D. Ikhlas Dan Nasihat

Posted by Ibnu Nurdin | 2:45 PM

Oleh pengarang kamus Misbahul Munir, di antara ikhlas dengan nasihat itu tidaklah dibezakannya. Bahkan nasihat itu beliau ertikan dengan (4) perkara: Ikhlas, tulus, musyawarah dan amal.

Ibnu Atsir berkata di dalam Nihayah:

"Nasihat itu ialah suatu perkataan yang mengandung erti yang panjang, iaitu: "Berkehendak supaya orang yang diberi nasihat itu beroleh kebaikan".

Alasan bahawa nasihat dengan ikhlas itu satu ertinya, iaitu suci bersih, adalah hadis Ubaiy, seketika dia bertanya kepada Rasulullah saw, apakah ertinya "taubat nasuha" (kata nasuha itu sama dengan nasihat).

Rasulullah menjawab:

"Iaitu taubat yang khalis, yang tidak akan diulang lagi mengerjakan dosa-dosa itu".

Saudara-saudara Nabi Yusuf seketika akan membawa adiknya itu pergi brburu yang kemudian dimasukkannya ke sumur dan dijualnya kepada Aziz (raja) di negeri Mesir, ada tersebut:

"Wahai bapa kami, mengapa tidak percaya bapa kepada kami atas Yusuf, padahal sesungguhnya kami kepada Yusuf itu sangat memberi nasihat". (Yusuf: 11).

Tafsirnya ialah sangat tulus ikhlas.

Oleh sebab ikhlas dengan nasihat tidak boleh dipisahkan, perlulah di sini kita terangkan ke manakah tujuan nasihat kita atau ikhlas kita berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Tamim Ad Dariy, seorang sahabat Nabi saw yang masyhur, yang dahulunya memeluk agama Nasrani kemudian pindah ke dalam Islam.

Berkata Tamim: Pada suatu hari berkata Rasulullah saw:

"Agama itu ialah nasihat".

Lalu kami bertanya: "Kepada siapakah nasihat itu?". Bersabda Rasulullah:

"Bagi Allah, bagi kitabNya, bagi RasulNya, bagi kepala-kepala kaum Muslimin dan bagi kaum Muslimin semuanya".

Bagaimanakah maksud nasihat kepada tiap-tiap itu? Nasihat apakah yang dihadapkan kepada Allah? Kalau sekiranya nasihat itu hanya diertikan memberi nasihat bagi yang biasa kita pakai, tentulah Rasulullah saw telah mengatakan suatu perkataan yang tidak pantas. Adakah pantas kita menasihat Allah? Sebab itu haruslah kembali kepada ertinya yang sejati - ialah ikhlas.

1. Ikhlas Kepada Allah.

Ikhlas kepada Allah, hanya semata-mata percaya kepadaNya. Ia tidak boleh dipersekutukan dengan yang lain, pada zat, sifat dan pada kekuasaanNya. Hadapkan kepadaNya segala sifat-sifat kesempurnaan yang penuh, hindarkan daripada persangkaan sifat-sifat kekurangan. Taat mengikut perintahNya, jauhi segala laranganNya dan jangan derhaka kepadaNya. cinta segala sesuatu kerana Dia, benci sesuatu kerana dibenciNya, berteman dengan orang yang taat kepadaNya, bermusuh dengan orang yang melawan Dia. Lawan orang yang kafir kepadaNya, akui nikmat dan kebesaranNya, syukuri segala pemberianNya, sedikit atau banyak, sabar di atas cubaan yang ditimpakanNya. Seru dan mohon pertolonganNya di waktu kesempitan dan pujilah Dia di waktu lapang. Cinta sesama manusia, bukan lantaran mereka manusia saja, tetapi lantaran mereka itu makhluk Allah.

Berkata Muhammad bin Said Al-Marqazi:

"Segala kejadian itu hanyalah bersumber kepada dua: Perbuatan Allah atas diri engkau, dan perbuatan engkau yang akan dihadapkan kepada Allah. Maka hendaklah rela menerima segala perbuatanNya, dan ikhlas mengrejakan segala perbuatan engkau terhadapNya. Dengan demikian engkau beroleh bahagian dunia akhirat".

Erti ikhlas kepada Allah banyak diterangkan oleh lulama-ulama Thariqil Akhirah. Suatu erti yang lebih memuaskan, pendek dan terang, ialah ertian yang telah dibuat oleh Rasulullah saw sendiri. Seketika ditanyakan orang kepada baginda apa erti Islam, baginda menajwab:

"Bahawa engkau akui Tuhanku ialah Allah, kemudian engkau teguh memegang pendirianmu itu".

Ertinya, sembahlah Allah saja, jangan menyembah hawa nafsu, jangan beribadat kepada yang lain. Jadikanlah itu pendirian hidup.

