Sebab Timbulnya Penyelidikan

Posted by Ibnu Nurdin | 2:31 PM

Tiga orang bersahabat berjalan di sebuah kota yang ramai, di mana berdiri rumah-rumah yang indah. Tempat tinggal orang kaya, tuan-tuan dan orang-orang yang bergaji besar. Ketika itu hari telah petang, matahari telah condong ke barat, cahaya syafak merah dari barat bergelut dengan cahaya litrik yang mulai menerangi jalan raya. Di antara pergelutan siang dengan malam itu, beberapa orang duduk di muka perkarangan rumahnya bersama anak dan isterinya, sambil membaca surat-khabar yang terbit petang itu ganti istirehat pulang dari pekerjaan. Di atas meja terletak beberapa mangkuk the. Si ibu sedang menyulam, anak-anak sedang bermain kejar-kejaran, di hamparan halaman rumah rumput yang hijau itu.

Alangkah bahagianya orang-orang yang tinggal di sini, kata salah seorang dari ketiga orang bertemasya itu. Lihatlah keindahan rumahnya sangat serasi dengan keindahan perkarangannya, kecukupan perkakasnya bergelut dengan kepuasan hatinya. Di dekat rumah itu kelihatan garasi mobilnya, tentu mobil itu menurut model yang paling baru, gajinya tentu mencukupi untuk belanja dari bulan ke bulan, malah lebih dari cukup.

Seorang di antara ketiga yang bertemasya itu, setelah mendengarkan perkataan kawannya itu, menjawab: Ah, jangan engkau terpedaya oleh kulit lahir, kerana dunia ini hanya komidi. Boleh jadi di balik keindahan perkakas, di balik senyuman dan tertawa itu ada beberapa kepahitan yang mereka tanggungkan, yang tidak diketahui oleh orang lain. Ramai orang yang tertawa, sedang hatinya luka parah. Ramai orang yang tertipu melihat cahaya panas di waktu terik di tanah lapang, disangkanya cahaya itu air. Setelah dia sampai ke sana hanya pasir belaka. Banyak sekali, keadaan yang rahmat dipandang lahir, tetapi pada batinnya laknat.

Kalau begitu apakah erti bahagia itu dan di manakah batasnya?

Seorang mengatakan, bahagia itu didapat oleh orang yang mempunyai kekayaan cukup. Kerana dengan kekayaan, segala yang dimaksud tentu tercapai. Orang kaya di mana dia tinggal, perkataannya didengar, salah-salah sedikit dimaafkan orang saja. Wang adalah laksana manisannya. Sengsara ialah pada kemiskinan, meskipun benar perkataan yang keluar dari bibir, kebenaran itu tidak akan tegak kerana tidak bertulang punggung. Tulang punggung ialah harta. Di dalam satu perhelatan atau pesta sutan-sutan dan baginda-baginda didukkan di kepala rumah. Sedang si miskin harus di muka jenjang saja.

Yang lain mengatakan kemuliaan dan bahagia itu pada nama yang masyhur dan sebutan yang harum, mentereng (gagah), dijadikan orang buah mulut, dipuji ke tengah dan ke tepi. Itulah bahagia, katanya, yang lebih berharga daripada harta-benda, kerana kekayaan dunia tidaklah akan dibawa mati, tetapi 'nama baik' tetap diingat orang.

Buah fikiran ini tiada mahu putus-putus, sebab itu timbullah keinginan menyelidiki lebih jauh. Kita telah dengar bagaimana ukuran bahagia dan kaedah orang. Semua makhluk anak Adam ini rupanya ingin bahagia, bukan saja mengetahui bahagia, tetapi mengecap bahagia.

Seorang tadi mengatakan bahagia itu lantaran banyak harta. Tahukah apa sebab dia berkata begitu? Perkataannya itu rupanya timbul lantaran putus asa. Agaknya kerapkali langkahnya tertarung sebab dia miskin, kerap maksudnya tak berhasil sebab dia fakir. Lalu diputuskannya saja bahawa bahagia itu pada wang, lain tidak. Barangkali juga sudah pernah dikirannya tidak diterima orang padahal benar, tetapi kerana dia tidak punya wang, tidak kaya, lalu diabaikan orang saja. Jadi kaedahnya itu adalah dari hati yang kecewa.

Kalau kita perturutkan, setiap orang mempunyai kaedah tentang bahagia, sebanyak penderitaan, sebanyak pengalaman, sebanyak kekecewaan.

* Orang fakir mengatakan bahagia pada kekayaan.
* Orang sakit mengatakan bahagia pada kesihatan.
* Orang yang telah terjerumus ke lembah dosa mengatakan bahawa terhendti dari dosa itulah kebahagiaan.
* Seorang yang tengah rindu dan bercinta mengatakan bertemu dengan kekasih itulah bahagia.
* Seorang pemimpin rakyat berpendapat, bahawa kemerdekaan dan kecerdasan umat bangsa yang dipimpinnya itulah bahagia.
* Seorang perawan dusun bernama Asma binti Bahdad, yang dikahwini oleh Muawiyah bin Abi Sufyan, berkeyakinan bahawa bahagia itu adalah kembali ke dusunnya, di dalam pondoknya yang buruk, walaupun sekaarang dia dalam istana yang indah.
* Seorang pengarang syair merasa bahagia jika syairnya jadi hafalan orang. Seorang wartawan merasa bahagia jika surat khabarnya dan tulisannya difahami orang.

Kita akan bertambah bingung memikirkan hal ini. Di manakah sebenarnya bahagia itu. Sebab itu kita cari buku-buku yang kita rasa penting, karangan para ahli falsafah, tasauf dan pengalamannya, adakah tersimpan di sana bahagia itu.

Buku-buku itu bertemu, kita kumpulkan keterangannya menjadi satu. Kita susunkan menjadi suatu karangan, untuk menjadi suluh penuntut bahagia, tetapi bahagia tak ingin bertemu.

Maka adalah kebahagiaan yang kita cari itu terlalu tinggi. Kita semuanya hanya mengumpulkan pendapat orang lain, kerana demikianlah kita ini di dalam hidup. Kadang-kadang pendapat mereka itu belum pernah dirasainya, hanya di angan-angannya begitulah agaknya. Kadang-kadang pula telah dirasainya, tetapi tak sanggup dia melukiskan secara terperinci, kerana tidak mudah bagi manusia menerangkan segala kelazatan yang dirasainya. Tetapi dengan membaca pendapat-pendapat para ahli itu, moga-moga terubatlah hati kita, timbul keinginan menuju ke sana, dan tercapailah oleh kita bahagia, walaupun tidak seluruhnya, sebahagiannya pun cukuplah.

0 comments »

Pendapat Orang Budiman Tentang Bahagia

Posted by Ibnu Nurdin | 2:30 PM

Ditanyakan orang kepada Yahya bin Khalid Al Barmaky, seorang Wazir yang masyhur di dalam Daulat Bani Abbas. "Apakah bahagia itu, Tuanku?"

Jawabnya:

"Sentosa perangai, kuat ingatan, bijaksana akal, tenang dan sabar menuju maksud".

Kebahagiaan itu pernah dinyanyikan oleh seorang ahli syair bernama Hutai'ah, demikian:

Menurut pendapatku, bukanlah kebahagiaan itu pada mengumpul harta benda.

Tetapi taqwa akan Allah itulah bahagia.

Taqwa akan Allah itulah bekal yang sebaik-baiknya disimpan.

Pada sisi Allah sajalah kebahagiaan para orang yang taqwa.

Ahli syair yang lain, yang amat masyhur dalam perkembangan agama Islam, iaitu Zaid bin Tsabit, ahli syair Rasulullah s.s.w. berkata:

"Jika petang dan pagi seorang manusia telah beroleh aman sentosa dari gangguan masusia, itulah dia orang yang bahagia".

Orang yang berpegang teguh dengan agama, kebahagiaannya ialah pada meninggalkan barang yang terlarang, mengikut yang tersuruh, menjauhi yang jahat, mendekati yang baik. Bahagianya ialah pada mengerjakan agama.

Ibnu Khaldun berpendapat:

"Bahagia itu ialah tunduk dan patuh mengikut garis-garis yang ditentukan Allah dan perikemanusiaan".

Abu Bakar Ar Razi tabib Arab yang masyhur itu menerangkan bahawa"

"Bahagia yang dirasa oleh seorang tabib, ialah jika ia dapat menyembuhkan orang yang sakit dengan tidak mempergunakan ubat, cukup dengan mempergunakan aturan makanan saja".

Imam Al Ghazali, orang tua dan kiblat segala tabib jiwa berpendapat bahawa:

"Bahagia dan kelazatan yang sejati, ialah bilamana dapat mengingat Allah".

Kata beliau seterusnya:

"Ketahuilah bahagia tiap-tiap sesuatu ialah kita rasai nikmat kesenangan dan kelazatan, dan kelazatan itu ialah menurut tabiat kejadian masing-masing, maka kelazatan ialah melihat rupa yang indah, kenikmatan telinga mendengar suara yang merdu, demikian pula segala anggota yang lain di tubuh manusia. Adapun kelazatan hati ialah teguh makrifat kepada Allah, kerana hati itu dijadikan buat mengingat Tuhan. Tiap-tiap barang yang dahulunya tiada dikenal oleh manusia, bukan buatan gembiranya jika telah dikenalnya. Tak ubahnya dengan orang yang baru pandai bermain catur, dia tidak berhenti-henti bermain, meskipun telah dilarang berkali-kali, tidak sabar hatinya kalau tidak bertemu dengan buah dam papan catur. Demikian pulalah hati yang dihulunya belum ada makrifatnya, kepada Tuhan, kemudian mendapat nikmat mengenalNya, sangatlah gembira dan tidak sabar dia menunggu masa akan bertemu dengan Tuhan itu, kerana kelazatan mata memandang yang indah tadi. Tiap bertambah besar makrifat, bertambah besar pula kelazatan".

Seorang hamba rakyat akan sangat gembira kalau dia dapat berkenalan dengan wazir, kegembiraan itu naik berlipat ganda kalau dia dapat berkenalan pula dengan raja. Tentu saja berkenalan dengan Allah, adalah puncak dari segala macam kegembiraan, lebih dari apa yang dapat diperkirakan oleh manusia, sebab tidak ada yang maujud ini yang lebih dari kemuliaan Allah. Bukankah segala kemuliaan alam itu hanya sebahagian dari anugerah Allah? Bukankah segala macam keganjilan dalam alam itu hanya sebahagian yang sangat kecil dari keganjilan Maha Kuasa Allah?

Oleh sebab itu tidaklah ada satu makrifat yang lebih lazat daripada makrifatullah. Tidak ada pula suatu pandangan yang lebih indah dari pandangan Allah. Sebab segala kelazatan dan kegembiraan, kesenangan dan sukacita yang ada di atas dunia ini, semuanya hanya bertakluk kepada sebab pertimbangan nafsu, dan semuanya akan berhenti perjalanannya apabila telah sampai ke batas, iaitu kematian. Tetapi kelaatan makrifatullah bukan bertakluk dengan nafsu, dia bertakluk dengan hati. Maka perasaan hati tidak berhenti sehingga mati. Hati nurani itu tidak rosak lantaran perpindahan hidup dari fana kepada baka. Bahkan bila tubuh kasar ini mati, bertambah bersihlah makrifat itu, kerana tidak ada pengganggunya lagi, sebab kekuasaan iblis, hawa dan nafsu tidak sampai ke sana. Hati nurani itu telah keluar dari alam yang sempit, masuk ke daerah alam yang luas, keluar dari gelap gelita menuju terang benderang.

Kata Imam Al ghazali di bahagian yang lain:

"Kesempurnaan bahagia itu bergantung kepada tiga kekuatan:

a. Kekuatan marah.

b. Kekuatan syahwat.

c. Kekuatan ilmu."

Maka sangatlah perlunya manusia berjalan di tengah-tengah di antara tiga kekuatan itu. Jangan berlebih-lebihan menurutkan kekuatan marah, yang menyebabkan mempermudahkan yang sukar dan membawanya kepada binasa. Jangan pula berlebih-lebihan pada kekuatan syahwat sehingga menjadi seorang yang humuq (pandir), yang membawa kerosakkan pula. Maka jika kekuatan syahwat dan marah itu ditimbang baik-baikdan diletakkan di tengah-tengah, luruslah perjalanannya menuju petunjuk Tuhan. demikianlah pula hal marah. Kalau kemarahan itu berlebihan dari yang mesti, kejadian memukul dan mebunuh. Tetapi kalau dia kurang pula daripada yang mestinya, hilanglah diri dari perasaan cemburu (ghairah) dan hilang pula perasaan bertanggungjawab atas agama dan keperluan hidup atas dunia. Tapi kalau marah terletak di tengah-tengah, timbullah kesaaran, keberanian dalam perkara yang memerlukan keberanian, dan segala pekerjaan dapatlah dikerjakan menurut nikmat.

