Dengan keterangan-keterangan itu dapat difahami bahawa Allah memandang dan menjagi tiap-tiap diri hambaNya. Tiap-tiap kita ini berada dalam tilikan dan lindunganNya. Kalau demikian cinta Allah kepada kitam marilah kita berfikir siapakah kita ini semestinya.

Wahai orang-orang yang menyerukan kebenaran, yang berniat hendak memajukan bangsa dan tanah airnya.

Wahai orang-orang yang tidak sayang darah dan nyawa untuk mencapai bahagia dan kemerdekaan, yang hendak melepaskan aniaya dan belenggu, yang hendak menegakkan keadilan dan kebenaran!

Dengarlah himbauanku, au hendak menunjukkan suatu jalan supaya maksud yang mulia itu tercapai!

Terangkanlah kepada orang ramai, kepada pendengar nasihatmu, kepada pembaca-pembaca tulisanmu, kepada rakyat yang sudi mengikutimu terangkanlah kepada mereka, bahawa Allah sentiasa melihat dan menjaga gerak-geri mereka selama-lamanya.

Terangkanlah kepada setiap pemerintahan yang berkuasa, berlaku adillah memerintah. Sebab kezaliman barus dipertanggungjaawabkan di hadapan Yang Maha Kuasa.

Terangkan sampai terasa kepada hakim-hakim, bahawa jika mereka menghukum dengan zalim, perkara ini kelak akan dibuka kembali di hadapan Allah.

Terangkan kepada orang berniaga, bahawa jika mereka menipu, tipuannya selalu dilihat Tuhan tidakkah dia malu?

Terangkanlah kepada mereka semua bahawa besar dan kecil semuanya dalam penjagaan dan tilikan Tuhan. Dengan jalan demikian akan tercapailah oleh manusia bahagia dan kemenangan.

Wahai seluruh manusia yang cinta pada tanah airnya, yang ingin supaya bangsanya maju dan tanah airnya mulia! Pakailah kepercayaan, supaya tercapai kemuliaan yang diingini. Kalau tuan-tuan merasai lemah untuk memperbaiki otak angkatan yang sekarang, sebab telah terlalu rosak, perbaikilah otak angkatan yang akan datang, iaitu pemuda-pemuda.

Tidak ada kerugian suatu umat yang percaya bahawa manusia ini ada yang menjadikan. Tetapi kepercayaan, membangkitkan hati untuk mempertinggikan budi pekerti, memperhalus kesopanan dan menjauhkan diri dari perangai yang rendah, menurut ukuran tinggi rendah kepercayaan itu. Kalau tidak ada kepercayaan, hidup tidak ada harganya lagi. Adalah manusia hidup laksana di malam yang gelap, tidak ada harapan menunggu kedatangan fajar, batin pun lemah, kegiatan hilang.

Iman adalah sumber kekuatan, hati sumber keindahan alam pada penglihatan mata. Ian menyebabkan hidup mempunyai maksud dan tujuan, sehingga timbullah minat mencapai maksud dan mengejar rujuan itu. Iman menimbulkan cita-cita untuk beroleh ganjaran dan pahala di atas pekerjaan yang dikerjakan. Tidak beriman kepada hidup tidak punya pendirian, dan berlaku sewenang-wenang kepada sesama manusia.

Ketahuilah, bahawa nafsu pantang kerendahan, dan pantang kekurangan, kalau tidak ada iman yang menghambat langkah dan jalannya, celakalah dia. Iman membuat orang merasa bahawa diri dan alam ada yang mengatur. Ada yang mengintip dan ada yang memperhatikan, yang berkuasa menurunkan bahagia dan bencana kepada manusia. Iman membuat orang percaya pada kehidupan sesudah kehidupan yang sekarang.

Kepercayaan inilah yang menghambat manusia dari aniaya, khizit, khianat, loba, tamak, menganiaya yang lemah, yang cerdik menjual bodoh. Kepercayaan ini pula yang membela kebenaran samnpai tegak dengan teguhnya.

Kalau ada orang mengaku beriman, padahal masih ada dalam dirinya keinginan jahat, tanda imannya baru hingga pengakuan. Alangkah mudahnya mengaku dan alangkah sukarnya melakukan?

Ada yang berkata: Jika maksud agama mendidik manusia berperangai baik, sedang saya telah berperangai baik, tidak mencuri, tidak berzina, tidak menganiaya, apa guna saya beragama lagi?

Itulah orang yang ingin lari dari agama, tetapi tak dapat melepaskan ikatan agama dari dirinya. Sebab, ajaran manakah yang lebih dahulu dari agama yang menerangkan bahawa mengambil hak milik orang lain dinamai mencuri? Siapakah yang mengatakan merampas hak milik orang lain menganiaya?

Apakah salahnya kalau orang yang menjadikan lelaki dan perempuan sama-sama mempunyai alat buat bersetubuh?

Apakah salahnya menganiaya?

Bukankah manusia ada yang kuat dan ada yang lemah?

Kalau semuanya itu salah, siapakah yang mengatakan salah?

Dijawab:

Kamanusiaan!

Kalau itu yang dikatakan kemanusiaan, apakah bezanya dengan agama? Apakah yang memberatkan tuan menamainya agama.

Bukan fanatik kalau kita katakan bahawa dunia yang telah morat-marit ini akan kembali aman dan sejahtera, jika iman dihidupkan.

Agamalah pedoman bahagia diri dan bahagia masyarakat, menegakkan pergaulan hidup atas perdamaian dan kecintaan. Iaitu agama yang tidak tercampur dengan khurafat dan bidaah manusia, untuk mencapai bahagia dunia dan ahirat.

0 comments »

0 comments