyerikatkanNya dengan yang lain". dan tidak boleh mengambil Arbah (Tuhan) selain dari Allah.

Menurut Islam, jika segala ahli kitab telah memalingkan mukanya kepada pelajaran ini, dia telah Islam dengan sendirinya. Yang menjadi pangkal perselisihan segala penganut agama ialah kerana ketinggalan asas itu, iaitu lalai atau lupa bahawa maksud agama ialah menyembah Allah lain tidak. Keluarlah orang Nasrani dari peraturan ini setelah mereka memandang Isa anak Allah dari menyamakan darjatnya dengan Tuhan, dan keluarlah Yahudi dari pelajaran ini setelah mereka katakan Uzair anak Allah, atau anak lembu (ijil) itu Tuhan. Dan penganut Islam sendiri pun terlepaslah dari pelajaran yang murni ini bilamana ia lupa akan asas agama yang pertama itu, lalu dia menuhankan kubur, makam, tugu dan lain-lain.


Tuhan berfirman:


Ertinya; "Mensyari'atkan Dia untuk kamu akan agama yang telah diwasiatkanNya kepada Nuh dan barang yang Kami wahyukan kepada engkau dan barang yang kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa, iaitu bahawa mendirikan kamu sekelian akan agama dan janganlah berpecah-pecah padanya. Tetapi orang yang memperserikatkan Tuhan merasa berat akan menurutkan seruan ini". (As-Syura: 13).

Ertinya: "Katakan Muhammad! Hai ahli kitab, marilah kamu sekalian kepada kalimat yang bersamaan antara kami dengan kamu (padanya), iaitu bahawa tidak kita menyembah yang lain dari Allah dan tidak kita perserikatkan dengan Dia barang sesuatu, dan jangan mengambil setengah kita akan yang setengahnya menjadi Yang Maha Kuasa selain Allah. Kalau mereka telah berpaling kepada itum maka katakan: Saksikanlah bahawa kita sekalian telah Islam". (Ali-Imran: 64).

Mulai Quran dibuka, pada halaman yang kedua telah tersebut bahawa orang yang muttaqin ialah orang yang percaya pada yang ghaib, mendirikan solat dan menafkahkan rezekinya. Kemudian itu dia percaya pada yang diturunkan kepada engkau (Muhammad) dan yang diturnkan kepada yang sebelum engkau, iaitu Nabi-Nabi yang terdahulu. Seorang Muslim disuruh mempercayai Nabi. Kitab-kitab dan pelaran-pelaran yang dahulu. Jika terjadi perubahan dalam perkara ibadat da pada ranting-rantingnya, itu adalah menurut tingkatan perubahan masyarakat dan kemajuan perikemanusiaan juga. Munculnya agama dalam alam dunia ini adalah laksana lahirnya seorang manusia, mula-mula ia keluar dari perut ibunya tidak berpakaian, kemudian bertambah besar dan bertambah akalnya, datang waktu mudanya dan waktu sempurna akalny, sampai kelak datang kerosakan alam, iaitu kiamat. Disanalah perhentian perjalanan agama itu.

Manusia disuruh mempergunakan akal da fikiran disuruh pula menyingkirkan perselisihan dan perkelahian lantaran perbezaan pendapat. Bilamana perselisihan telah hilang dan hati telah beroleh petunjuk, penyelidikan telah sampai kepada akhirnya, nescaya Nur Ilahi akan datang dengan sendirinya. Itulah hikmat yang terkandung dengan kedatangan rasul-rasul berganti-ganti, memimpin otak manusia supaya berfikir, sejak Nuh sampai Muhammad, diajar dan dididik supaya mereka merdeka berfikir sendiri. Setelah tarikh kemajuan manusia itu cukup untuk dilepaskan bekerja sendiri, tidaklah nabi-nabi itu akan datang lagi. Muhammad penutup dari segala Mahaguru, dialah Rasul yang penghabisan. Sebab manusia sejak zaman Muhammad, telah sanggup dan cerdas berfikir sendiri.

Bekas Agama Kepada Akal Dan Adat.

Tiga macam kepercayaan timbul dalam hati, orang yang terikat agama dan tiga macam pula sifat-sifat yang terpuji. Ketiga macam kepercayaan dan tiga macam sifat itu setelah diselidiki, sangat besar pengaruhnya bagi kemajuan suatu bangsa, tiang tengah dari kemuliaan masyarakat, sendi teguh dan pada kemajuan dunia. Dialah yang menghalau manusia supaya tampil ke gelanggang penghidupan, untuk mencari bahagia dan kemajuan, lahir dan batin, budi dan kesopanan. Dia menyingkirkan diri dari kejahatan, dari fasad, menghalanginya dari sebab-sebab yang menghancurkan dan membinasakan.

Kepercayaan yang tiga macam itu ialah:

  1. Bahawa manusia itu makhluk yang termulia darjatnya dalam alam.
  2. Penganut tiap-tiap agama mempercayai bahawa penganut agamanyalah yang paling mulia.
  3. Mempercayai bahawa manusia ini hidup di dunia bukan tuntuk dunia. Dia ke dunia hanya singgah, di dunia ini dia menyiapkan diri untuk mencapai budi pekerti 'utama', sebab dia akan menempuh suatu alam yang lain yang lebih luas dari alam sekarang dan lebih tnggi. Dia akan pindah dari negeri sempit ke negeri lapang, dari negeri tipu daya kepada pembalasan yang kekal, yang kebahagiaannya tidak luntur-luntur dan keberuntungannya tidak habis-habis.

Tiga sifat yang ditimbulkan oleh agama:

  1. Perasaan malu. Iaitu rasa enggan mendekati suatu pekerjaan yang tercela.
  2. Bila dipercayai di dalam pergaulan hidup bersama (amanah).
  3. Benar dan lurus (siddiq).

0 comments »

0 comments