Demikian pula halnya dengan syahwat. Kalau syahwat itu bertambah-tambah, terjadilah fasiq (melanggar perintah Tuhan), onar (huru hara). Kalau syahwat kurang teguh, trejadilah kelemahan hati dan pemalas. Kalau syahwat berjalan di tengah-tengah, timbullah 'Iffah ertinya dapat memerintah diri sendiri dan Qanaah, yakni cukup dengan apa yang ada serta tidak berhenti berusaha.

Kata belau pula:

Di dalam batin engkau ada terkumpul beberapa sifat yang ganjil, sifat kebinatangan, sifat keganasan dan sifat malaikat. Tetapi dirimu yang sejati ialah nyawamu, rohmu. Hendaklah engkau tahu bahawa sifat-sifat yang tersebut tadi bukan kejadian yang asli dari jiwamu, ida hanya sifat-sifat yang mendatang kemudian. Sebab itu hendaklah engkau perhatikan baik-baik dan ketahui pula makanan apakah yang setuju dengan sifat-sifat tadi, untuk pencapai bahagia.

Kebahagiaan sifat kebinatangan ialah makan, minum, tidur dan sebagainya. Kalau engkau dimasuki oleh kebinatangan itu lebih daripada ukuran yang mesti, tentu engkau hanya bersungguh-sungguh memikirkan makan dan minum saja.

Kesenangan dan kebahagiaan sifat ganas ialah memukul dan merosak. Kesenangan dan kebahagiaan syaitan ialah mempedayakan kamu dan menjerumuskan serta menghela. Kalau sifat syaitan itu ada pada engkau, engkau akan memperdayakan orang, menjerumuskan orang kepada kesesatan, menghelah-helah, memutar-mutar duduk perkara, sebab dengan demikianlah tercapai kebahagiaan dan kesenangan syaitan.

Adapun kesenangan dan kebahagiaan sifat malaikat ialah menyaksikan keindahan Hadrat Rubbiyah, keindahan Hikmat Ilahiyah. Marah dan syahwat tidak terpengaruh atas orang yang bersifat begini. Kalau engkau mempunyai sifat dari jauhar asal kejadianmu, sehingga akhirnya engkau tahu, jalan manakah yang harus ditempuh untuk mencari Hadrat Rubbiyah itu, sampai akhirnya engkau beroleh bahagia yang mulia dan tinggi, iaitu musyahadah, menyaksikan keindahan dan ketinggian Maha Tuhan, terlepas dirimu dari ikatan syahwat dan marah. Di sanalah engkau akan mengetahui bahawa syahwat dan kemarahan itu dijadikan Allah atas dirimu, bukan supaya engkau terperosok dan tertawan, tetapi supaya engkau dapat menawannya. Dapatlah keduanya engkau pergunakan jadi perkakas untuk mencapai maksudmu menuju jalan makrifat tadi, yang satu engkau jadikan kenderaan yang lain engkau jadikan senjata, sehingga mudahlah engkau mencapai keberuntungan, bahagia dan kesenangan.

Kalau engkau lihat salah satu anggota kerajaan hati itu melanggar undang-undang hidup, iatu salah satu dari syahwat dan marah, hendalah engkau lawan sepenuh tenaga. Jika dia kalah sekali-kali jangan dibunuh, kerana kerajaan hati tidak akan sentosa kalau keduanya tidak ada lagi. Kalau engkau jalankan resep demikian, tentu akan memperolehi bahagia. Dapat engkau memegang dan mempergunakan nikmat Allah menurut yang semestinya. Tentu pada suatu peringatan kehormatan yang tinggi daripadaNya. Kalau engkau langgar petaruh ini, tentu engau celaka, engkau dapat seksa yang bukan seperti, yang membuat engkau menyesal.

Sekianlah keterangan Imam Al Ghazali.

Dari keterangan beliau itu, maklumlah kita pendirian Imam Al Ghazali, bahawa kebahagiaan itu ialah pada kemenangan memerangi nafsu dan menahan kehendaknya yang berlebih-lebihan. Itulah yang bernama peperangan besar, lebih besar dari peperangan Badar yang paling besar. Tidak ragu lagi, bahawa orng yang menang dalam peperangan yang demikian, lebih daripada segala kemenangan. Tetapi Nabi kita bersabda, bahawa kembalinya dari perang Badar itu ialah kembali dari perang yang skecil-kecilnya, menempuh perang yang sebesar-besarnya, iaitu perang dengan nafsu.

Maka kemenangan di dalam peperangan dengan nafsu ini ialah induk dari segala kemenangan. Kerana orang yang berperang ke medan perang itu sendiri, ada juga yang mencari nama dan kemegahan. Pada lahir trenama, pada batin amalnya belum tentu diterima Tuhan. Sedang orang yang berperang dengan nafsu itu, kerapkali tidak dilihat manusia kemenangan itu lahirnya, tetapi tertulis dengan jelas di sisi Tuhan.

0 comments »

Pendapat Aristotles

Posted by Ibnu Nurdin | 2:27 PM

Aristotles berpendapat bahawa: "Bahagia bukanlah suatu perolehan untuk manusia, tetapi corak bahagia itu berbeza-beza dan beragam menurut corak dan ragam orang yang mencarinya. Kadang-kadang sesuatu yang dipandang bahagia oleh seseorang, tidak oleh orang lain. Sebab itu menurut undang-undang Aristotles - Bahagia itu ialah suatu kesenangan yang dicapai oleh setiap orang menurut kehendak masing-masing.

Beliau berpendapat bahawa bahagia itu bukan mempunyai erti dan satu kejadian, melainkan berlainan coraknya menurut tujuan masing-masing manusia. Adapun yang berdiri dengan sendirinya, dan tujuan setiap manusia yang hidup ialah: Kebaikan umum. Bahagia itu ialah tujuan tiap-tiap diri. Kelak setelah tiap-tiap diri beroleh bahagia yang dicarinya, barulah kemanusiaan umum itu melangkah menuju kebaikan untuk bersama.

Kata Aristotles lagi:"Kebaikan umum itu ialah suatu perkara, yang bila tercapai, kita tidak berkehendak lagi kepada yang lain. Tetapi bahagia ialah anugerah Allah kepada tiap-tiap diri yang dipilihNya, yang boleh jadi orang lain tidak merasainya, meskipun yang beroleh bahagia dengan yang tidak beroleh itu berkumpul setiap hari".

0 comments »

Pendapat Ahli-ahli Fikir Zaman Sekarang

Posted by Ibnu Nurdin | 2:25 PM

Ahli-ahli fikir zaman kini ada yang putus asa, yang kecewa dan ada yang merasa sukar sekali mencari bahagia itu.

Hendrik Ibsen, ahli fikir bangsa Norwegia (1828 -1906) berpendapat bahawa mencari bahagia itu hanya menghabiskan umur saja, kerana jalan untuk menempuhnya sangat tertutup, setiap ikhtiar untuk melangkah ke sana sentiasa tertarung. Kerana mula-mula orang yang menujunya menyangka bahawa perjalanan telah dekat, padahal dekat kepada jurang tempat jatuh.

Beliau berkata: "Kita belum mencapai bahagia, sebab tiap-tiap jalan yang ditempuh menjauhkan kita daripadanya".

Cuba pembaca fikir, kenapa filosof ini berpendapat demiian? Berapa banyaknya kita lihat di dalam hidup ini manusia berikhtiar mencari bahagia dengan bermacam-macam jalan, tetapi boleh dikatakan tiap-tiap menempuh itu terjatuh di tengah jalan? Ada pahlawan, yang mula-mula menyangka bahawa bahagia akan tercapai olehnya dengan jalan membela tanah airnya. Tiba-tiba setelah tercapai olehnya kebahagiaan tanah air itu, setelah ia beroleh kemenangan, lupalah ia kepada bahagia yang ditujunya, ia mencuba pula hendak merosakkan tanah air orang lain.

Ketika miskin orang bercita-cita menjadi kaya, kerana bila harta telah cukup bahagia akan tercapai, sebab dapat membantu sesama hamba Alah. Tetapi setelah kaya dia menjadi sombong harta bendanya dinikmati sendiri dan dia menjadi kikir.

Sebelum menjadi presiden atau menteri, atau anggota parlimen, ia berjanji di hadapan rakyat akan menentang segala sifat yang zalim dan aniaya. Tetapi setelah kerusi diperolehinya, berkisarlah kezaliman menteri yang hilang kepada menteri yang baru. Demikianlah antara lain contoh-contohnya.

Itulah sebab filosof Hendrik Ibsen berkata bahawa mencari bahagia itu membuang-buang masa saja. Tetapi sikap yang beliau ambil itu adalah sikap putus asa.

Thomas Hardy pun segolongan dengan Hendrik Ibsen sama-sama putus asa di dalam mendaki, memanjat dengan bermacam-macam ikhtiar untuk mencapai bahagia, bahagia itu tidak dapat juga.

0 comments »

Golongan Kedua

Posted by Ibnu Nurdin | 2:22 PM

1. Leo Tolstoy.

Pujangga Russia yang masyhur itu (1828 - 1910), berpendapat bahawa yang menjadi sebab manusia putus asa di dalam mencari bahagia, ialah kerana bahagia itu diambilnya untuk dirinya sendiri, bukan untuk berrsama. Padahal segala bahagia yang diborong untuk sendiri itu tidak dapat tidak mesti mengganggu bahagia orang lain. Orang lain yang terganggu itu tidak pula mahu berpangku tangan jika ia tersinggung, dia akan mempertahankan diri. Oleh sebab itu bukan lagi "menuntut bahagia" memberi keuntungan, tetapi memberi kerugian bersama. Sebab itu pula nyatalah bahawa bahagia yang dituntut mestinya bukan buat diri sendiri, tetapi buat bersama, buat masyarakat, kerana "Tangan Allah adalah atas Jamaah". Dari sebab bahagia dicari untuk bersama, dan segala manusia rindu mencapainya, di sini timbullah persatuan keperluan dan persatuan keinginan, timbullah kecintaan di antara bersama dan kehendak bertolong-tolongan.

Maka bahagia raya itu tidaklah akan didapat di dalam hidup yang gelap, melainkan pada kehidupan yang penuh nur, penuh cahaya gemiang. Hidup bercahaya dan berseri ialah hidup yang sudi mengorbankan kesenangan dan kebahagian diri sendiri untuk kesenangan dan kebahagiaan bersama, untuk menghilangkan segala permusuhan dan kebencian yang melekat di dalam jantung anak Adam yang terbit lantaran hawa nafsu dan syahwat, yang semuanya itu penuh dengan lakon kesedihan dan sandiwara yang menyeramkan.

Hidup yang gilang gemilang itu ialah berkorban.

2. Bertrand Russel.

Filosof Inggeris pun sependirian dengan Tolstoy dalam hal ini.

3. George Bernard Sahw.

Bintang falsafah dari Irlandia itu, dalam karangannya sandiwaanya "Manusia Yang Maju", menghilangkan keraguan yang bersarang di hati manusia lantaran pengaruh pendapat Ibsen di atas tadi.

Kata beliau:

Jadi manusia tidak kuat mencari jalan menuju bahagia, atau tak kuat menyingkir dari jalan sengsara dan celaka, sekali-kali jangan ia putus asa. Ia mesti berpegang teguh dengan keberanian, ia mesti kuat. Tak boleh menyerahkan diri kepada sengasaranya dan tidak beruntungnya. Ia mesti tahu bahawa dahulu dari kita sudah berpuluh-puluh keturunan anak manusia yang menjadi korban. Ada yang sesat dan telah jatuh. Kita yang datang di belakang mendapat pengajaran baru daripada kejatuhan mereka. Kita mesti memilih jalan lain, jangan jalan yang telah ditempuh orang-orang yang telah tersasar.

Yang menyebabkan manusia tidak mendapat bahagia - kata Shaw pula - kerana banyaknya salah manusia, keriaannya, bersungguh-sungguh untuk keuntungan seorang, tidak memperdulikan seruan kehidupan sejati, iaitu kehidupan di dalam budi mulia, tidak mengakui kerugian yang didapatnya lataran kesalahan perbuatannya.

Ada orang yang menyatakan bahawa kesalahan manusia kerana tidak mempergunakan akalnya, tetapi dipergunakannya bukan untuk kesejahteraan isi dunia, tetapi untuk kerosakan dan untuk menghabiskan nyawa. Jadi kemajuan manusia pada masa ini bukan dalam budi pekerti tapi daam dunia amuk dan merosak-binasakan. Tidak seorang pun yang ingat hendak mencari ubat, bahkan semuanya lupa kesanggupan nenek moyangnya sejak beribu-ribu tahun yang lampau. Apa yang diminum dan apa yang dimakan nenek moyangnya dahulu, itu juga yang diminum dan dimakannya sekarang ini. Kalau dia maju ke medan perang untuk melawan musuhnya, tidak ada orang lain yang boleh mencontoh bagaimana kejempolannya (kebolehannya) membinasakan jiwa temannya dan merosakkan tempat tinggal sesama manusia.

