F. Penyakit Takut

Posted by Ibnu Nurdin | 2:55 PM

Penyakit takut timbul dari Jubun. Hawa kemarahan badan sudah terlalu dingin dan beku. Sebab itu timbullah ketakutan. Takut kerana menyangka ada bahaya, atau perkara yang tidak diingini. Sebab yang diakui bukanlah barang yang telah kejadian tetapi yang akan datang, perkara besar, atau kecil, sukar atau mudah!

1. Ada Perkara Yang Pasti Datang Dan Boleh Jadi.

Barang yang boleh jadi datang dan belum tentu, belum pasti. Sebab itu janganlah kita putuskan saja bahawa perkara yang belum pasti akan terjadi juga. Kalau berat sangka bahawa perkara itu pasti datang, yang ditakuti itu kadang-kadang tidak seberat yang kita sangka.

Hidup yang senang bahagia dan yang aman, ialah hidup yang mempunyai persangkaan dan pengharapan baik, cita-cita yang tinggi dan prinsip yang teguh, dan tidak terlalu banyak memikirkan barang yang belum tentu akan terjadi. Misalnya seseorang enggan berniaga merana takut rugi, enggan menyewa toko besar, takut tidak terbayar sewanya, enggan beristeri, takut tidak terbayar sewanya, enggan beristeri, takut tidak akan terbelanjai. Semua ketakutan itu menghalangi langkah mencapai kemajuan hidup. Padahal yang lebih patut ditakuti ialah yang tidak ada kemajuan itu.

Tetapi kalau yang ditakuti itu, datang dari kesalahan sendiri, hendaklah kita awas dan hati-hati. Kalau takut diseksa, singkirkan dosa. Kalau takut rugi berniaga, hendaklah hati-hati. Kalau takut pekerjaan ditimpa bahaya, jangan lupa mengawasinya. Kalau segala usaha dan ikhtiar telah cukup dilakukan dan dalam hati masih ada ketakutan juga, ini adalah penyakit. Pergilah ke doktor. Kerana kalau memang datang juga bahaya itu, padahal ikhtiar dan usaha telah cukup, tidaklah seorang yang sihat akalnya merasa takut dan menyesal lagi!

Ketakutan yang begini, kerana dia datang dari fikiran, maka ubatnya ialah dari dalam fikiran juga. Misalnya seorang berniaga takut rugi, hendaklah diubati dengan perasaan, bahawa jatuh miskin itu bukanlah penyakit, sebab orang yang lebih miskin pun boleh hidup, yang jadi penyakit ialah ketakutan itu. Ingatlah bahawa seorang manusia dilahirkan tidak berharta dan berkain sehelai benang juga, kemudian dia kembali ke akhirat, pun hanya dengan 3 lapis kafan. Semuanya itu adalah biasa, tidak perlu ditakutkan.

2. Takut Kepada Perkara Yang Pasti Datang.

Perkara yang di atas tadi, ialah ketakutan atas perkara yang boleh jadi datang dan boleh jadi tidak. Ertinya belum pasti. Bagaimana pula dengan perkara yang pasti datang?

Dua perkara yang mesti datang dan sangat ditakuti oleh manusia iaitu: tua dan mati.

Apakah ubatnya takut itu?

Harus diingat, bahawa semua manusia, ingin panjang umur, takut tua dan takut mati. Inilah suatu perasaan ganjil. Gila saja pun tidak segila ini. Sebab orang gila tidak ada keinginan hidup, sebagaimana tidak mengingini mati juga.

Kalau suka umur panjang, tentu ertinya suka tua, bukan? Adakah berumur panjang tidak menemui tua? Tidakkah terlalu tamak orang yang ingin umur panjang dan ingin terus muda?

Al Akhthal, penyair Nasrani di zaman Khalifah Bani Umaiyah menyairkan:

Ertinya:

"Manusia itu semuanya cinta umur panjang.
Padahal tidaklah kulihat umur panjang hanya menambah tolol belaka.

Kalau engkau hendak membanggakan harta benda.
Tidaklah ada harta benda yang melebihi amal soleh".

Bila umur panjang tua pasti datang. Sebab kalau hidup telah lanjut, timbangan panas dingin telah reda, darah telah usang, anggota badan pun lemah. Kegiatan habis, kekuatan pencernaan hilang, gigi goyah dan kadang-kadang tanggal semuanya. Alat keturunan pun lemah dengan sendirinya. Apalagi orang tua itu kerapkali menyaksikan orang yang lebih muda daripadanya, terutama di dalam kalangan keluarganya sendiri, yang dicintainya, mai dahulu daripadanya. Itupun menambah tuanya juga.

Hidup ini penuh dengan teka teki. Anak muda yang mati ketika mudanya selalu disebut-sebut orang: "Ah, kalau dia masih hidup sekarang... " Tetapi teman seumur dengan yang mati itu, yang masih hidup, dibenci lantaran dia sudah tua.

Sebab itu haruslah ingat, untuk menghilangkan takut tua, bahawasanya seorang yang hidup, kalau tidak mati muda, mesti tua.

0 comments »

0 comments