Bahagia Dan Utama

Posted by Ibnu Nurdin | 2:55 PM

Dengan agama, iman, Islam dan iktikad yang kuat, sudah dapat tercapai bahagia batin dan hubungan yang baik dengan Allah. Tetapi kesempurnaan ibadat tergantung pula kepada kesempurnaan budi dan otak. Maka pada bahagian yang ketiga ini, kita mulai memberikan keterangan tentang kesempurnaan perangai yang utama itu.

Keutamaan terlindung di dalam 2 (dua) erti:

1. Keutamaan Otak.
2. Keutamaan Budi.

Keutamaan otak telah dapat membezakan antara jalan mulia dengan yang hina. Yakin akan kebenaran barang yang benar dan berpegang kepadanya, tahu akan kesalahan barang yang salah dan menjauhinya, semuanya didapat dengan otak yang cerdas, bukan kerana turut-turutan, bukan kerana taklid kepada pendapat orang lain saja.

Adapun keutamaan budi ialah menghilangkan segala perangai yang buruk-buruk, adat-istiadat yang rendah, yang oleh agama telah dijelaskan mana yang mesti dibuang dan mana yang mesti dipakai. Serta biasakan perangai-perangai terpuji, yang mulia, berbekas di dalam pergaulan setiap hari dan merasa nikmat memegang adat mulia itu.

Kalau kita menghentikan larangan dan kita mengerjakan suruhan, tetapi merasa bahawa kita melakukan itu kerana terpaksa, tandanya belumlah naik tingkatan keutamaan budi. Sebab itu haruslah sentiasa diri berperang dengan diri dan dalam perjuangan yang hebat itulah kita dapat mencapai tujuan yang mulia.

Ada orang berkata: Kebenaran pahit, kejahatan manis, meningkat ke langit keutamaan amat sukar, turun ke lurah amat mudah! Kata demikian hanya berlaku bagi orang yang tiada terdidik dirinya dengan perangai utama. Kalau diri telah terdidik, terasuh patuh dan tunduk semenjak kecil maka pepatah itu tidaklah berlaku. Di dalam Quran Tuhan pernah berfirman:

"Sembahyang itu amat berat dikerjakan, kecuali oleh orang yang khusyuk".

Sungguh kita telah merasa manis mengerjakan taat dan telah benci mengerjakan maksiat, belumlah sempurna darjat utama itu kalau perasaan ini masih samar-samar. Tetapi hendaklah tetap dan ajar tetap berperasaan demikian sepanjang umur. Seketika orang bertanya kepada Rasulullah saw, apakah erti dan rahsia kebahagiaan, baginda bersabda:

"Bahagia itu ialah tetap taat kepada Allah sepanjang umur!".

Ada orang menyangka bahawa nabi-nabi dan orang-orang "muqarrabin" tidak takut mati, tidak seperti kita yang selalu takut mati. Persangkaan itu salah. Rasul-rasul dan aulia-aulia itu pun takut mati. Cuma sebab-sebab ketakutan itulah yang berbeza. Mereka takut mati, kalau-kalau putus taatnya, yang sangat dirasainya lazatnya itu, akan hilang lantaran mereka mati. Kita takut mati lantaran ibadat dan ketaatan tidak ada.

Sheikh Muhammad Abduh seorang Aulia yang takut mati, kerana dengan kematian itu kata beliau akan terputus amal solehnya, (keterangan takut mati akan kita terangkan di belakang). Mereka takut mati kerana bertambah panjang umur dan bertambah banyak ibadat kepada Allah bertambah pula kesucian dan pahala.

Segala yang diperkatakan itu akan lebih melekat dalam jiwa, bila dibawa berfikir dan dipanjangkan penyelidikan. Manakah kebaikan yang telah diperbuat dan apakah celaka batin yang telah menimpa diri!.

Manusia di dalam selimut syahwatnya, tidur nyenyak, kelak setelah dia mengembuskan nafas penghabisan, baru dia sedar pada diri.

Biasakan perangai utama membela keutamaan dengan tidak bosan dan jemu menyelidiki di mana terletak kebenaran, tidak peduli halangan yang menyelimutinya. Laksana tukang jahit yang tenang memutar mesin kerana sudah jadi pekerjaannya yang biasa, atau tukang batu yang mengangkat dam membina tembok sambil menyanyi, kerana itula pencahariannya.

Keutamaan otak dan budi didapat dengan 2 ikhtiar:

1. Ikhtiar Fikiran.
2. Ikhtiar Kerja.

Untuk memudahkan ikhtiar itu ialah dengan:

a. Dipelajari.
b. Diusahakan.

Setelah dipelajari dan diusahakan ia pun berkehendak kepada waktu percubaan, perasaan, penanggungan dan pengalaman. Setelah itu, maka keutamaan pun teguhlah uratnya.

(Ibrahim: 24-26).

Ada juga yang mencapai perangai utama dengan tidak dipimpin manusia atau ikhtiar sendiri, yang sejak lahirnya telah dipimpin Allah, ialah Nabi-Nabi. Selain daripada Nabi, kadang-kadang orang-orang yang sentiasa mendekatkan dirinya kepada Tuhan, banyak mendapat hidayah, ilham-ilham ghaib yang tidak akan tercapai akal fikiran dan logika biasa.

Ada tiga rukun yang perlu dalam mencapai utama:

1. Dengan Taubat.
2. Dengan Pengalaman.
3. Dengan Pelajaran.

Jika ketiga-tiganya telah sejalan, ada harapan bahawa keutamaan akan tercapai. Kalau ketiganya kendur, kendurlah keutamaan. Kalau salah satunya kurang, pincanglah keutamaan. Ramai orang yang dari kecil bergaul dalam kalangan ugama, tetapi pengalaman tidak ada atau ilmu tidak ditambah, pengalamannya itu tak memberi faedah bagi kenaikan budinya.

Adapun musuh yang sentiasa menghalangi manusia mencapai keutamaan ialah 'hawa'. Hawa nafsu menyebabkan marah, dengki, haloba, dan kebencian.

0 comments »

0 comments