Inilah penyakit masyarakat yang menyebabkan manusia terhindar dari bahagia menurut Shaw. Meskipun sedemikian rosak, Shaw tidak berputus asa untuk memperbaiki perikemanusiaan dan untuk mencapai bahagia, ia suruh manusia berani dan teguh hati. Segala merosakan dan keonaran (huru hara) yang terjadi dahulu, sekarang dan nanti, akan menjadi pengajaran bagi perikemanusiaan seluruhnya. Itulah agaknya yang menjadi sebab maka Shaw berkata bahawa dalam abad XX ini juga seluruh dunia akan menaruh perhatian besar kepada agama Islam!

0 comments »

Pendapat Nabi Muhammad saw

Posted by Ibnu Nurdin | 1:46 PM

Sekarang marilah kita selidik bagaimana pendapat Nabi Muhammad s.a.w., dari hal bahagia, setelah kita lihat beberapa pendapat Falsafah Timur dan Barat.

Dari Aisyah r.a., bahawa pada suatu hari dia bertanya kepada Rasulullah saw:

"Ya Rasulullah, dengan apakah kelebihan setengah manusia dari yang setengahnya?".

Rasulullah saw menjawab: "Dengan akal".

Kata Aisyah pula" "Dan di akhirat?".

"Dengan akal juga". Kata baginda.

"Bukankah seorang manusia lebih dari manusia yang lain dari hal pahala lantaran amal ibadatnya?". Kata Aisyah pula.

"Hai Aisyah, bukankah amal ibadat yang mereka kerjakan itu hanya menurut kadar akalnya? Sekadar ketinggian darjat akalnya, sebegitulah ibadah mereka dan menurut amal itu pula pahala yang diberikan kepada mereka".

Sabda Rasulullah pula:

"Allah telah membagi akal kepada tiga bagian, siapa yang cukup mempunyai ketiga bagiannya, sempurnalah akalnya, kalau kekurangan walau sebagian, tidaklah ia terhitung orang yang berakal.

Orang bertanya: "Ya Rasulullah, manakah bagian yang tiga macam itu?".

Kata baginda: "Pertama baik makrifatnya dengan Allah, kedua baik taatnya bagi Allah, baik pula sabarnya atau ketentuan Allah".

Berkata setengah Hukama:

"Tiap-tiap sesuatu di dalam alam ini ada batas perjalanannya. Tetapi akal tidak terbatas, adapun manusia bertingkat-tingkat di dalam darjat akalnya, laksana darjat wangi dari tiap-tiap bunga.

Dari sabda Nabi itu, dapat kita ambil kesimpulan bahawa darjat bahagia manusia itu menurut darjat akalnya, kerana akallah yang dapat membezakan antara baik dengan buruk, akal yang dapat mengagak-agihkan segala pekerjaan, akal yang menyelidik hakikat dan kejadian segala sesuatu yang dituju dalam perjalanan hidup dunia ini. Bertambah sempurna, bertambah indah dan murni akal itu, bertambah pulalah tinggi darjat bahagia yang kita capai, sebab itu menurut kehendak hadis tadi kepada kesempurnaan akallah kesempurnaan bahagia.

Akal manusia bertingkat, kehendak manusia berbeza-beza menurut tingkat akal masing-masing. Setengah manusia sangat cinta kepada kehormatan dan kemuliaan, sehingga simpang perjalanan dan segala ikhtiar dipergunakannya untuk sampai ke situ. Ia mahu berkorban, mahu menempuh kesusahan dan kesakitan asal ia boleh encapai kemuliaan dan kehormatan. Pada hal setengah golongan tidak peduli semua itu. Buat dia, asal dapat mencapai hidup, tak mengganggu orang lain, cukuplah. Apa guna menghabiskan tenaga untuk mencapai kemuliaan dan kehormatan yang bagaikan mimpi itu.

Harta benda dunia, sebagian besar manusia berusaha mencari, bersusah payah, menghabiskan tenaga, tidak peduli hujan-panas, haus lapar, kadang-kadang berhilang-hilang negeri, meninggalkan kampung, anak isteri dan handai taulan. Padahal ada pula golongan yang tidak peduli akan harta benda itu, asal hatinya tenteram di dalam khalwat mengingat Tuhannya, sebagaimana kebiasaan ahli-ahli zuhud dan sufi yang masyhur, asal lekat pakaian untuk penutup aurat, dapat sesuap pagi dan petang, cukuplah. Dia juga ignin kekayaan, tetapi kakayaan jiwa. Dia ingin juga kemuliaan, tetapi kemuliaan yang lebih kekal dari harta.

Ada orang lupa siang, lupa malam, lupa kampung dan lupa negeri hanya untuk mencari pangkat, mencari tepuk kuduk (sanjungan), mencari pujian, mencari beberapa keping emas, perak dan tembaga yang akan dideretkan di atas dadanya, yang tergadai, teragun harta benda pusaka nenek moyangnya. Padahal ada pula golongan yang tidak lekat di hatinya segala perhiasan yang tak kekal itu, kerana dipandangnya bahawa segala barang-barang perhiasan dada itu, tak lebih harganya dengan permainan kuda-kuda dan puput anak-anak.

Ada orang yang di mana-mana ingin menonjolkan diri seperti 'ayam putih', di gelanggang. Ingin, terus di muka saja hendaknya, jangan sampai ketinggalan. Padahal ada pula orang yang benci pada segala yang ramai, berniat hendak memisahkan dirinya ke tempat sunyi, supaya tidak bergaul dengan manusia yang ramai ini, yang diikat oleh beberapa kewajipan, yang memenatkan diri. Di tempat sunyi dia bebas mengingat Rabbul Izzati semata-mata.

Segala perbezaan dan perubahan tingkatan pandangan hidup manusia itu, timbul kerana perbezaan tingkatan pendapat akal. Berlainan pendapat kerana berlainan pengetahuan, pendidikan dan berbeza pula bumi tempat tegak. Jika akal itu telah tinggi kerana tinggi pengetahuan (ilmu) dipatrikan oleh ketinggian pengalaman, bertambahlah tinggi darjat orang yang mempunyainya. Kerana sesungguhnya segala sesuatu yang ada dalam alam ini, hakikatnya sama saja, yang berubah adalah pendapat orang yang menyelidikinya. Maka kepandaian manusia menyelidiki itulah yang menjadi pangkal bahagia atau celakanya.

Bertambah luas akal, bertambah luaslah hidup, bertambah datanglah bahagia. Bertambah sempit akal, bertambah sempit pula hidup, bertambah datanglah celaka.

Oleh agama perjalanan bahagia itu telah diberi berakhir. Puncaknya yang penghabisan ialah kenal pada Tuhan, baik makrifat kepadaNya, baik taat kepadaNya dan sabar atas musibahNya. Tidak ada lagi hidup di ata itu!

Disinilah timbul kehairanan kita melihat orang yang setiap hari menyisir rambutnya, tetapi tak pernah menyisir otaknya, berusaha membusungkan dadanya, tetapi tidak membusungkan hatinya. Digosoknya sepatunya tetapi tidak digosoknya akalnya sehingga ia tak pernah bertemu dengan bahagia, hanya mendengar dari orang ke orang, dari mulut ke mulut. Ia duduk dekat orang yang bahagia, tetapi dia jauh dari bahagia. Ada lurah yang dalam membatas mereka, padahal mereka duduk berdekatan.

Kita hairan melihat manusia, yang takut rugi dengan hartanya, tetapi mudah beroleh kerugian, yang lebih besar, iaitu murka Tuhannya. Ia ubati dengan segala cara anaknya yang jatuh sakit, iaitu sakit badan, tetpi tidak dicarkannya ubat jika anaknya mendapat sakit batin, iaitu sakit akal.

Kalau akal ini telah dilepaskan dari segala kungkungannya, hanya dihadapkan kepada Zat Yang Menguasainya saja, kalau telah datang zaman itu, akan datang pulalah perubahan yang besar di dalam peripenghidupan manusia. Terlepaslah manusia daripada ancaman sesama anak Adam, tidak ada lagi tempat takut melainkan Yang Maha Esa jua adanya.

Segalanya barang yang ada di atas dunia ini sama saja harganya, tidak erlebih berkurang. Hanya emas sama dengan tembaga, harga tanah sama dengan rumah batu, harga segulung kertas koran sama dengan harga segulung wang kertas di dalam peti, yang berubah bukan barang itu melainkan penghargaan manusia atasnya. Misalnya yang dekat di hadapan kita sangat cukup. Seorang yang tidak mengerti bahasa Inggeris, buat dia tidak lebih harganya daripada kertas pembungkus gula. Tetapi harga Rp1,000 (satu ringgit) itu, bagi yang mengerti bahasa Inggeris tadi dirasa mahal. Pergilah ke pasar loak (barang terpakai) tuan akan berjumpa dengan karangan filosof dijual dengan timbangan kilogram.

Rokok, walaupun bagaimana mahal, wangi dan menerbitkan nafsu bagi perokok, bagi yang tidak merokok, tidaklah berharga sedikit pun.

Peulis buku ini tidak menghargakan buah-pala yang banyak berserak di bawah batangnya di dalam kebun di dusunnya. Tetapi seketika dia di Makkah sebelum perang, jika ada orang yang hendak menjual kepadanya sepuluh sen sebiji, maulah dia rasanya membeli, kerana sangat ingin. Kemudian bila telah pulang ke kampung, buah pala yang berserakkan di bawah batangnya itu, menengok saja pun dia tak mahu lagi.

Jadi sampai sekarang belum juga dapat orang menentukan, bilakah masanya orang merasa bahagia. Orang rindu akan sesuatu sebelum ada padanya, tetapi bila telah ada, hilanglah kerinduannya, sebab segala isi dunia ini indahnya sebelum ada di tangan. Rockeveller seorang yang sangat kaya, sebelum kaya sangat rindu hendak beroleh bahagia dengan kaya. Wangnya yang berbilion sebanyak aliran minyak tanah Socony itu tidak ada harga lagi baginya, yang lebih dirinduinya dan lebih dicintainya serta ia berasa bahagia jika diperolehnya, ialah jika uurnya yang 97 tahun (1973) dicukupkan Allah seratus tahun, menunggu tiga tahun lagi. Tetapi tahun 1973 itu dia mati juga, tak dapat ditebusnya kekurangan yang 3 tahun itu dengan wang berbilion itu!

Di negara Surakarta Hadhiningrat ada seorang perempuan tua, Mbok Suro namanya, sudah satu setengah abad usianya (150 tahun), dan hidupnya sangat miskin. Sudah berkali-kali dilihatnya raja diangkat dan raja mati, dan kerana miskinnya sudah kerapkali dia bosan hidup. Akan lebih berbagagialah dia kiranya, kalau dia lekas mati, namun mati tidak juga datang. Kalau nasib itu boleh menurut kehendak kita, apalah salahnya diberikannya kelebihan usianya itu kepada Rockefeler barang tiga tahun saja, tentu kalau boleh, mahu agakya Rockefeller mengganti kerugian umur itu dengan separuh kekayaannya.

Sebab itu sekali-kali tidaklah bernama bahagia dan nikmatnya jika hati dan khayal kita hanya kita perhubungkan dengan isi alam yang lahir ini, yang harganya hanya menurut keinginan kita. Jangan terlalu diperintah oleh khayal, oleh angan-angan, oleh fantasi, kerana itu jugalah yang memalingkan kita dari bahagia yang sebenarnya tujuan hidup, yang mulanya tangis akhirnya tertawa, dan mulanya pahit akhirnya manis.

Ramai manusia yang diperdayakan oleh cahaya samar ketika dia dalam gelap, perasaannya didahulukannya daripda pertimbangannya. Dia datang kepada cahaya yang baru itu, sampai di sana yang dicarinya tak ada sama sekali. Akan kembali ke tempat asalnya, jalan telah lebh gelap dari dahulu, lantaran ia tak sabar menunggu cahaya yang sejati.

Memang, sebab-sebab buat mencapai bahagia amat banyak, tetapi kita manusia mencari juga yang lain. Dia ada dalam tangan kita, tetapi kita cari yang ada di tangan orang lain kerana yang di tangan orang itu kelihatan lebh indah.

