C. Ikhlas

Posted by Ibnu Nurdin | 2:55 PM

Ikhlas ertinya bersih, tidak ada campuran, ibarat emas murni, tidak ada bercampur perak berapa persen pun. Pekerjaan yang bersih terhadap sesuatu, bernama ikhlas. Misalnya seorang bekerja kerana diupah, semata-mata kerana mengharapkan puji majikan, maka ikhlas amalnya kepada majikannya, atau dia bekerja memburu harta dari pagi sampai petang, dengan tidak jemu-jemu, kerana semata-mata memikirkan upah, maka keikhlasannya kepada perutnya. Lawan ikhlas ialah 'isyrak', ertinya bersyarikat atau bercampur dengan yang lain. Antara ikhlas dengan Isyrak tidak dapat dipertemukan, sebagaimana tidak pula dipertemukan atara gerak dengan diam. Kalau ikhlas telah bersarang dalam hati, isyrak tak kuasa masuk kecuali telah terbongkar keluar. Demikian juga sebaliknya, keluar segala perasaan isyrak dahulu, baru ada tempat buat ikhlas.

Tempat ikhlas dan isyrak ialah hati. Bilamana seorang berniat mengerjakan suatu pekerjaan, maka mulai melangkah sudah dapat ditentukan ke mana tujuan dan bagaimana dasar. Ada orang yang berniat hendak menolong fakir dan miskin. Pekerjaan memberi pertolongan, adalah baik, tetapi belum tentu baik jika dasarnya tidak subur. Barulah akan baik dari zat sampai kepada sifatnya jika didasarkan kepada ikhlas. Iaitu menolong fakir dan miskin kerana Allah, bukan kerana semata mengharap puji dan sanjung manusia. Oleh sebab itu, perkataan ikhlas itu terpakai terhadap Allah semata-mata.

Ikhlas tidak dapat dipisahkan dari siddiq (benar) tulus. Lurus dan benar niat dan sengaja, kerana Allah belaka, tidak mendustai diri dengan perkataan 'kerana Allah', padahal di dalam hati bersarang kerana puji, kerana mencari nama dan lain-lain. Orang yang mulutnya mengaku benar, tetapi hatinya berdusta, dia termasuk dalam golongan pendusta.

Untuk jadi perbandingan, di sini kita salinkan hadis Rasulullah saw.

"Manusia yang mula-mula akan kena pertanyaan di hari kiamat ialah tiga orang:

Seorang ialah orang yang diberi Allah ilmu pengetahuan. Pada waktu itu berfirmanlah Allah:

"Apakah yang sudah engkau lakukan dengan ilmu yang engkau ketahui itu?"

Ia menjawab: Ya Rabbi, dengan ilmu hamba itu, hamba bangun tengah malam (solat), hamba berjaga di tepi siang menyiarkannya kepada orang yang perlu menerimanya.

Tuhan berfirman: "Engkau dusta!"

Malaikat yang adapun berkata: "Engkau duata!".

Maksud engkau hanyalah supaya disebut orang engkau alim. Memang demikianlah perkataan orang terhadap dirinya.

Seorang lagi ialah lelaki yang diberi Allah hart benda. Maka berfirman Allah:

"Engkau telah Kami beri nikmat, apakah yang sudah engkau perbuat dengan nikmat Kami itu?".

Dia menjawab: Ya Rabbi, harta benda itu telah hamba sedekahkan tengah malam dan siang hari.

Tuhan pun berfirman: "Engkau dusta!".

Malaikat-malaikat pun berkata pula: "Engkau dusta, maksud engkau hanyalah supaya engkau dikatakan orang seorang dermawan. Memang demikianlah dikatakan orang terhadap dirinya.

Sorang lagi lelaki yang terbunuh dalam perang mempertahankan agama Allah, maka berfirman Tuhan kepadanya:

"Apakah yang telah engkau kerjakan?".

Dia menjawab: Ya Rabbi, Engkau suruh hamba jihad, pergilah hamba ke medan perang, dan hamba mati terbunuh.

Tuhan pun berfirman: "Engkau dusta!".