Itulah yang dimaksud oleh ayat:

"Tidaklah mereka diperintah, melainkan supaya menyembah kepada Allah, hanya kepadaNya semata saja dihadapkan agama". (Al-Bayyinah: 5)

"Ketahuilah bahawasanya bagi Allah saja agama yang khalis". (Az-Zumar: 3).

"Melainkan orang yang taubat dan memperbaiki dirinya berpegang dengan Allah saja dan ikhlas agamanya kerana Allah". (An-Nisa': 146).

"Barangsiapa yang mengharap hendak berteu dengan Tuhannya, hendaklah dia mengamalkan amalan yang soleh, dan jangan menyekutukan dalam beribadat kepada Tuhan dengan yang lain". )Al-Khaffi: 110).

2. Ikhlas Kepada Kitab Allah

Ikhlas kepada Kitabullah, ialah percaya dengan sungguh-sungguh bahawa kitab itu ialah Kalamullah, yang tidak serupa dengan kalam makhluk. Tidak seorang pun di antara makhluk yang sanggup membuat kitab semacam itu, diturunkan Allah kepada RasulNya untuk menjadi tuntutan kita sekalian. Kita baca dan kita fahami isinya, kita junjung dan kita sucikan, kita perhatikan dengan hati yang khusyuk. Kita baca dengan fasih dengan huruf yang bermakhraj dan bertajwid, supaya dipelihara dia dari tahrif (diputar-putar) dan tabdil (diganti-ganti). Benarkan apa yang tersebut di dalamnya, itu hukum yang tertera di sana dan fahamkan isi dan maksudnya, ilmu dan perumpamaannya, selidiki umumnya dan khususnya, ketahui nasikh mansukhnya, mujmal dan muqayyadnya, taslim (serahkan) kepada Allah dalam hal ayat-ayat yang mutasyaabih (ayat yang tidak sampai akal memahamkan).

3. Ikhlas Kepada Rasulullah saw.

Ikhlas kepada Rasulullah, mengakui dengan sungguh risalahnya, percaya pada segala yang dibawanya, taat mengikuti yang diperintahkannya, menjauhi segala yang dilarangnya, membelanya di waktu hidupnya dan terus sampai wafatnya. Memusuhi orang yang memusuhinya, membela orang membelanya, membesarkan haknya, dan memuliakan dia. Hidupkan tarikat dan sunnahnya. Siarkan pengajarannya dan sampaikan serta luaskan syariatnya ke seluruh bumi. Nafikan segala tuhmah (tuduhan) yang dihadapkan orang kepadanya dengan alasan yang cukup. Pegang teguh-teguh ilmu yang ditinggalkannya. Kerana dia diutus ke dunia untuk menyempurnakan budi pekerti dan Tuhan sendiri yang mengajarnya beradab, bersabda baginda:

"Tidaklah beriman seorang kamu hingga Allah dan RasulNya lebih dicintainya daripada yang lain".

"Katakanlah (olehmu Muhammad), jika adalah ayahmu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri (suamimu), kaum kerabatmu, harta benda yang kamu kumpul-kumpulkan, perniagaan yang kamu takuti akan rugi, rumah tempat tinggal yang kamu sukai, jika semuanya itu lebih kamu cintai daripada daripada Allah dan RasulNya, dan lebih kamu cintai daripada berjihad pada jalanNya, maka awaslah kamu sampai datang kelak tuntutan Allah, dan Allah tidaklah akan memberi petunjuk kepada kaum yang fasik". (At-Taubah: 24).

Setelah mencintai Rasulullah saw, hendaklah cintai pula sahaat-sahabatnya dan kaum keluarganya. Jangan dibezakan darjat masing-masing. Jika terjadi persengketaan di antara mereka, janganlah berpihak pada satu pihak.

4. Ikhlas Kepada Imam Kaum Muslimin.

Ikhlas kepada imam atau raja-raja dan pemerintahan Muslimin, ialah taat kepada mereka di dalam agama, ikut perintahnya, hentikan larangannya. Jangan dilanggar undang-undangnya, jangan dikacau keamanan dalam negeri. Peringati mereka jika mereka salah dengan cara yang sopan-santun. Beri tahu kelalaian mereka dan bahaya yang mengancam negeri lantaran kesalahan mereka. Ajak seluruh Muslimin supaya taat kepada pemerintahan itu.

Di dalam kitab-kitab Ushuluddin banyak diterangkan bagaimana syarat-syarat baru boleh seorang wali, atau imam, atau khalifah dimakzulkan daripada kekuasaannya jika dia mengerjakan maksiat dengan terang dan menganjurkannya, atau mempunyai suatu kepercayaan yang berlawanan dengan asas iktikad agama.