Sekarang mengertilah kita, bahawa segala sesuatu di dalam alam ini baik dan buruknya bukanlah pada zat sesuatu itu, tetapi pada penghargaan kehendak kita atasnya, menurut tinggi rendahnya akal kita. Apalah gunanya pena emas bagi orang yang tak pandai menulis? Aplah harga Quran bagi seorang atheis (tidak beragama). Apalah harga intan bagi orang gila? Sebabitulah kita manusia disuruh membersihkan akal budi, supaya dengan akal budi kita mencapai bahagia yang sejati.

0 comments »

Cetusan Hatiku

Posted by Ibnu Nurdin | 2:31 AM

Sebelum dijadikan buku"Tasauf Moden" adalah menjadi satu kolom dalam majalah yang saya pimpin di Medan: "Pedoman Masyarakat".

Kerana banyak permintaan pembaca, kemudian dijadikan buku dan keluarlah Cetakan Pertama pada bulan Ogos 1939.

Tiga puluh tahun yang lalu.

Banyak saya menerima sambutan atas buku ini dari sahabat-sahabat karib saya. Ada yang masih hidup dan sudah meninggal. Seorang dokter sahabat saya, sesudah Perang Dunia II ini juga, pernah menasihatkan pada pesakit yang tengah dirawatnya agar membaca "Tasauf Moden", guna mententeramkan jiwanya dan melekaskan sembuhnya. Beberapa orang suami isteri yang bahagia mengatakan bahawa "Tasauf Moden" adalah sebagai patri hidup bahagia mereka. Ada yang mengatakan setiap keluaran hidup bahagia mereka. Ada yang mengatakan setiap keluaran cetakan yang baru terus dia membeli. Sebab buku yang ada padanya kerapkali dipinjam kawan dan tidak dikembalikan lagi.

Akhirnya Pengarangnya sendiri pun terlepas dari bahaya besar, iaitu bahaya kekal dalam neraka jahanam sesudah hancur nama sendiri dan nama keturunan kerana pertolongan "Tasauf Moden"!

Pada hari Isnin tanggal 12 Ramadhan 1385, bertepatan dengan 27 Hanuari 1964 kira-kira pukul 11 pagi, saya dijemput ke rumah kawan saya, ditangkap dan ditahan. Mulanya dibawa ke Sukabumi.

Diadakan pemeriksaan yang tidak henti-henti, siang malam, petang pagi. Istirehat hanya ketika makan dan sembahyang saja. 1001 pertanyaan, yah 1001 yang ditanyakan. Yang tidak henti-henti selama 15 hari 15 malam. Di sana sudah ditetapkan terlebih dahulu bahawa saya mesti bersalah. Meskipun kesalahan itu tidak ada, mesti diadakan sendiri. Kaau belum mengaku berbuat salah, jangan diharap akan boleh tidur.

Tidur pun diganggu!

Kita pasti akan bersalah. Di sana mengatakan kita mesti bersalah.

Kita mengatakan tidak. Di sana mengatakan ya! Sedang di tangan mereka ada pistol.

Satu kali pernah terdengar satu ucapan yang belum pernah saya dengar selama hidup.

"Saudara pengkhianat, menjual negara kepada Malaysia!"

Kelam pandangan mendengar ucapan itu. Berat!

Ayah saya adalah seorang Alim Besar. Dari kecil saya dimanjakan oleh masyarakat, sebab saya anak orang alim. Sebab itu, ucapan terhadap diri saya di waktu kecil adalah ucapan kasih.

Paa usia 16 tahun saya diangkat menjadi Datuk menurut adat gelar pusaka saya ialah Datuk Indomo.

Sebab itu dalam usia 12 tahun saya dihormati secara adat. Lantaran itu sangatlah jarang orang mengucapkan kata-kata kasar terhadap saya.

Kemudian saya pun meningkat dewasa. Saya mencampuri sedikit sebanyak perjuangan menegakkan masyarakat bangsa, dari segi agama, dari segi karang mengarang, dari segi pergerakan Islam, Muhammadiyah dan lain-lain. Pada tahun 1959 Universiti Al-Azhar memberi saya gelar Doktor Honoris Causa, kerana saya dianggap salah seorang ulama yang terbesar di Indonesia.

Sekarang terdengar saja ucapan:

"Saudara pengkhianat, menjual negara kepada Malaysia".

Gementar tubuh saya menahan marah, kecil polis yang memeriksa dan mengucapkan kata-kata itu saya pandangi, dan pistol ada dipinggangnya.

Memang kemarahan saya itulah supanya yang sengaja dibangkitkannya. Kalau saya melompati dia dan menerkamnya, tentu sebutir peluru saja dapat merobek dada saya. Dan besoknya tentu sudah dapat disiarkan berita di surat-surat khabar: "Hamka lari dari tahanan, lalu dikejar, tertembak mati!".

Syukur Alhamdulillah kemarahan itu dapat saya tekan, dan saya insaf dengan siapa saya berhadapan. Saya yang tadinya sudah mulai berdiri terduduk kembali dan meloncatlah tangis saya sambil meratap:

Janganlah saya diseksa seperti itu. Buat sajalah satu pengakuan bagaimana baiknya, akan saya tandatangani. Tetapi kata-kata demikian janganlah saudara ulang lagi!"

"Memang saudara pengkhianat!" katanya lagi dan dia pun pergi sambil menghempaskan pintu. Remuk rasanya hati saya.

Mengertilah saya sejak dari itu mengapa segala barang tajam wajib dijauhkan dari tahana yang sedang diperiksa. Di saat seperti itu, setelah saya tinggal seorang diri, datanglah tetamu yang tidak diundang, dan memang selalu datang kepada manusia di saat seperti demikian. Yang datang itu adalah syaitan! Dia membisikkan ke dalam hati saya, supaya saya ingat bahawa dalam simpanan saya masih ada pisau silet. Kalau pisau kecil itu dipotong saja pada urat nadi, sebentar kita sudah mati. Biar orang tahu kita mati kerana tidak tahan menderita.

Hampir satu jam lamanya terjadi perang hebat dalam batin aaya, di antara perdayaan iblis dengan Iman yang telah berpuluh tahun saya pupuk ini. Hampir saya telah membuat surat wasiat kepada anak-anak di rumah.

Tetapi Alhamdulillah: Iman saya menang.

Saya berkata kepada diriku:

"Kalau membunuh diri kerana tidak tahan dengan penderitaan batin ini, mereka yang menganiaya itu nescaya akan menyusun pula berita indah kematianmu. Engkau ditemui membunuh diri dalam bilik oleh kerana bersasa malu setelah polis mengeluarkan beberapa bukti atas pengkhianatan. Maka hancurlah nama yang telah engkau modali dengan segala penderitaan, keringat dan air mata sejak puluhan tahun.

Dan ada orang berkata: Dengan bukunya "Tasauf Moden" dia menyeru orang agar bersabar, tabah dan teguh hati bila menderita satu percubaan Tuhan. Orang yang membaca bukunya itu semuanya selamat kerana nasihatnya, sedang dirinya sendiri memilih jalan yang sesat. Pembaca bukunya masuk syurga karena bimbingannya, dan dia di akhir hayatnya memilih neraka".

Jangankan orang lain, bahkan anak-anak kandungmu sendiri akan menderita malu dan menyumpah kepada engkau.

Syukur Alhambulillah, perdayaan Syaitan itu kalah dan dia pun mundur. Saya menang! Saya menang!

Klimaks itu telah terlepas.

Setelah selesai pemeriksaan yang kejam seram itu, mulailah dilakukan tahanan berlarut-larut. Akhirnya dipindahkan ke rumah sakit Persahabatan di Rawangan Jakarta, karena sakit. Maka segeralah saya minta kepada anak-anak saya yang selalu melihat saya (bozoek) agar dibawakan "Tasauf Moden".

Saya baca dia kembali di samping membaca Al-Quran.

Pernah seorang teman yang datang, mendapati saya sedang membaca "Tasauf Moden". Lalu dia berkata "Eh, Pak Hamka sedang membaca karangan Pak Hamka!

"Memang!" - jawab saya: "Hamka sedang memberikan nasihat kepada dirinya sendiri sesudah selalu memberi nasihat kepada orang lain. Dia hendak mencari ketenangan jiwa dengan buku ini. Sebab telah ramai orang memberitahu kepadanya bahawa mereka mendapat ketenangan dengan membaca buku "Tasauf Moden" ini!

Teringatlah saya kepada peristiwa-peristiwa yang muram itu seketika Sdr. H.A Malik Ismail datang meminta persetujuan saya akan menerbitkannya kembali, sebagai cetakan 12.

Moga-moga buku ini memberi faedah kepada pembacanya, terlebih lagi bagi pengarangnya.

Hamka.
Kebayoran Baru, Januari 1970.

3 comments »

Iradah

Posted by Ibnu Nurdin | 1:52 AM

Pekerjaan akal yang paling berat ialah membezakan mana yang buruk dan mana yang baik, serta memahamkan barang sesuatu. Tetapi dengan semata-mata akal saja belum pula cukup untuk mencapai bahagia, kerana akal berhenti perjalanannya sehingga itu. Adapun yang menjadi perantaraan antara akal dengan bahagia, ialah iradah, kemahuan! Walaupun akal sudah lanjut dan tinggi, kalau tidak ada iradah untuk mencapai bahagia, bahagia itu tidak akan trecapai. Iradah adalah kekuatan nafsiah kita, pada kedirian kita, yang tidak dapat berpisah dari hajat hidup. Kalau hajat itu kuat, timbullah iradah, sehingga dapatlah dia menaklukkan segala pengaruh yang mendatang dari luar dan bekas-bekas asing, kalau kehidupan lemah, iradah itu pun jatuh. Kalau iradah jatuh terpengaruhlah diri oleh keadaan sekeliling kita, dan sukarlah mencapai bahagia.

Bertambah besar iradah, bertambah dekat bahagia. Bertambah lembik iradah, bertambah jauh bahagia.

Ilmu kedoktoran moden, telah memasukkan juga ilmu jiwa ke dalam bagian ilmu kedoktoran. Mereka sudah mendapat kepastian bahawa iradah atau kemahuan itu amat besar pengaruhnya bagi jasmani dan rohani manusia. Ramai orang yang baru demam sedikit sahaja, kerana lemah iradahnya, demamnya bertambah larut. Segala macam penyakit mendekat pada dirinya. Ada orang yang baru sembuh dari penyakit yang menimpanya kerana iradahnya kuat. Iradah itu tidak bergantung kepada besar kecilnya tubuh, sedikit atau ramainya orang. Kerapkali orang yang besar dan tegap badannya dapat diperintah oleh orang kecil, kerana iradahnya di kecil itu lebih kuat. Dan ada pula golongan umat beribu-ribu banyaknya tak dapat membantah seorang pemimpin yang memiliki iradah yang kuat.

Kekuatan sugesti yang dipakai oleh para doktor di zaman moden, menunjukkan besarnya pengaruh iradah. Pernah doktor-doktor mengubati orang sakit cuma dengan iradahnya, tidak memakai resep (ubat), sehingga penyakit itu sembuh, hanya bergantung kepada cara, raut muka dan sikap seketika memeriksa penyakit. Tabib-tabib kuno pun tidak memungkiri akan kekuatan ini. Abu Bakar Razi, tabib Arab dan hakim yang mashyur itu berkata:

"Hendaklah tabib memasukkan waham kepada hati si sakit bahawa penyakitnya tidak berbahaya dan dia akan lekas sembuh".

Ibnu Sina sangat terkenal keahliannya mengubati penyakit dengan sugesti. Tabib moden memperhalus penyelidikan ilmu ini sehingga dapat digunakan juga untuk membedah. Dengan kekuatan iradah, doktor itu berkata kepada pasien yang akan dibedah: "Engkau akan dibedah sekarang juga, tetapi engkau tidak akan merasa sakit".

Lantaran takluknya dan percayanya kepada doktor itu memang dia tidak merasa sakit sedikit juga ketika dibedah.

Kalau si sakit sendiri merasa dalam iradahnya bahawa doktor yang mengubatinya itu pandai dan dia akan lekas sembuh, penyakitnya akan segera lenyap. Tetapi kalau dia kurang yakin, walaupun apa macam ubat yang diminumnya, tipislah harapan akan memberi manfaat. Sebab itu bertambah masyhur nama seseorang lebih kuat iradah orang mempercayainya.

Kelemahan iradah dan kekuatan waham itulah yang menyebabkan takut dan kurang tenang.

Kalau waham itu berbekas pada akal, menjalarlah dia kepada seluruh perjalanan fikiran, angan-angan dan kehendak. Ternyata tandanya pada tubuh kasar, jelas terbayang pada muka. Dia menjadi pucat, ragu-ragu sak wasangka, tidak percaya pada diri sendiri. Kalau dia gembira, lupa akan dirinya. Pucat dan putus harapan jika kecewa. Jantungpun demikian pula, denyutnya berkurang perjalanannya melemah. Lantaran itu perjalanan darah menjadi tak menentu.

