B. Hawa Dan Akal.

Posted by Ibnu Nurdin | 2:00 PM

Hawa membawa sesat dan tidak berpedoman sedangkan akal menjadi pedoman menuju keutamaan. Sebab itu kita perlu mengetahui, manakah perintah hawa dan manakah perintah akal. Perbezaan antara keduanya sangat sulit, berkehendak kepada ilmu hakikat yang dalam.

Garis besar yang harus diperhatikan, ialah bahawa akibat yang dikehendaki akal itu ialah akibat mulia dan utama, tetapi jalannya sukar.

Hawa berakibat bahaya, tetapi jalannya amat mudah. Tidak sukar. Sebab itu jika kita menghadapi dua perkara, hendaklah dipilih barang yang sukar mengerjakannya tetapi baik akibatnya. Jangan barang yang diingini oleh hawa nafsu, kerana akibatnya buruk. Kebanyakan barang yang baik sukar dikerjakan. Itulah sebab Rasulullah bersabda:

"Diramaikan syurga dengan barang yang berat mengerjakan dan diramaikan neraka dengan syahwat". (HR: Bukhari dan Muslim).

Allah swt berfirman:

Ertinya: "Boleh jadi kamu benci sesuatu, padahal dia baik bagimu, dan boleh jadi kamu cintai sesuatu padahal dia jahat bagimu". (Al-Baqarah: 216).

Inilah suatu pedoman besar di dalam kehidupan. Sebab itu, jika nanti tertarik dan keinginan telah besar kepada sesuatu maksud, lekaslah timbang. Kerana jika cinta telah lekat kepada sesuatu, mata boleh buta dan telinga boleh pekak, pertimbangan tidak ada lagi.

Hawa menyuruh mengelamun, berangan-angan, tetapi akal menyuruh menimbang.

Sungguhpun pedoman telah ada, namun manusia boleh juga sesat, kerana semua bergantung kepada taufik dan hidayah Ilahi. Kerana itu hendaklah lekas-lekas lari kepada Allah di waktu hati telah mulai ragu. Minta pertimbanganNya. Bentangkan kitabNya.

Berkata ulama:

Bila terjadi peperangan di antara akal dan hawa nafsu, akal mempertahankan barang yang pahit tetapi manis akibatnya, nafsu mempertahankan barang yang manis tetapi pahit bekasnya. Ketika itu keduanya sama mencari alasan dan sandaran. Akal mencari pembelaan dari Nur Allah, nafsu mencari perlindungan dari was-was syaitan. Kalau menang bala tentera hawa, terhapuslah cahaya kebenaran, padamlah suluh yanghak, terang matanya menghadapi keuntungan yang sebentar, buta dari keuntungan yang sebenarnya. Tertipu oleh kelazatan yang cepat datang dan cepat hilang, tidak insaf kepada kekayaan, dan kalahlah petunjuk Ilahi. Kalau yang mempunyai akal itu lekas segera mempertahankan petunjuk Tuhan, berpedoman Nur Tuhannya, nescaya jatuh tersungkurlah bala tentera syaitan dan terpasunglah hawa nafsu.

Di dalam Al-Quran Allah swt meletakkan perumpamaan:

"Tidaklah engkau perhatikan bagaimana Allah membuat misal, kalimat yang baik, adalah seumpama kayu yang baik uratnya teguh ke bumi dan dahan-dahannya sampai ke langit, datang hasilnya tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan diperbuat Allah perumpamaan bagi manusia supaya mereka ingat. Dan perumpamaan kalimat yang busuk adalah laksana pohon yang busuk, tumbang dari atas permukaan bumi, maka tidaklah ada baginya keteguhan". (Ibrahim: 24-26).

Kata setengah ahli tafsir, yang dimaksud dengan kayu yang baik di sini ialah tauhid dan kayu yang jahat ialah syirik. Kata setengahnya, kayu baik ialah perumpamaan tuntutan akal budi, dan kayu yang jahat perumpamaan dari perdayaan hawa nafsu.

Tetapi, tidaklah semua hawa tercela. Ada hawa yang terpuji dan ada yang tercela. Yang terpuji ialah perbuatan Allah yang dianugerahkan kepada manusia, supaya dia dapat membangkitkan kehendak mempertahankan diri dan hidup menangkis bahaya yang akan menimpa, berikhtiar mencari makan dan minum dan kediaman. Hawalah yang mendorongnya.

Yang tercela, ialah hawa nafsu yang terbit dari kehendak nafsu jahat (nafsu marah), kehendak keuntungan yang berlebih dari keperluan.

Misalnya hawa yang terpuji, ialah mencari kehidupan sehingga beroleh rezeki yang halal, dan hawa yang tercela, setelah dapat yang halal, ingin lagi tambahannya, walaupun dengan tipu muslihat yang buruk. Sudah dapat seorang isteri yang akan menjadi teman hikup mengatur rumahtangga, kemudian timbul lagi kehendak hawa nafsu beristeri seorang lagi. Padahal tidak cukup wang membelanjai, hanya semata-mata kerana keinginan mendapat barang baru. Maka beristeri yang pertama terpuji, kerana itu adalah hawa yang asli, dan beristeri yang kedua yang tak melengkapi syarat itu tercela, lantaran menurut hawa yang tercela pula.

Untuk hidup bergunalah fikiran. Fikiran itulah kemudi hidup. Fikiran yang waras, ialah yang berjalan di antara akal dengan syahwat. Akal terletak di atas, syahwat (hawa) terletak di bawah dan fikiran terletak di tengah-tengah. Kalau fikiran telah condong ke bawah, renggang dari atas, alamat celaka, kalau fikiran rapat ke atas dan renggang ke bawah, alamat kebaikan,. Kecenderungannya ke atas membawa keberuntungan di dalam hidup dan cenderung ke bawah membawa segala celaka dalam hidup.

Orang yang berani menghadapi musuh mendapat pujian, tetapi manusia yang paling berani menghadapi musuhnya yang benar, iaitu hawa nafsunya, tidak mendapat pujian apa-apa. Apakah sebabnya? Kerana perjuangan nafsu ialah perjuangan batin. Siapakah manusia yang dapat menyelami batin?

Harimau dan singa amat berani. Apakah itu benar-benar keberanian? Keberanian serupa itukah yang layak ditiru oleh manusia?

Tidak, kerana keberanian harimau dan singa bukan hakikat. Harimau dan singa bukan berani, tetapi garang. Garang sebab percaya bahawa pada dirinya ada kekuatan. Percaya bahawa dia boleh mengalahkan mangsanya.

Orang yang berani, tegasnya pahlawan,ialah orang yang takut menghadapi suatu perkara yang dipandangnya berbahaya bagi kemanusiaannya. Dia lebih takut menghadapi perkara itu daripada menghadapi mati. Sebab itu kerapkali orang yang berani itu memilih mati daripada memilih yang ditakutinya itu.

Seorang manusia berperang dengan hawa nafsunya, kerana dia takut jatuh hina kalau kalah oleh nafsu. Dalam hidup yang hanya sekejap mata ini, kerap menanggung bermacam-macam malapetaka. Itu tidak mereka takuti, yang mereka takuti ialah malapetaka dikhirat.

Begitulah peperangan hawa nafsu dengan akal, yang setiap saat berkobar. Medan perang itu adalah dalam diri kita sendiri.

0 comments »

0 comments