Berkata Al Khithbi:

"Setengah dari hak nasihat kepada mereka, ialah solat di belakang mereka, berperang bersama-sama mereka, bayarkan zakat kepada mereka supaya dibagi-baginya kepada yang berhak, menyingkirkan huru-hara dan pemberontakan, jika kesalahannya belum menerbitkan fitnah yang besar. Jangan mereka dipuji-puji lebih dari semestinya, doakan supaya mereka jadi orang yang berbahagia pada agama!".

Kata Al Hithabi seterusnya: "Sebahagian besar ulama mentakwilkan maksud imam-imam dalam hadis ini kepada ulama Islam, iaitu dengan jalan mengikut fatwanya, menerima apa yang diriwayatkannya, menghormatinya dan meletakkan persangkaan yang baik kepada dirinya!".

Berkata Imam Ghazali:

"Kerosakan negeri kerana kerosakan raja, kerosakan raja kerana kerosakan ulama, iaitu ulamaussu (ulama jahat)".

Dengan perkataan Ghazali ini terhimpunlah raja-raja dan ulama-ulama di dalam Imam yang disebut hadis Tamim itu.

Tentu saja kita tidak boleh taat jika pemerintah itu mengajak mengerjakan mungkar, dan tidak boeh diikuti kalau ulama menunjukkan fatwa yang sesat. Tetapi meskipun perintah dan fatwa itu tidak diikuti kehormatan dan kemuliaan yang diberikan kepada mereka, tidak juga boleh kurang daripada mestinya.

Dengan majunya faham demokrasi sekarang ini, bertambah nyata bahawa yang dimaksud dengan imam-imam itu, bukanlah memulia-muliakan diri seseorang, sampai keluar dari batasnya. Dalam faham demokrasi, orang naik memegang pemerintahan, adalah kerana dikuasakan oleh orang ramai. selama dia masih mendirikan keadilan, wajiblah diikuti perintahnya. Kalau dia telah melanggar hak orang ramai wajiblah dijatuhkan.

5. Nasihat Kepada Umum Kaum Muslimin.

Nasihat kepada Ammatil Muslimin, kepada pergaulan umum, adalah mengenai masyarakat. Jika engkau orang bodoh, belajarlah kepada yang pintar, jika engkau orang pandai, ajarlah yang bodoh. Tunjukkan kemaslahatan yang mengenai keselamatan dunia dan akhirat, jangan mereka disakiti, dengan tangan atau dengan lidah, tutup aib dan cela mereka, tolong yang lapar jika engkau mampu, hindarkan bahaya dari mereka, carikan manfaat untuk mereka, suruh berbuat baik, larang berbuat mungkar, dengan lemah lembut dan ikhlas. Jika beroleh nikmat jangan dihasadi, tetapi syukurilah, hormati yang lebih besar, kasihi yang lebih kecil, apa yang engkau rasa baik buat dirimu, itulah kebaikan yang akan dilimpahkan kepada temanmu, apa yang engkau rasa sakit terhadap dirimu, jangan engkau lakukan kepada mereka, peliharalah harta benda dan diri mereka dengan perkataanmu dan pekerjaanmu. Ajarkan kepada mereka budi pekerti yang tinggi dan terpuji.

Apakah tuan tidak ingin mencontohi Jurair di dalam memberikan nasihat kepada sesama manusia?

Telah meriwayatkan Abdl Wasim At Thabrani:

"Pada suatu hari Jurair menyuruh bujangnya membeli seekor kuda tunggangan. Datanglah bujang itu membawa seekor kuda tunggang dengan harga 300 dirham. Ketika akan membayar, dipanggilnya yang punya kuda itu ke rumahnya. Jurair berkata: Sebetulnya kuda tunggang ini terlalu bagus, harganya amat murah kalau hanya 300 dirham, lebih baik saya bayar 400 dirham saja sukakah engkau?"

Orang itu menjawab: Itu terserah kepada engkau, Pak Abdullah.

400 dirham pun terlalu murah, sukakah engkau menjual 500 dirham?

Demikianlah ditanyainya juga dan dinaikkannya seratus demi seratus sedang yang empunya menyerah saja, sehingga dibayarnya 800 dirham.

Bertanyalah orang kepada Jurair, apa sebab dia semurah (semudah) itu mengeluarkan wang.

Beliau menjawab: Semasa Rasulullah saw hidup, saya telah mengikat baiat dengan baginda, bahawa akan berlaku jujur dan ikhlas kepada seluruh Muslimin.

Maka menurut keyakinan Jurair, dengan cara demikian baru dia memenuhi janji Rasulullah, berbuat jujur, ikhlas dan membantu sesama manusia.

0 comments »

0 comments