Lantaran waham-waham itulah manusia merasai sakit, padahal bukan sakit, menanggung takut dengan tidak ada sebab buat takut. Dengan menguatkan iradah, bolehlah bertahan dan terbenteng diri dari pengaruh luar itu. Dari pengecut berganti menjadi tenang dan sabar. Dari pemalas menjadi seorang yang giat gembira. Dari seorang yang putus asa dan tiada merasa puas dengan keadaannya, menjadi seorang yang merasa bahagia.

Kalau iradah kepada barang sesuatu telah kuat, kita tidak merasa apa yang dikatakan sakit.

Misalnya, seorang pemuda sedang berjalan-jalan dengan gadis kecintaannya. Tiba-tiba datang satu bahaya, misalnya anjing gila mengejar atau kekasih itu diganggu orang. Lantaran dia hendak menunjukkan kesetiaan dan keberanian di hadapan kekasihnya itu, ditentangnya bahaya tidak dipedulikannya apa yang akan menimpa dirinya. Tapi ada pula orang lain, iradahnya tak sekuat itu, dipandangnya pekrjaan itu mencelakan dirinya, lalu dia membiarkan kekasihnya diganggu orang.

Seorang pemimpin bangsa, kerana sikapnya tidak disetujui oleh musuhnya bila beroleh kekalahan, kerana kalah dan menang itu bergilir, dia dihukum bunuh. Dia naikkan ke tiang gantungan. Kerana dari bermula iradahnya telah kuat, tidaklah dipedulikannya bahaya atau mati yang ada di hadapannya itu. Ditunggunya kematian dengan gagah. Tetapi orang yang tak ada iradahnya, yang terhukum lantaran hatinya penuh dengan waham yang menyesatkan, sebelum naik tiang gantungan dia telah mati dibunuh oleh takutnya.

Seperti kata Mutanabbi:

"Orang pengecut mati beribu kali, orang berani matinya hanya sekali".

Sebab itu, jika emas mahal harganya kerana emas dipergunakan untuk perhiasan dan kebanggaan diri. Maka iradah adalah lebih mahal dari emas, kerana dengan iradah orang bercita-cita yang tinggi. Cuma sayang, kelakuan manusia ini, lebih takluk kepada kehendak jasmani yang akan hancur dalam liang lahat dan tiada peduli kepada kehendak rohani yang akan hidup selamanya. Padalah kehidupan yang bererti dalam dunia ini ialah bahagia, bahagia yang timbul dari akal yang dapat tercapai melalui iradah (kemahuan). Maka tidaklah sama darjat manusia di atas dunia ini, kerana ada yang kurang akalnya, sebab itu kurang iradahnya sehingga kurang pula bahagianya, bahkan jauh dari bahagia sejak di dunia sampai jasmaninya bercerai dengan rohaninya.

Schopenhauer, ahli falsafah Jerman menyimpulkan alam dan hidup dalam falsafahnya yang terkenal "Alam itu ialah kemahuan".

0 comments »

Dari Apakah Tersusun Anasir Bahagia

Posted by Ibnu Nurdin | 12:41 AM

Ahli falsafah dan tasauf berselisih faham dari hal susunan bahagia itu. Ertinya berapakah percampuran zat yang kelak menjadi zat yang tersendiri iaitu: Bahagia? Ibarat ilmu kimia berapakah zat kapur, vitamin, zat putih telur dan lain-lain yang diadun menjadi tubuh bahagia?

Perlu juga diketahui, kerana cara mencari jenis kayu kadang-kadang tidak dengan cara menilik batangnya, tetapi dengan memperhatikan dahan dan daunnya.

Pertama: Faham Pithagoristen Dan Platonisten.

Menurut pendapat Pithagoras, Socrates, Plato dan lain-lain, anasir bahagia itu tersusun dari empat sifat utama, iaitu:

  1. Hikmat.
  2. Keberanian.
  3. Iffah (kehormatan).
  4. Adil.

Menurut mereka yang empat itu sudah cukup, tak usah ditambah lagi!

Kedua: Faham Aristotles,iaitu:

  1. Badan sihat, pancaindera cukup (memadai pendengaran, penglihatan, penciuman, perasaan lidah dan perasaan kulit).
  2. Cukup kekayaan, banyak pembantu sehingga sanggup meletakkan harga pada keperluannya, di dalam mencapai kebaikan, penolong fakir miskin, menunjukkan jasa baik kepada sesama manusia sehingga beroleh nama baik.
  3. Indah sebutan di antara manusia, terpuji di mana-mana, terhitung masuk bagian orang dermawan, setiawan, ahli fikir. Semua dicapai dengan menanaman budi bahasa.
  4. Tercapai apa yang dicita-cita di dalam mengharungi lautan hidup.
  5. Tajam fikiran, runcing pendapatan, sempurna kepercayaan memegang agama atau dunia, terjauh dari kesalahan dan tergelincir.

Bila berkumpul semuanya ini, tercapailah bahagia yang sempurna (Assa'adatul-kamilah). Demikian pendapat Aritotles!

Apakah sebab terjadi perselisihan fikiran dalam perkara anasir-anasir bahagia?

1. Alasan Pendapat Golongan Pertama

Golongan pertama berpendapat bahawa segala keutamaan dan bahagia itu hanya dirasai oleh diri dan jafsu. Oleh sebab itu seketika mereka membagi-bagi anasir bahagia, semua mereka taklukkan kepada kekuatan kedirian semata, iaitu himah, keberanian, keteguhan dan keadilan.

Mereka setuju bahawa barangsiapa yang telah terkumpul pada sifat yang empat itu, tidaklah perlu lagi mempunyai sifat yang lain. Sebab sifat-sifat yang lain itu sebagai ranting saja, semuanya berhubungan dengan dahan-dahan besar yang empat perkara itu. Kesuburan pokok dengan sendirinya akan menumbuhkan banyak dahan dan ranting. Tidak perlu kepada sifat-sifat yang timbul dari luar diri.

Jika keempat sifat itu telah terkumpul pada manusia, kebahagiaannya tidaklah akan kurang atau cacat lantaran kerosakan atau kekurangan yang ada pada tubuh kasarnya (jasmaninya). Biarpun dia sakit tetapi kencong mulutnya, pecah matanya, pekok kakinya, semuanya itu akan jadi kemuliaannya jika telah terkumpul padanya empat sifat rohani yang tersebut tadi. Tetapi jika dia beroleh penyakit yang mengenai rohani, sebagai gila, lemah otak dan lain-lain, cacatlah bahagianya.

Juga tidaklah mengurangi bahagia jika dia ditimpa kecelakaan yang datang dari luar badan, misalnya miskin, papa, jatuh perniagaan, tidaklah akan mengurangi bahagianya, kalau sifat rohani yang empat tadi telah ada padanya.

Golongan ini, mengemukakan bahawa bahagia itu akan lebih berssih dan suci jika jasmani telah berpisah dari rohani. Kerana mereka berpendirian bahawa bahagia itu hanya perasaan jiwa. Selama tubuh masih mengikat jiwa, tubuh yang harus selalu kenyang dengan dunia, tubuh yang selalu menjadi sarang dari kotoran, selama itu pula kebahagiaan itu belum akan kelihatan kesuciannya. Jika nyawa itu telah lepas dari sangkarna, iaitu badan kasar, dan bahagia itu telah dirasai sendiri oleh jiwa, barulah, nampak bersihnya, barulah dia mendapat nur dari cahaya Ilahi yang gemilang. Seperti pepatah orang Arab:

"Hadapilah jiwamu dan sempurnakan keutamaan-keutamaannya.
Kerana engkau disebut seorang Insan, bukan lantaran tubuhmu, tetapi lantaran jiwamu".

Maka golongan pertama ini berkeyakinan, belumlah manusia akan merasa bahagia yang sejati, sebelum dia sampai ke akhirat.

Socrates ketika akan meninggal dunia menyatakan kepada murid-muridnya yang tengah berkumpul di sekelilingnya, bahawa di balik hidup ini ada lagi hidup kekal, hidup akhirat.

2. Alasan Golongan Kedua.

Pandangan golongan kedua, iaitu faham penganut Aristotles, badan itu satu bagian dari manusia, bukan satu perkakas. Sebab itu merka berkeyakinan bahawa kebahagiaan jiwa tidak akan sempurna jika tidak tercapai lebih dahulu kebahagiaan badan kasar. Demikian juga kebahagiaan yang datang dari luar badan, iaitu segala harta benda dan kemuliaan yang didapat dengan bersungguh-sungguh. Untuk mencapai bahagia yang cukup, orang perlu mempunyai penglihatan terang, pendengaran nyaring, penciuman tajam, perasaan halus dan berbadan sihat. Ramai juga ahli falsafah yang berlainan fikiran dengan golongan Aristo ini, sebab bahagia itu memerlukan anasir-anasir yang kekal dan teguh, bukan kepada barang yang boleh hilang, rosak dan musnah, kata mereka.

Golongan ini sangat berlawanan dengan yang pertama tadi, yang berpendapat bahawa bahagia sempurna hanya akan didapati di akhirat. Kata Aristotles: "Sangat buruk persangkaan orang kepada manusia, kalau manusia yang disangka itu selama hidupnya bekerja baik, meninggalkan bekas yang terpuji, meninggalkan faedah bagi dirinya dan bagi sesama manusia, dipatrikan dengan tunduknya kepada Allah. Sangat buruk persangkaan orang, kalau mereka mengatakan orang tidak merasai bahagia selama hidupnya, hanya setelah matinya saja. Orang yang berbuat baik beroleh bahagia di dunia dan beroleh bahagia pula di akhirat".

Aristo tidak membikin undang-undang untuk menentukan manusia sebagai haiwan yang berjalan, tidak pula dirinya hanya jiwanya, dan badan adalah perkakasnya, sebagai undang-undang golongan pertama.

Oleh sebab itu golongan ini berpendapat bahawa manusia boleh mencapai bahagia di dlam hidup di dunia, apabila dia berusaha mencapai bahagia itu. Bersungguh-sungguh dan tidak putus asa, sampai tercapai kehujungnya, bila ia menutup mata.


3. Tolstoy Tentang Pembahagian Bahagia.

Menurut Tolstoy bahagia itu terbahagi dua, ada bahagia yang waham-waham saja dan ada bahagia yang sejati. (Bahagia yang waham-waham ialah bahagia yang dicari untuk diri sendiri (peribadi) dan bahagia yang sejati ialah bahagia yang berguna bagi masyarakat).

Bahagia yang sejati itulah yang diingini oleh orang yang memiliki rasa kemanusiaan. Bahagia untuk sendiri, tidak akan tercapai kalau tidak melalui bahagia untuk pergaulan hidup lebih dahulu. Sebab itu hendaklah bahagia untk bersama dijadikan pokok, dan bahagia untuk diri sendiri dijadikan ranting. Orang yang menuntut bahagia semata-mata untuk diri sendiri, nescaya tersisih dari masyarakat dan kadang-kadang menimbulkan huru-hara antara diri dengan orang ramai. Dengan sendirinya bukan lagi bahagia yang didapatinya, hanyalah semata-mata kehinaan terpisah dan terbuang. Dengan sendirinya dia lari dari bahaya mengejar bahagia. Tetapi hasilnya dia meninggalkan bahagia dan menuju bahaya. Sebab itu tiap-tiap orang yang menginginkan bahagia, hendaklah takluk kepada perintah fikiran yang waras, menjadi saksi bagaimana kejatuhan yang diperoleh orang menuntut bahagia buat badan sendiri, atau menjadikan tuntutan diri itu menjadi tujuan akhir. Kemudian dilihat pula pergaulan hidup manusia nyatalah bahawa bahagia bersama untuk menjadikan bahagia tiap-tiap orang. Semua manusia tidaklah dapat hidup sendiri, kalau tidak bertolong-tolongan, berbantu-bantuan di antara satu sama lain.

Memang kata Tolstoy kemajuan pengetahuan manusia telah meningkat lantaran pertukaran masa dan peredaran waktu, sebab kehidupan perikemanusiaan itu tidak berubah dengan air hilir, datang juga air yang baru dan semuanya menuju lautan. Tolstoy pun mengakui bahawa manusia tidak sanggup menghitung bintang di langit, menentukan berapa berat bumi, dan lain-lain sebagainya. Tetapi selama-lamanya walaupun bagaimana tidaklah manusia akan mendapat kebahagiaan untuk dirinya sendiri jika tidak dipertalikan lebih dahulu dengan bahagia masyarat.

Tolstoy tidak mengakui bahagia yang hanya diperoleh untuk diri sendiri. Tolstoy memandang bahagia semacam itu tidak ada, sebab hubungan antara satu manusia dengan manusia lain tak dapat diputuskan.