Malaikat-malaikat yang banyak berkata pula: "Engkau dusta, maksud engkau hanyalah supaya dikatakan orang si anu gagah berani. Memang demikianlah perkataan orang terhadap dirinya.

Setelah berkata demikian, Nabi SAW bersabda pula:

"Hai Abu Hurairah, mereka itulah makhluk yang mula-mula sekali akan menderita api nerak jahanam di hari kiamat.

Dari salinan hadis yang panjang ini terbuktilah perkataan kita di atas, bukan zat perbuatan itu yang dusta, tetapi dasar tempat tegaknya, iaitu tidak ikhlas itulah yang menjadi pangkatnya.

Buat bukti lagi ialah seketika orang-orang munafik datang kepada Rasulullah saw, mengakui bahawa Rasulullah itu memang Rasulullah yang sejati, datanglah wahyu Tluan:

Ertinya: "Bilamana datang kepadamu orang-orang munafik, berkata: Kami menjadi saksi bahawa, engkau Rasulullah. Sesungguhnya Allah tahu bahawa engkau RasulNya, dan Allah pun menyaksikan pula bahawa orang-orang munafik itu dusta adanya". (Al-Munafiqun: 1).

Di situ nyata bahawa yang berdusta, bukan mulut tetapi hati mereka tidak mengaku, atau pengakuan mereka tidak dari hati. Sesuai lidah dan hati, itulah ikhlas! Lain di mulut lain di hati, bukanlah ikhlas, tetapi culas.

Dalam bahasa kita, ikhlas itu tidak dipisahkan dengan jujur yang dalam bahasa halusnya 'tulus', sebab itu selalu orang berkata 'tulus ikhlas', dan ketulusan itu bukanlah di lidah saja, kerana kehendak hati. Yang penting ialah ketulusan hati:

"Jangan terpedaya oleh seorang ahli pidato, lantaran pidatonya,
sebelum kelihatan bukti pada perbuatannya.
Kerana perkataan itu sumbernya ialah hati.
Lidah hanya dijadikan sebagai tanda dari hati."

Cubalah perhatikan firman Allah tentang amal kebaikan, bagaimana luas lapangannya dan dari mana sumber lapangan luas itu.

Allah swt berfirman:

Ertinya: "Tidaklah jasa dan kebaikan itu, bahawa engkau palingkan mukamu ke timur atau ke barat. Tetapi jasa kebaikan ialah beriman dengan Allah dan hari akhirat, dengan malaikat dan Nabi, dan memberikan harta kepada yang berhak menerima dari kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, orang yang tak tentu rumahtangganya.* Budak yang ada harapan akan dimerdekakan dan mendirikan solat, mengeluarkan zakat, dan orang-orang yang meneguhi perjanjian balamana mereka berjanji, dan orang yang sabar di waktu kesusahan dan kesempitan, serta kesusahan yang tiba-tiba. Mereka itulah orang-orang yang benar (tulus) dalam pengakuannya, dan mereka itulah orang yang muttaqin". (Al-Baqarah: 177).

Banyak benar syarat-syarat dalam ayat ini untuk menentukan alamat orang-orang yang bahagia. Kadang-kadang telah ada yang pertama, tinggal yang kedua, dan ada yang keempat, kurang yang kelima. Tetapi di situ nyata di mana simpul perkara.

  • Iman jadi dasarnya.
  • Alam jadi buktinya.
  • Mendorong sesama manusia jadi syiarnya.
  • Sabar jadi saudaranya.

Setelah cukup semuanya barulah dinamakan orang yang 'tulus'. Daripada ketulusan, timbullah perasaan taqwa:

Dalam ayat itu terkandung 3 perhubungan:

  1. Perhubungan dengan Tuhan, dengan iman dan cabang-cabangnya.
  2. Perhubungan dengan sesama makhluk, dengan dasar tolong menolong, gotong-royong.
  3. Perhubungan dengan diri sendiri, mendidiknya jadi orang sabar dan jadi orang tawqa.

Sabda Rasulullah saw tentang ayat ini:

"Barangsiapa yang mengamalkan ayat ini, maka telah menyempurnakan dia dan iman".

0 comments »

0 comments