Meskipun seseorang telah beroleh hati yang thuma'ninah, telah suci batin, telah mendapat keredhaan Tuhan; senangkah saja hatinya melihat temannya sesama manusia beroleh susah sengsara, rendah dan jauh dari budi pekerti?

Bahagia yang sejati menurut Tolstoy ialah bahawa engkau cinta sesama manuisa sebagaimana mencintai dirimu sendiri. Engkau akan merasa lebih bahagia lagi jika teman-temannya sesama hidup telah merasa cinta kepada engkau sebagaimana cinta kepada dirinya sendiri pula. Maka amanlah dunia, teraturlah pergaulan hidup, banyaklah gereja dan masjid, tersiarlah perdamaian dalam segala kalangan tersingkirlah penumpahahan darah. Sebab tiap-tiap orang merasa dirinya berguna dalam masyarakat.

Itulah dia bahagia, Islam pun menyokong pendapat filosof ini.

Allah telah berfirman dlam Al-Quran:

Ertinya: "Berpeganglah kamu sekelian dengan tali Alllah dan janganlah berpecah-belah, dan ingatlah nikmat Allah atas kamu, seketika kamu bermusuh-musuhan telah dipersatukanNya hati kamu semuanya, sehingga dengan segera kamu telah menjadi bersaudara dengan sebab nikmatNya". (Surah Ali-Imran: 103)

Di ayat lain tersebut pula:

Ertinya: "Bertolong-tolonglah kamu atas berbuat baik dan takwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan atas dosa dan permusuhan". (Al-Maidah: 2).

Kata hadis:

"Seorang mukmin dengan seorang mukmin itu laksana rumah batu, yang satu menguatkan yang lain". (HR Bukhari, Muslim dan Tarmizi daripada Abi Musa Al-Asyaari).

Kata Tolstoy:

"Dengan dasar beginilah tegak bahagia dalam masyarakat. Setelah berdiri bahagia yang begini barulah sempurna bahagia diri sendiri, dan hilanglah prasangka dan huru-hara, hapus ketakutan menghadapi mati, timbul keinginan memberikan jiwa menempuh bahaya kerana berkhidmat bagi masyarakat.

4. Pembahagian Imam Ghazali.

Sekarang kita terangkan pula pendapat filosof Islam Al-Ghazali. Beliau membagi tingkatan bahagia itu, demikian:

Meskipun nimat-nikmat Allah itu sudah nyata tidak dapat dihitung, tetapi dapat juga dibagi-bagi dalam garis besarnya kepada 5 bahagian:

Bahagian Pertama: Bahagia Akhirat.

Itulah bahagia yang baka, tidak ada fana di dalamnya. Di sanalah sukacita, tidak ada dukacita padanya. Tidak ada orang kaya-raya, tidak ada miskin papa padanya. Tetapi tidaklah orang akan sampai kepada induk segala nikmat itu melainkan dengan izin Tuhan. Tidak pula tercapai kalau tidak dilalui lebih dahulu tangga ke sana. Tangga itu ialah nikmat bahagia kedua.

Bahagian Kedua: Keutamaan Akal Budi.

Keutamaan akal budi terbahagi pula kepada 4 bahagian:

  1. Sempurna akal. Sempurna akal ialah dengan ilmu.
  2. Iffah (dapat menjaga kehormatan diri). Sempurna 'iffah ialah dengan wara', ertinya tiada peduli bujukan manisan dunia.
  3. Sempurna syaja'ah ialah dengan jihad.
  4. Al-A'dil )keadilan). Sempurna keadilan ialah dengan insaf.

Dengan yang empat itulah sempurna akal budi, dengan sempurna akal budi timbul perasaan wajib mengerjakan agama. Bahagian yang kedua ini tidak melalui tangganya. Tangganya ialah bahagian yang ketiga.

Bahagian Ketiga: Keutamaan yang ada pada tubuh.

Terkandung pula di dalam keutamaan tubuh itu 4 perkara.

  1. Sihat.
  2. Kuat.
  3. Indah, dan gagah bagi lelaki dan cantik bagi perempuan.
  4. Umur Panjang.

Tercapai kesempurnaan yang ketiga itu, dengan melalui lebih dahulu bahagian yang keempat.

Bahagian Keempat: Keutamaan dari luar Badan.

Keutamaan dari luar badan itu mengandung pula akan empat kecukupan iaitu:

  1. Kaya dengan harta benda.
  2. Kaya dengan Famili, anak isteri, kaum kerabat.
  3. Terpandang dan terhormat.
  4. Mulia Turunan.

Maka tidaklah pula sempurna bahagia yang keempat ini, kalau tidak melalui bahagian yang kelima.

Bahagian Kelima: Keutamaan yang datang lantaran taufik dan pimpinan Allah.

Mengandung 4 perkara pula, iaitu:

  1. Hidayah Allah (petunjuk).
  2. Irsyad Allah (pimpinan).
  3. Tasdid Allah (sokongan).
  4. Ta'jid Allah (bantuan).

Dengan ini nyatalah bahawa ada lima tingkatan dan keutamaan yang harus kita tempuh untuk mencapai mahligai bahagia itu. Iaitu mencapai bahagia akhirat dengan membahagiakan budi, tubuh luar, jasad dan pimpinan. Yang satu bertali engan yang lain, tidak dapat dipisahkan.

Sekarang terbit kerguan orang. Apakah perlunya kebahagiaan luar badan itu? Apakah perhubungan harta benda, banyak kaum kerabat, terpandang mulia dalam masyarakat, untuk mencapai bahagia yang sejati?

Jawabnya: Ini adalah sebagai satu sayap untuk terbang menuju maksud yang hendak dicapai.

a. Perlunya Hara Benda.

Orang yang fakir lagi miskin, bermaksud hendak mencapai suatu cita-cita, adalah laksana seorang serdadu yang pergi ke medan perang, atau laksana pembuuru ke hutan lebat, tetapi keduanya tidak membawa senjata. Tentu saja pekerjaan itu terhenti di tengah jalan, walaupun musuh tampak atau binatang buruan itu melintas di mukanya.


Sebab itu Rasulullah saw, bersabda kepada Amr Ibnu 'Ash ketika beliau baru memeluk agama Islam:

"Sebaik-baik harta yang baik untuk hamba Allah yang baik".

Di lain waktu Rasulullah saw bersabda pula:

"Yang sebaik-baik pertolongan atas takwa kepada Allah, ialah harta benda".

Berapa banyak kejadian orang yang suci hatinya, tinggi cita-citanya berbuat baik, bagi orang lain, tetapi cita-cita itu terhalang kerana sebelum mengurus keperluan orang ia sendiri perlu membeli beras lebih dahulu sebelum tampil ke muka umum, baju sendiri telah robek, sehingga malu tampil ke muka. Akan dibawa tetamu masuk rumah, rumah sendiri buruk. Sehingga lantaran memikirkan sesuap pagi sesuap petang, tidaklah ada ingatan lagi hendak mengerjakan pekerjaan bagi umum, bahkan tidak ada kesempatan menuntut ilmu, padahal ilmu itu tiang untuk kesempurnaan akal, seperti dikatakan tadi kesempurnaan akal tiang pula bagi kesempurnaan agama, kesempurnaan agama tiang bagi bahagia dunia dan akhirat.

Kerana miskin tak dapat berzakat, tak dapat naik haji. Orang lain dapat mengerjakan rukun Islam kelimanya, si miskin paling tinggi hanya tiga, yang taat hanya dapat mengubati dengan takbir dan tahmid dan tahlil, atau dengan menghindarkan duri dari tepi jalan sebagai ganti sedekah.

Ramai orang yang bercita-cita tinggi, tetapi lantaran miskin, terpaksa tidak lurus dan tak jujur. Beras belum ada, padahal amanat orang ada dalam tangan, anak menangis meminta nasi. Terpaksa dibelanjakan saja amanat orang itu.

Untuk bahagia, orang perlu mempunyai anak yang soleh, dan isteri yang solehah pula. Nabi Muhammad saw bersabda:

"Sebaik-baik penolong dalam menegakkan agama ialah isteri yang solehah".

Nabi bersabda pula:

"Terputus hubungan orang mati dengan dunia ini, kecuali sebab tiga perkara, satu di antaranya ialah anak yang soleh".

b. Ramai Famili, Kaum Kerabat.

Famili dan kerabat adalah laksana telinga, mata, hidung dan kaki tangan bagi badan. Yang berat boleh sama-sama dipikul, yang ringan sama-sama dijinjing. Lantaran itu terbuka akal fikiran, lapang hati dalam mengerjakan amal ibadat kepada Allah.

c. Kepentingannya Terpandang Mulia Dalam Masyarakat.

Kita tak boleh takabur dan mencari nama, tetapi kita tidak terlarang berusaha mencari kehormatan dengan memperbaiki budi sendiri. Gila hormat tidak boleh. Tetapi menjadi orang yang terhormat, haruslah menjadi tujuan hidup.

Lantaran jasa yang baik dan budi yang tinggi, kita harus beroleh kehormatan dari sesama manusia. Kehormatan dan pandangan orang kepada kita dapatlah menimbbulkan kegiatan hati berusaha membuat yang lebih indah dan bagus. Tetapi begitu kita melangkah dan berhasil, akan ada saja orang yang dengki. Maka timbullah yang sangat sayang dan sangat benci. Orang yang benci itu, makanya benci, lantaran diakuinya lebih dahulu kemuliaan dan kehormatan kita. Kepercayaannya bukan kerana kita tidak patut dihormati. Kebenciannya ialah hendak memungkiri kehormatan kita itu.

Sebab itu hendaklah selalu diusahakan supaya budi bertambah tinggi. Kehalusan dan ketinggian budi akan menambah jumlah yang sangat sayang dan sangat benci tadi.

Pepatah Arab:

"Agama menjadi sendi hidup, pengaruh menjadi penjaganya.
Kalau tidak bersendi, runtuhlah hidup
dan kalau tidak berpenjaga, binasalah hayat.
Kerana orang yang terhormat itu.
Kehormatannya itulah yang melarangnya berbuat jahat!".

Lantaran menjaga kehormatan dan lantaran menjaga serangan yang bertubi-tubi timbullah perjuanganyang sengit, mempertahankan kehormatan sambil menjaga budi pekerti. Tampaknya perjuangan itu sulit dan hebat, tetapi kalau kita hentikan lantaran hebatnya, di sana baru kita menyesal atas pemberhentian itu. Bahagia itu akan terasa dalam perjuangan tadi.

d. Kepentingan Turunan.

Ramai orang yang membantah kepentingan turunan itu. Cukup denan keculiaan budi saja menjadi bahagia katanya. Sebab harga manusia itu ialah menurut budi dan usahanya.

Itu betul. Tetapi perkataan yang demikian ialah pertahanan penghabisan. Sebab kotoran turunan mengalir juga kepada turunan yang di belakang. Kalau tidak demikian, tentu tidak akan ada larangaan Tuhan atas perkahwinan seorang perempuan yang fasik dengan lelaki yang mukmin.

Kalau tidak demikian tentulah, Rasulullah saw tidak menyuruh anak muda memilih isteri yang taat beragama. Isteri yang taat beragama lebih dipentingkan dari yang berwajah cantik, berbangsa tinggi dan berharta banyak. Sebab rasa urat suatu pohon mengalir juga sampai kepada pucuknya.

Turunan yang dimaksudkan di sini ialah turunan bangsawan budi dan bangsawan agama, bangsawan ilmu, bangsawan amal dan ibadah, bukan bangsawan gelar dan pusaka.

e. Faedah Kelebihan Tubuh.

Sekarang datang pula pertanyaan: Apa perlunya segala kelebihan yang ada pada tubuh itu? Seperti sihat, panjang umur dan tangkas?

Dari hal keperluan kesihatan, kekuatan dan umur panjang, tak perlu diterangkan lagi. Cuma yang mendatangkan keraguan ialah tentang kegagahan dan kecantikan itu. Ramai orang mengatakan asal baan telah sihat, perlu apa kegagahan bagi lelaki, kecantikan bagi perempuan, padahal itulah kelak yang menyebabkan kesombongan.

Persangkaan itu kurang betul, sebab kegagahan itu sangat perlu untuk keberuntungan di dunia dan di akhirat. Sebabnya dua macam:

1. Lawan gagah ialah buruk dan malas. Kemalasan dan keburukan dengan sendirinya dibenci oleh manusia. Kalau bertemu seseorang gagah dan seorang malas dan buruk di dalam satu majlis, dengan sendirinya, bukan dibuat-buat, orang yang hadir cenderung kepada yang gagah. Sebab itu kegagahan seorang lelaki boleh dikatakan hartanya yang tiada ternilai, dari itu hatinya senang. Kesenangan hati membuka fikiran untuk berbuat baik. Kebaikan boleh mencapai jalan keselamatan di akhirat.

Kebanyakan kegagahan itu menunjukkan keutamaan yang ada pada batin. Kerana bila batin telah bercahaya, gemilanglah cahaya itu sampai kepada badan lahir. Tidaklah dapat hati yang kotor membayangkan kejernihan muka dan tidak pula hati yang baik membayangkan keruh kepada wajah, bahkan antara batin dengan lahir itu sentiasa berkaitan. Itulah sebabnya ahli ilmu firasat sangat memperbaiki raut muka dan bentuk badan. Dari melihat itu dapatlah menentukan akhlak yang tersembunyi, muka dan wajah sebagai kaca dari batin. Berbekas pada mata dan muka jika sedang marah atau sedang berniat jahat.

Pepatah:

"Yang lahir pedoman yang batin".

Pada suatu hari baginda Al Makmun memeriksa bala tentera yang akan dikirim ke medan perang, tiba-tiba bertemulah di antara tentera itu seorang yang buruk badannya dan suaranya. Oleh Al Makmun disuruh pupus nama orang itu dari daftar tentera, seraya berkata: "Roh itu apabila telah bercahaya-cahaya memancarlah di lidah perkataan yang fasih. Orang ini tidak ada padanya kesucian wajah ialah lantaran batinnya kotor!".

Nabi kita juga pernah bersabda:

"Kalau hendak mengirim utusan, kirimlah yang gagah rupanya dan bagus namanya".

Fuqaha ada juga yang berkata: "Apabila bersamaan darjat orang-orang yang sembahyang, maka yang akan dipilih menjadi imam ialah yang lebih gagah rupanya".

Tuhan juga berfirman tentang Thalut, seorang raja yang terpilih memimpin Bani Israil. Ia dipilih lantaran padanya kelebihan. Kelebihan batin iaitu ilmu dan kelebihan tubuh fil jismi, sihat dan gagah.

"Dan Allah tambahkan padanya keluasan pada ilmu dan tubuh".

Yang dimaksud dengan kecantikan, atau dengan jamal ialah tinggi semampai tegap badan, seukuran seluruh tubuh, bulat muka, sehingga hati orang tertarikh padanya. Itulah perlunya beroleh raga (sport) yang di zaman Rasulullah saw sangat sekali diperkuat.

f. Keterangan Tentang Taufik.

Sekarang timbul pula pertanyaan: Apakah perlunya hidayat (petunjuk), Rusyd (pemimpin), tasdid (ditutup jalan yang sesat yang membuat tersasar kepada yang lain-lain) dan ta'jid (sokongan Allah) untuk mencapai bahagia.

Ketahuilah bahawa taufik pasti memberi bahagia kepada manusia di mana pun, sebab erti taufik ialah persesuaian kemahuan dan cita-cita manusia dengan kudrat Allah, baik dalam menuju kebaikan atau dalam menuju kejahatan. Tetapi kemudiannya perkataan taufik telah dipakai untuk menuju kebaikan dan kebahagiaan. Dengan sendirinya terasa perlunya taufik dalam hidup kita. Kalau tidak lantaran taufik, segala rancangan dan angan-angan yang kita sangka akan sampai dan selamat, akhirnya akan membawa kecewa.

Hidayat itu 3 perkara:

Mengerti mana jalan yang baik dan mana jalan yang jahat. Segala manusia telah diberi Allah petunjuk yang pertama itu. Segala orang tahu mana yang baik dan mana yang jahat, menurut firman Allah:

Ertinya: "Dan telah Kami beri hidayat kepadanya dua jalan (baik dan jahat)". (Al-Balad: 10).

Tempat kedatangan hidayat ada dua. Pertamanya, lantaran akal sendiri. Kedua lantaran telah sampai kepadanya seruan Rasul. Sebab itulah Allah Ta'ala berfirman dari hal kaum Tsamud:

Ertinya: "Adapun kaum Tsamud itu telah Kami beri hidayat kepada mereka, tetapi mereka lebih suka tetap dalam buta dari menurutkan hidayat itu". (Fushshilat: 17).

2. Kemajuan yang ditempuh seorang hamba Allah lantaran prtambahan ilmunya dan pengalamannya. Itulah yang dimaksud oleh firman Allah:

Ertinya: "Orang-orang yang menurut hidayat itu akan Kami tambah baginya hidayat dan Kami beri mereka ketakwaan". (Muhammad: 17).

3. Itulah cahaya yang gemilang di dalam kehidupan nabi-nabi dan Waliullah. Dengan petunjuk demikian mereka dapat beroleh petunjuk yang lebih tinggi dari yang dapat dicapai dengan akal biasa. Darjat ini lebih tinggi, di luar dari yang dapat dicapai dengan ilmu dan memaksa otak. Itulah yang bernama wahyu bagi Nabi dan ilham bagi orang yang beroleh wilayat. Itu juga yang diberi Allah nama hayat (hidup). Menurut firmanNya:

Ertinya: "Dan apakah orang yang telah mati, Kami hidupkan dia dan Kami beri dia Nur yang berjalan dia dengan Nur itu di antara manusia". (Al-An'am: 122).

Rusyd atau pimpinan Allah, ialah pertolongan Allah yang dengan Dia manusia tertolong mencapai apa yang dimaksudnya, sehingga beroleh kekuatan mencapai apa yang baik dan tidak terkencong fikirannya kepada yang salah. Itulah yang bernama Irsyad, dan dia ada dalam batin.

Firman Allah:

Ertinya: "Sesungguhnya telah pernah Kami berikan kepada Ibrahim akan irsyadnya, dan Kami ketahui dia". (Al-Anbiya: 51).

Tasdid, teguh kemahuan dalam gerak-geri mencapai tujuan, supaya dapat diserap dalam waktu yang cepat. Perbezaan di antara Rusyd dengan Tasdid, ialah Rusyd (pimpinan) perlu kepada peringatan dan pengetahuan, dan Tasdid (teguh) perlu dengan pertolongan gerak badan.

Ta'yid atau sokongan, iaitu kuat perbuatannya lantaran tajam penglihatan batinnya dan keras kemahuannya pada lahir. Itulah anugerah Ilahi yang mengandung kekuatan, yang kalau ada pada manusia, manusia itu lekas dapat menyingkirkan kejahatan dan menjaga kebaikan, sehingga kalau dia telah dekat tergelincir, sebentar itu juga datang suatu kekuatan yang tidak terasa, menghambanya dari berbuat itu. Kekuatan ta'yid inilah yang membangkitkan hati Nabi Isa menyeru kaumnya kepada keberanian".

Ertinya:
"Dan Kami beri ta'yid dia dengan Rhul Kudus" (Al-Baqarah: 87).

Kekuatan ini pula yang telah menarik tangan Nabi Yusuf yang hampir tergelincir lantaran perdayaan Zulaikha, tetapi lekas dia surut setelah kelihatan olehnya burhan Tuhannya. Burhan itulah dia ta'yid.

Segala yang tersebut itu tidaklah akan tercapai kalau faham tidak luas, pendengaran tidak nyaring, hati tidak terang dan terjaga, guru yang mendidik tidak ada pula, harta benda kurang untuk mencapai cita-cita kebaikan, banyak hutang kepada manusia sehingga tak sanggup membayar hutang kepada Tuhan, kurang pergaulan, kurang menjaga kehinaan, kurang kekuatan badan untuk menangkis serangan musuh.

Sebab itu nyatalah bahawa kebahagiaan itu bertali di antara satu dengan yang lain.

0 comments »

Sebab-sebab Yang Membawa Bahagia

Posted by Ibnu Nurdin | 9:55 PM

Kalau manusia tahu sebab-sebab yang membawanya jatuh ke dalam jurang kesesatan serta dijauhinya sebab-sebab kejatuhan itu tentu dia tidak akan terjatuh. Kalau orang arif tentang sebab-sebab kemalangan dan kerugian, serta menyingkirkan jalan yang membawa rugi dan malang itu, tentu orang tidak akan rugi dan tidak akan malang dengan sengaja.

Cuba perhatikan pengaruh mulut manis dan muka jernih untuk menakluk hati anak Adam. Tetapi orang yang besar mulut lagi sombong, mula-mula dihormati orang, tetapi beberapa saatorang lihat sikapnya, orang tahu siapa dia dan kehormatan yang akan diberikan kepadanya, dicabut kembali. Kalau si tukang omong (bicara) itu insaf akan kesalahannya, tentu diubahnya sikapnya dan dia dapat merebut kedudukannya kembali di dalam masyarakat yang hendak menyisihkannya itu.

Mula-mula orang tidak perhatikan ular kecil lantaran kecilnya. Tetapi kalau satu kali dia telah mematuk tangan orang dan meludahkan racunnya, barulah orang sibuk memperkatakan ular, barulah orang takut dan menyingkirkan diri. Demikian pulalah manusia, untuk baik dan buruknya, jaya dan celakanya, mulia dan hinanya, jadi garam masyarakat atau tersisih dalam pergaulan hidup. Dalam peredaran dan perputaran roda itulah mereka menempuh nasib malang atau mujur.

Dalam menempuh hidup, hanya dua itulah yang sentiasa menunggu kita, iaitu malang atau mujur. Semua orang ingin mujur dan takut mendapat kemalangan. Sebab itu dengan segenap kekuatan dia berusaha menyingkirkan kemalangan dan mengejarkan kemujuran. Hendaklah terhindar sama sekali dari kemalangan, tentu tidak boleh, tetapi menggosok dan menghias diri, mencukpkan bekal, adalah kewajipan kita semua. Sebab kemanusiaanyang ada pada diri kita itu adalah laksana berlian. Siapa pandai menggosok, akan bercahayalah dirinya dan kalau tidak digosok, tidaklah timbul cahayanya, hilanglah kilatnya, dibungkus oleh kulit yang tebal, kadang-kadang rosak binasa dan hilang tidak tentu di mana tercicirnya.

Apakah orang mengira jika terjadi peperangan antara suatu bangsa dengan bangsa yang lain, terjadi pembunuhan dan pertempuran ngeri, lempar melemparkan bom, runtuh-meruntuhkan, hancur-menghancurkan negeri, patah-mematahkan jambatan perhubungan, apakah orang mengira bahawa peperangan itu hanya semata-mata keinginan hendak mengacaukan keamanan dunia? Tidak! Bukan peperangan yang jadi tujuan, bukan kerosakan yang jadi cita-cita. Bahkan semua orang yang berperang tahu bahawa perbuatannya, ngeri, kejam. Tetapi kerana ada dibalik itu yang mereka tuju, lupalah mereka kerosakan itu. Yang mereka tuju ialah akibat sesudah perang, menang atau kalah! Mujur atau malang.

Jika menang beroleh kemuliaan, jika kalah bangsa pun hina!.

Demikianlah adanya hidup ini. Hidup adalah peperangan yang hebat, lagi kejam dan sakit. Di antara pihak bala tentera yang bernama diri dengan sepihak lagi yang bernama nasib.

Peperangan itu tidak pernah berhenti, dan selama-lamanya tidak akan berhenti, selama nafas masih dalam badan, selama matahari masih dihirup cahayanya, sampai langit digulung dan bumi dibelah, sampai kepada saat manusia yang akhirnya sekali hidup dalam alam ini.

Jika manusia yang datang kemudian memperhatikan dengan saksama sebab-sebab kekalahan atau kekenangan nenek moyangnya yang terdahulu, yakni kemenangan tentera manusia menghadapi nasibnya, sehingga manusia kalah atau menang, tentu akan disingkirinya jalan yang berbahaya, yang akan menyebabkan dia terkepung. Tentu akan ditempuhnya jalan yang selamat sejahtera, yang akan menyebabkan menang.

Ada orang yang berkata bahawa pengalaman dan penderitaan hidup itu sangat penting di dalam menuju bahagia. Tetapi kita berpendapat lain. Kalau hanya dengan pengalaman saja,tentu umur akan habis sebab pengalaman itu kian banyak berbeza, pengalaman kelmarin tidak ada lagi sekarang, begitu pun nanti. Usia pun habislah sebelum pengalaman cukup, rahmat dan ketenteraman tentu tidak akan terdapat, sehingga bahagia hanya jadi kenang-kenangan saja.

Tidaklah mesti seorang saudagar menempuh rugi dahulu baru dia tahu rahsia keuntungan kelak. Itu terlalu jauh!

Tidak mesti seorang nakhoda mengaramkan kapalnya yang pertama lebih dahulu, baru dia tahu rahsia pelayaran. Ya, kalau si saudagar masih panjang umur dan si nakhoda masih boleh hidup! Kalau tidak arang habis besi binasa, tukang menghembus payah saja.

Kalau hanya sekolah dengan pengalaman saja, wang sekolah dibayar terlalu mahal, dan belum tentu akan lulus dalam ujian. Apalagi sekolah kehidupan tidak dapat ditentukan bila tamat kelasnya, putik kelapa jatuh juga, yang muda pun jatuh dan yang tua lebih lagi, masanya tidak dapat ditentukan.

Meskipun kita akui adanya pengalaman, tetapi bukanlah itu yang terpenting, pengalaman adalah sebagai langkah yang pertama. Ada pun pelajaran hidup yang kedua ialah memperhatikan alam. Alam adalah laksana sebuah kitab besar yang terhampar di muka kita, di dalamnya tertulis perjuangan hayat yang telah ditempuh lebih dahulu oleh orang lain. Di situ dapat kita tilik bagaimana orang lain telah sukses, telah mujur dan bahagia, dan dapat pula kita lihat mereka jatuh, tersungkur, ada yang tak bangun lagi, ada yang menyesal selama-lamanya. Kita dengar pekik orang yang kesakitan, maka kita tanyakan kepadanya apa sebab dia jatuh, setelah tahu kita lalu lagi di jalan yang pernah dilaluinya. Semuanya itu kita pelajari dengan saksama dari kitab yang terbentang itu. Itulah rahsia perkataan raja dari segala pujangga dunia. Nabi Muhammad saw, mengambil iktibar dari kejadian orang lain itu adalah jalan beroleh bahagia.

Di dalam hidup bermasyarakat, adalah beberapa undang-undang yang harus dijaga dan diperhatikan. Ada yang berhubungan dengan kesihatan tubuh, dengan keberesan akal dan yang berhubung dengan kemuliaan budi. Di samping itu pula yang tertentu untuk menjaga kemenangan dan kebahagiaan. Semua pokok undang-undang yang mesti dijalankan itu adalah buah perjalanan hidup manusia sejak dunia terkembang, ditambah, pimpinan dari alam ghaib. Kalau segala peraturan itu dijaga, dipelajari dan dijalankan, hiduplah manusia dalam hikmat Tuhan, dianugerahkanNya, dan barangsiapa yang beroleh hikmat itu, bererti dia telah mendapat perolehan yang amat banyak.

Cubalah perhatikan seorang puteri rupawan yang halus budi sedang asyik memelihara bunga. Dipetiknya bunga itu dari kebun dan dipindahkan ke atas mejanya. Ditukarnya air bunga itu setiap pagi dan petang, dipelihara, dicium dan dipandangnya dengan berahi dan cinta, sampai bunga itu layu, kelopaknya jatuh dan tiap-tiap lembaran kembang itu luruh sehela demi sehelai.

Alam ini laksana kebun bunga itu. Bunga-bunga yang ada di dalamnya ialah perjalanan kehidupan manusia. Kita cium setiap hari untuk dinikmati sendiri, yang busuk kita jauhi, durinya kita awasi, baunya dicium juga. Sebab memetik bunga dan menghindarkan durinya itu, kita merasai lazat cita tenteram.

"Pulanglah kapal dari Makkah
penuh muatan orang haji
awas-awas adik melangkah
memetik bunga dalam duri".

"Jika pandai meniti buih, selamat badan ke seberang".

0 comments »

Bahagia Dan Ugama

Posted by Ibnu Nurdin | 4:41 PM

JALAN menuju bahagia ada kalanya sukar, tetapi ada kalanya mudah. Meskipun sekian banyak huraian pendapat ahli-ahli, kita tidak mahu terlalu berenang dalam khayal. Mari kita pilih yang paling pendek, jangan lupa bahawa durinya banyak juga. Kalau tak banyak duri, tentu tak terasa enaknya berburu. Kalau tak mahu payah, suruh tangkap seekor ikan, masukkan dalam belanga, lalu kail saja, habis perkara.

Mana jalan yang pendek dan mudah itu?

Jalan itu ialah agama!

Bukan lantaran agama itu melarang orang berfikir, bahkan agamalah yang membukakan pintu fikiran, menyuruh menjalankan akal dan pendapat di dalam segala perkara, dari hal alam dan dari hal manusia, bekas nikmat dan anugerah kekuasaan yang ghaib. Maksud agama ialah merentang jalan, sedang fikiran ialah untuk membanding dan menimbang.

Maka tidaklah susah mencapai bahagia, menurut agama, kalau telah tercapai 4 perkara:


  1. Iktikad yang bersih.
  2. Yakin.
  3. Iman.
  4. Agama.

0 comments »

A. Iktiqad

Posted by Ibnu Nurdin | 4:30 PM

Apakah erti iktiqad? Apakah hubungannya dengan bahagia?

Iktiqad terambil dari bahasa Arab. Asal katanya ialah 'aqada dipindahkan kepada iktiqad, ertinya ikatan. Kalau telah beriktiqad ertinya hati manusia telah terikat dengan suatu kepercayaan atau pendirian.

Iktiqad berasal daripada mengikat tepi-tepi barang, atau mengikatkan suatu sudut yang lain. Jadi timbulnya iktiqad di dalam hati, ialah setelah lebih dahulu fikiran itu terbang dan lepas entah ke mana, tidak berhujung dan tak tentu tempat hinggap. Kemudian dapatlah suatu kesimpulan pandangan, lalu menjadi keyakinan. Terikat tidak retak lagi.

Sebab itu maka suatu pendapat yang tidak timbul dari pertimbangan akal fikiran yang hanya lantaran taklid buta, lantaran turut-turutan belumlah bernama iktiqad. Orang yang beriktiqad di dalam suatu perkara tidaklah mahu mengerjakan suatu atau meninggalkan suatu pekerjaan dengan tidak berfikir. Kesimpulan fikirannya ialah iktiqadnya.

Keputusan iktiqad itulah yang diturutkan oleh manusia. Kalau manusia melawan iktiqadnya, dikerjakan pekerjaan yang dilarang oleh iktiqadnya atau dihentikannya pekerjaan yang disuruhkannya, bererti bahawa orang itu telah didorong oleh kekuatan lain bukan kekuatan asli dari kehendak jiwanya, melainkan kekuatan musuhnya, iaitu hawa nafsunya.

Selama dia melawan iktiqadnya, selama itu pula hati sanubarinya memberontak melawan perbuatannya. Kalau perbuatan salah itu langsung timbullah rasa yang lain dalam diri, iaitu sesal.

Dalam bahasa kita iktiqad itu telah berubah menjdi tekad.

Al-Quran menerangkan keadaan itu demikian:

Ertinya: "Dan orang -orang yang apaabila mengerjakan suatu perbuatan keji, atau menganiaya dirinya sendiri maka ingat mereka akan Allah lalu mereka memohon ampun atas kesalahan itu serta tidak tetap juga mereka atas perbuatan itu, sedang mereka telah tahu". (Ali-Imran: 135).

Demikian keadaan orang yang mempunyai iktiqad kalau mereka terlanjur mengerjakan suatu kesalahan.

Orang yang tidak mempunyai iktiqad adalah menjadi pucuk aru, mengulai ke mana gerak angin saja, ke mari bukan ke sana entah. Diputar dan dilentikkannya kumis kalau lawan belum kelihatan diajaknya lawan itu berkelahi kalau dia tegak sendiri. Tetapi kalau bertemu lawan itu di tempat yang lengang seorang sama seorang, tidak ada orang yang melihat, maka kumisnya itu dibarutnya turun. Kalau dimaki dia diam saja, sebab dia katanya sabar!.

Orang yang begini, meskipun bagaimana datang dan terangnya kebenaran di mukanya, tidaklah ada nilai hidupnya sebab jantungnya telah rosak, sebab itu jarumnya tidak dapat menunjukkan utara dan selatan lagi. Jiwanya telah dimakan karat. Orang yang begini selamanya tidak akan mendapat iktiqad yang jernih, sebab fikirannya tidak bekerja lagi. Laksana jam yang masih baru. Harus diingat, kalau sekali penggerak jarumnya rosak dan kerapkali diperbaiki, tentu jalannya tidak sebaik dahulu lagi.

Ada pepatah Arab:

Ertinya: "Peliharalah keindahan hati dari sesuatu penyakit,
Kerana sukar sekali memperbaikinya
kalau sekali telah rosak".

Itulah sebabnya kita disuruh lebih banyak menjaga hati daripada mengubatinya, kerana ongkos penjagaan tidak sebanyak ongkos pengubatan.

0 comments »

B. Yakin

Posted by Ibnu Nurdin | 3:10 PM

Yakin dalam bahasa sehari-hari ertinya nyata dan terang. Yakin iatu ialah lawan dari syak dan ragu-ragu. Tidaklah akan hilang dan ragu-ragu itu kalau tidak ada dalil atau balasan yang cukup. Datangnya yakin itu setelah memperoleh bukti-bukti yang terang. Keyakinan datang setelah menyelidiki, kadang-kadang tidak diselidiki lagi kerana dalil itu cukup terbentang di hadapan mata. Cara mencapai dalil itu tidaklah sama di antara manusia. Banyak perkara yang diyakini oleh seorang, masih diragui oleh yang lain, sebab belum ada dalilnya yang tepat. Tetapi dalam perkara yang terang misalnya alasan bahawa hari telah siang, atau dua kali dua empat, semua orang meyakininya.

Lantaran itu maka ayat:

Ertinya: "Sembahlah Tuhanmu sehingga datang kepadamu keyakinan".

Ditafsirkan oleh setengah mufassirin:

"Sembahlah Tuhanmu sampai datang kepadamu mati".

Tafsir beginilah yang lebih mukatamad.

Apakah sebabnya mereka ertikan yakin itu dengan mati? Sebabnya lantaran mati itu sudah yakin akan datang kepada kita, atau dengan kematian telah yakin datangnya ajal kita yang ditunggu-tunggu, seumpama dua kali dua sama dengan empat.

"Yakin itu ialah sifat ilmu yang ketiga. Ilmu mempunyai tiga tingkatan atau sifat. Pertama makrifat, ertinya tahu. Kedua dirayat ertinya dialami. Ketiga yakin!".

Kemudian Raghib membagi tiga pula tingkatan yakin itu:


  1. Ilmulyaqin.
  2. Haqqulyaqin.
  3. Ainulyaqin.

Ilmulyaqin ertinya, ialah ilmu yang timbul dari pendapat yang lahir setelah beroleh dalil yang cukup. Setelah cukup dalil lalu diuji atau dicuba maka timbullah Haqqulyaqin. Setelah mendapat haqqulyaqin, lalu disaksikan sendiri pula lalu naik tingkatan itu kepada Ainulyaqin, itulah yang setinggi-tinggi darjat yaqin.

Kita semua yakin negeri Makkah ada, bernama Ilul Yaqin. Dalilnya ialah kabar mutawatir yang sentiasa kita terima.

Lalu kita pergi ke Makkah. Sesampai kita ke sana, kelihatanlah oleh mata kita Kaabah itu, timbullah Haqqul Yaqin. Setalah itu kita tawaf, maka timbullah Ainul Yaqin. Sepuluh pintu dipergunakan untuk dipergunakan untuk mencapai ilmul yaqin. Lima pintu yang lahir iaitu pendengaran, penglihatan, perasaan lidah, perasaan kulit dan penciuman hidung, bernama pancaindera.

Untuk kesempatan perkakas yang lima pada lahir ini, disokong oleh lima perkataan yang batin, iaitu akal, fikiran, kehendak, angan-angan dan nafsu.

Kedua-duanya (lahir dan batin) berhubungan erat. Misalnya orang sakit merasai benar-benar, bahawa kopi susu itu pahit, tetapi akalnya tidak mahu menerima walaupun lidahnya percaya sungguh akan kepahitannya. Kata mata kita matahari itu kecil saja, kata timbangan akal dan fikiran lebih besar dari bumi. Dari pertarungan yang tidak berhenti-henti ini timbullah keyakinan. Dia sebagai kayu besar yang tumbuh dalam hati sanubari, dahannya ialah amal dan buahnya ialah ganjaran.

Perbezaan Yakin Dan Iktiqad.

Iktiqad ialah kesimpulan pendapat fikiran. Keyakinan lebih daripada iktiqad kerana keyakinan adalah setelah diselidiki. Tegasnya iktiqad tingkat pertama, keyakinan tingkat kedua. Sebab itu tiap-tiap keyakinan itu adalah iktiqad, tetapi tidaklah tiap-tiap iktiqad itu keyakinan.

Janganlah mempunyai iktiqad saja dengan tidak mempunyai keyakinan. Hendaklah iktiqad diuji dengan batu ujian keyakinan. Segala agama dan pendirian di dunia ini umumnya bernama iktiqad, tetapi tidak semuanya keyakinan pada zatnya.

Agama Islam adalah suatu iktiqad. Sebab itu hendaklah kita jalankan fikiran, bersihkan hati dan jiwa setiap pagi dan petang, siang dan malam, supaya dia jadi iktiqad yang diyakini.

1 comments »